Rabu, 8 Ogos 2012

Cadang Guna Semula loji Jelutong Untuk Tingkat Kapasiti Air





SHAH ALAM : Kerajaan Negeri  mempertimbangkan cadangan menggunakan semula Loji Air Bukit Jelutong sebagai langkah alternatif untuk meningkatkan kapasiti air untuk kegunaan pengguna di Selangor.

Timbalan Pengarah Unit Perancang Ekonomi Selangor (UPEN) Nor Azmi Dir0n menjelaskan, jika loji ini kembali beroperasi, dijangkakan mampu menghasilkan 50 juta liter air sehari.

“Loji Air Bukit Jelutong tidak digunakan sejak tahun 1995. Jika digunakan ia mampu menjana air sehingga 50 juta liter sehari. Dahulunya loji ini ditutup kerana mempunyai kadar racun yang tinggi.

Maka kita sedang mengkaji dan mencari langkah terbaik agar loji ini dapat beroperasi semula,” katanya dalam reaksi ketika menjawab pertanyaan yang dikemukakan oleh Penyelaras DUN Permatang, Yahya Saari.

Selain itu, Kerajaan Negeri merancang untuk menggunakan teknologi membran dan menerokai sumber air bawah tanah yang boleh digunakan untuk meningkatkan penjanaan air di loji terawat sedia ada.

Sebelum ini, Exco Selangor, Dr Xavier Jayakumar menyatakan Kerajaan Negeri sedang mengkaji untuk membelanjakan antara RM200 juta hingga RM300 juta untuk meningkatkan kemampuan rawatan air dengan menggunakan teknologi membran.

Berhubung persediaan penggunaan air menjelang musim perayaan, Nor Azmi memaklumkan, pihaknya akan memantau Standard Operation Prosedur (SOP) yang disediakan bnagi mengelakkan sebarang gangguan yang tidak diingini.

“Berdasarkan rekod dan pengalaman perayaan yang lepas, penggunaan air berkurangan sehingga 20 peratus memandangkan ramai pengguna pulang ke kampung ditambah dengan cuti panjang,” katanya ketika taklimat isu air dan hutang Talam di SACC di sini.

Tiada ulasan: