Jaguh badminton negara Datuk Lee Chong Wei berhasrat menubuhkan sebuah yayasan kebajikan bagi membantu anak yatim dan golongan yang memerlukan.
  
Pemenang pingat perak Sukan Olimpik 2012 London itu berkata yayasan sempena namanya akan didaftarkan dalam masa terdekat.
  
Bercakap kepada Bernama TV di majlis rumah terbuka bekas ratu pecut negara Datuk Mumtaz Jaafar di ibunegara semalam, Chong Wei berkata: "Saya memang berhasrat menubuhkan yayasan itu sejak sebelum Olimpik lagi.
  
NONE"Namun, hasrat itu terpaksa ditangguhkan buat seketika bagi memberi lalulan kepada temasya sukan Olimpik agar fokus untuk mendapatkan pingat emas tidak terganggu."
  
Tambah Chong Wei, penubuhan sebuah yayasan bukan satu perkara mudah kerana memerlukan khidmat ramai tenaga kerja.
  
"Ini adalah impian saya sejak dulu lagi. Ini memerlukan perancangan yang rapi dan bantuan dari ramai orang. Abang dan kawan-kawan saya akan membantu saya melaksanakan hasrat saya," katanya.
  
Pemain kelahiran Bukit Mertajam itu berkata kini merupakan masa yang paling sesuai untuk melaksanakan tanggungjawab sosialnya bagi meringankan beban anak-anak yatim serta golongan yang memerlukan bantuan.
  
"Yayasan ini adalah cara saya untuk kembali berjasa kepada masyarakat yang sentiasa mendoakan kejayaan saya serta menyokong saya di pentas badminton dunia," kata Chong Wei.
  
Walaupun serius di gelanggang badminton, aktiviti kebajikan bukanlah satu perkara baru untuk pemain badminton yang berjiwa rakyat ini.
  
Sebelum ini, Chong Wei pernah terlibat dalam mengumpul dana amal 'Hope and Smile' bagi membantu mangsa tsunami dan gempa bumi Jepun melalui perlawanan kebajikan tahun lalu.- Bernama