Jumaat, 10 Ogos 2012

Isu asrama: JNSB sedia runding

Wartawan Sinar Harian

SHAH ALAM - Syarikat yang bertanggungjawab mengurus asrama di Universiti Selangor (Unisel) Kampus Bestari Jaya, Jana Niaga Sdn Bhd (JNSB) sedia berbincang dengan pengurusan universiti dan wakil jawatan kuasa rundingan  timbang tara berhubung kontroversi isu asrama.

Salah seorang pegawai kanan JNSB yang enggan dikenali mendakwa, pihaknya bagaimanapun masih belum menerima sebarang pelawaan itu sehingga kini walaupun beberapa pucuk surat telah dihantar sebelum ini, namun masih tiada jawapan.

Menurutnya, mengikut perjanjian yang ditandatangani pada 2003 itu, Unisel sepatutnya mengadakan perbincangan sebulan sekali, namun mendakwa, ia tidak berjalan secara berkala.

“Kita ada dua perjanjian (dengan Unisel) melibatkan konsesi asrama dan perjanjian penyelenggaraan. Dalam perjanjian sama ada peringkat teknikal, pengurusan dan jawatankuasa penyelesaian pertikaian (DRC), ia memang  disebutkan untuk perbincangan.

“Perbincangan (JNSB dan Unisel) yang terakhir adalah hampir setahun lalu. Yang lainnya, lebih kepada surat-menyurat,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.

Mengulas permohonan injunksi mahkamah oleh Unisel, pegawai itu berkata, JNSB akan tetap berpegang kepada perjanjian yang dimeterai sebelum ini.

“Kalau (katakan) pendaftaran hari ini, kita tetap dengan keputusan untuk tidak buka asrama sebab bayaran tertunggak terlampau (banyak iaitu RM15 juta). Kita (JNSB) melihat, kita perlu ada ‘give and take’.

“Kalau sampai gaji staf tiada, bagaimana hendak buka asrama? Hendak buka asrama perlukan ‘frontdesk’, ‘supervisor’ dan ‘technician’, sama seperti ‘check in’ di hotel.

Bukan kerja mudah,” katanya. Sinar Harian difahamkan, kakitangan JNSB tidak dibayar gaji di antara sebulan hingga dua bulan.

Tiada ulasan: