Khamis, 14 Jun 2012

Rayu pemandu kereta tampil

Wartawan Sinar Harian

Rayu pemandu kereta tampil
Yoke Soy menceritakan kejadian yang hampir meragut nyawanya kepada Andrew
yang membuat lawatan ke HSI, semalam
 
 
JOHOR BAHRU – Mangsa kemalangan jalan raya merayu pemandu kereta yang didakwa melanggarnya dalam kejadian di kilometer 18 Lebuh Raya Pasir Gudang-Perling pada 5 Jun lepas tampil menyerah diri.

Wong Yoke Soy, 47, berkata, kemalangan yang berlaku kira-kira jam 9 malam itu menyebabkan tangan dan tulang rusuk kanannya patah serta mengalami luka yang serius seluruh badan.

Menurutnya, kemalangan itu berlaku ketika dia menunggang motosikal pulang dari tempat kerja di Pasir Gudang menuju ke rumahnya di Taman Universiti, Skudai.

“Saya tidak ingat kereta jenis apa yang melanggar saya, tetapi warnanya seperti merah kerana sebaik saya terjatuh daripada motosikal, pemandu itu terus memecut laju.

“Saya tidak sangka dia (pemandu) tergamak membiarkan saya kesakitan seorang diri, tetapi bernasib baik kerana ada pemandu lori membantu dengan menghubungi ambulans,” katanya kepada media yang hadir membuat lawatan bersama Ahli Jawatankuasa DAP Negeri, Andrew Chen Kah Eng di Hospital Sultan Ismail (HSI), di sini, semalam.

Yoke Soy berkata, pemandu kereta yang melanggarnya diminta bertanggungjawab dan tampil menyerah diri untuk membantunya membuat tuntutan insurans.

Menurutnya, sudah seminggu dia dirawat di HSI dan bimbang dengan masa depan keluarganya yang hanya bergantung harap kepada pendapatannya, memandangkan anak sulungnya baru menamatkan pengajian.

“Saya rayu pemandu kereta tampil serah diri kerana dia hanya dikenakan saman sahaja, berbanding jika dia ditangkap dan boleh membantu saya dalam membuat tuntutan insurans.

“Saya masih ada dua anak yang bersekolah, sedangkan isteri tidak bekerja. Tolonglah bertanggungjawab dan tidak lepas tangan dalam hal ini,” katanya.

Sementara itu, Andrew berkata, pemandu kereta yang terlibat dalam kemalangan berkenaan diminta tampil kerana jika ditangkap boleh disiasat di bawah Seksyen 52 yang mana jika didapati bersalah boleh didenda tidak lebih RM2,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan.

“Kita juga mengharapkan kerjasama orang ramai yang melihat kejadian supaya tampil memberikan maklumat agar pemandu kereta yang masih enggan menyerah diri dapat ditangkap segera,” katanya.

Tiada ulasan: