Kejadian kira-kira jam 6 petang itu bukan sahaja kelengkapan hari raya pasangan Abdul Aziz Embong, 52, dan isterinya Noraini Salleh, 54, hangus, tetapi lebih menyedihkan kediaman dua tingkat mereka turut musnah sepenuhnya.
Menceritakan semula kejadian, Abdul Aziz berkata, sebelum itu, dia sedang duduk berehat di ruang tamu rumah sementara menunggu waktu berbuka puasa sebelum ternampak percikan api dari ruang atas rumah.
“Ketika itu, saya, isteri bersama empat anak dan seorang menantu yang baru pulang semata-mata ingin menyambut Aidilfitri, berada di rumah.
“Kami tidak sempat menyelamatkan sebarang harta benda termasuk persiapan hari raya serta dokumen-dokumen penting kerana api merebak terlalu cepat,” katanya sebak.
Bagaimanapun, Abdul Aziz bersyukur kerana semua ahli keluarganya terselamat dalam kejadian itu.
Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu, Pegawai Kanan Bomba 11, Badrul Hisham Othman berkata, sebanyak dua jentera dengan kekuatan 14 anggota berjaya mengawal keadaan dalam tempoh 10 minit walaupun sebelum itu terpaksa berdepan masalah kesesakan lalu lintas melampau.
Katanya, punca kejadian dipercayai akibat masalah lintas pintas dan kerugian dianggarkan kira-kira RM20,000.
Jalan sesak akibat kemalangan
Sementara itu, seorang maut manakala dua cedera parah dalam satu kemalangan melibatkan pertembungan tiga buah kereta di KM17 Jalan Terengganu/ Kelantan di Tepoh, di sini, petang kelmarin.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Zamri Shamsuddin berkata, kejadian kira-kira jam 4.10 petang itu melibatkan sebuah kereta jenis Naza Citra, sebuah kereta jenis Proton Wira Aeroback serta sebuah kereta Perdana.
“Mangsa yang berasal dari Bukit Payung, Marang yang merupakan pemandu kereta Naza Citra maut di lokasi kejadian kerana dipercayai luka parah di kepala, manakala empat lagi ahli keluarganya hanya mengalami cedera ringan dan mendapatkan rawatan pesakit luar di Hospital Sultanah NurZahirah (HSNZ), disini,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.
Menurut Zamri, dua mangsa yang cedera parah berasal dari Alor Jambu, merupakan penumpang kereta Proton Perdana, manakala dua lagi penumpang lain hanya cedera ringan dan kesemua mereka menerima rawatan di HSNZ.
“Kedua-dua mangsa melibatkan seorang bapa dan seorang anak dan kini kedua-dua beranak itu sedang mendapatkan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU), HSNZ.
“Bagaimanapun penumpang Proton Wira Aeroback tidak cedera,” katanya.
Punca kejadian masih dalam siasatan.
Sementara itu menurut Zamri, keadaan lalu lintas agak sesak di lokasi kejadian berpunca daripada sikap kurang prihatin pemandu lain yang memperlahankan kenderaan semata-mata ingin melihat kejadian itu.
“Namun lalu lintas berjaya dikawal selepas ketiga-tiga kenderaan terbabit dialihkan,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan