Khamis, 23 Ogos 2012

Hudud: TG Nik Aziz tunggu Umno respons MCA

Harakahdaily,
 
KUALA LUMPUR: Mursyidul Am PAS Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mahu pemimpin Umno memberi respon terlebih dahulu terhadap kenyataan Presiden MCA Dr Chua Soi Lek berhubung isu hudud sebelum beliau mengulas kenyataan Karpal Singh.

Menurutnya, Soli Lek sebelum ini secara berterusan menghina hukum hudud dan pernah melabelkan seorang Adun Umno di Johor sebagai 'hilang akal' kerana mencadangkan negeri itu melaksanakan hukum hudud.

"Saya diminta respon tentang kenyataan Karpal Singh tentang isu hudud kebelakangan ini. Di dalam akhbar, saya lihat sudah ada beberapa respon dari pemimpin parti. Buat masa ini, itu sudah memadai.

"Manakala saya, saya ingin membaca respon pemimpin Umno terlebih dahulu terhadap kenyataan Presiden MCA yang menyatakan Adun Umno hilang akal kerana mencadangkan hudud," tulisnya dalam Facebook pagi ini.

Beliau berkata demikian sebagai respon awal terhadap desakan banyak pihak yang mahu beliau memberi pandangan berhubung kenyataan terbaru Pengerusi DAP Karpal Singh dalam isu hudud.

Karpal dalam mempertahankan pendirian DAP menolak hukum hudud sebelum ini terlajak kata sehingga cuba merendah dan mempertikaikan keupayaan hukum hudud dalam mengatasi jenayah.

Beliau dilaporkan berkata hukum hudud bukanlah satu undang-undang yang adil untuk semua pihak kerana hukumnya memerlukan bukti yang 100 peratus tanpa keraguan berbanding undang-undang jenayah sivil sedia ada yang hanya memerlukan bukti tanpa keraguan yang munasabah.

Sebelum ini, Adun Kemelah, Datuk Ayub Rahmat mengambil langkah berani apabila mencadangkan Johor menjadi negeri pertama melaksanakan hukum hudud di Malaysia.

Di pihak PAS, mereka menyambut baik dan menyokong penuh cadangan itu bairpun dilaksanakan di negeri di kuasai Umno.

Namun tindakan Ayub itu mendapat tentangan hebat dari parti komponen BN sendiri termasuk MCA dan Gerakan yang lantang menolak cadangan itu sehingga Soi Lek menggelarkan Ayub sebagai hilang akal.

Sehubungan itu, Tuan Guru Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, beliau hanya akan memebri respon terhadap kenyataan Karpal selepas melihat respon Umno terhadap kenyataan Soi Lek itu.

"Pihak media sila dapatkan kenyataan dari pemimpin Umno terlebih dahulu untuk tatapan semua," katanya.

Tiada ulasan: