Khamis, 23 Ogos 2012

PAS yakin rakyat tolak politik perkauman Umno

Muhammad Faizal,
 
KUALA LUMPUR: PAS melihat Umno cuba mencetus ketakutan orang Melayu dengan menggunakan sentimen perkauman dalam agenda politik mereka bagi menghadapi pilihanraya umum ke-13 nanti.

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar memberitahu Umno sedang mereka-rekakan cerita bahawa bangsa Melayu akan terancam disebabkan oleh bangsa lain.

"Dalam masa mereka hendak mengukuhkan kedudukan mereka, orang Melayu dimomokkan Umno dengan menggunakan politik sentimen perkauman.

"Umno telah menakut-nakutkan orang Melayu bahawa kedudukan bangsa Melayu akan terancam jika kaum lain memenangi pilihanraya," katanya kepada Harakahdaily.

Menurutnya lagi, tindakan Umno dan akbar milik mereka yang sering mempolemikkan isu sensitif dengan hasrat untuk menakut-nakutkan rakyat negara ini terutamanya orang Melayu akan menggagalkan semangat perpaduan kaum negara ini.

"Rakyat telah sedar dengan fitnah yang dilemparkan oleh mereka dan saya pasti Umno akan terus agresif untuk meneruskan isu sentimen perkauman ini demi politik mereka.

"Namun saya yakin, rakyat sudah matang serta menolak politik sempit Umno, rakyat sendiri sudah pasti keputusan yang mereka lakukan demi kesejahteraan negara ini bukannya politik perkauman Umno," kata beliau lagi.

Sebelum ini, filem 'Tanda Putra' yang akan ditayangkan pada 13 September nanti disifatkan banyak pihak sebagai filem yang cuba membangkitkan sentimen perkauman di negara ini.

Pakatan Rakyat sebelum ini juga meminta kerajaan menayangkan filem tersebut kepada pimpinan Pakatan Rakyat terlebih dahulu sebelum ditayang kepada umum bagi mendapat maklum balas terhadap filem 'kontroversi' itu.

Namum sehingga kini perkara tersebut tidak mendapat maklum balas dari pihak kerajaan.

Tiada ulasan: