Jumaat, 8 Jun 2012

PKR mahu jaminan Khaled isu PTPTN-Unisel tak berulang

Jamilah Hamzah

Isu PTPTN
Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN)
 
SHAH ALAM - PKR menyambut baik keputusan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menarik balik pembekuan pinjaman kepada penuntut Universiti Selangor (Unisel) dan Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (Kuis), tetapi mahu jaminan Menteri Pengajian Tinggi bahawa perkara yang sama tidak akan berulang.

Pengarah Strateginya, Rafizi Ramli berkata, pengumuman tidak rasmi bahawa PTPTN telah membatalkan arahan pembekuan pinjaman kepada pelajar Unisel disambut dengan lega.

"Saya mengingatkan Khaled supaya jangan sekali-kali cuba memperjudikan masa depan dan kebajikan pelajar demi kepentingan politik Umno.

"Sebagai orang yang bertanggungjawab mengarahkan pembekuan pinjaman PTPTN, beliau wajar memberi jaminan bahawa PTPTN tidak akan membekukan pembiayaan kepada mana-mana institusi atau pelajar yang layak menerimanya," katanya.

Rafizi juga berkata, PKR akan terus mendesak menteri terbabit mengeluarkan jaminan agar tindakan kebudakan-budakan oleh PTPTN di Unisel tidak akan berulang lagi.

Pagi tadi, Sinar Harian Online membawa laporan bahawa PTPTN telah membatalkan pembekuan kemudahan pinjaman kepada penuntut Unisel.

Perkara itu  disahkan oleh Pemangku Naib Canselor Unisel,  Prof Dr Anuar Ahmad kepada Sinar Harian.

"Ini hasil perbincangan bersama pihak PTPTN yang dipengerusikan Ketua Eksekutif PTPTN, Agos Cholan di pejabat PTPTN jam 11 pagi tadi.

"Saya kini dalam perjalanan untuk bertemu dengan Menteri Besar Selangor (Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim) memaklumkan perkara ini," katanya.

Tindakan PTPTN membekukan kemudahan pinjaman berhadapan dengan reaksi yang pelbagai.

Semalam, Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin berkata, PTPTN tidak wajar menyekat penuntut Unisel daripada terus menikmati kemudahan pinjaman agensi itu walaupun pembangkang berpendirian ia patut dimansuhkan.

Katanya, para penuntut tidak seharusnya menjadi mangsa dalam perbalahan antara PTPTN dan Kerajaan Selangor.
Kelmarin, pemimpin-pemimpin PKR termasuk Menteri Besar Selangor mengecam tindakan PTPTN menyekat kemudahan pinjaman kepada pelajar Unisel.

Mereka mendakwa PTPTN mengambil tindakan itu atas arahan Khaled.

Rafizi mendakwa Khaled menyekat kemudahan PTPTN kepada penuntut-penuntut Unisel.

"Saya mencabar Datuk Seri Khaled Nordin untuk menjelaskan kepada rakyat sama ada tindakan menyekat pinjaman PTPTN kepada pelajar Unisel ini adalah arahan beliau sendiri?

"Jika itu benar, tindakan itu perlu dikutuk dan beliau wajar meletakkan jawatan kerana mengamalkan politik berdendam yang tidak lagi sesuai dengan arus politik mutakhir," kata beliau.

Dalam kenyataannya petang ini, Rafizi juga berkata bahawa pihaknya menyambut baik pengumuman Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim semalam akan mengadakan dana RM30 juta untuk membantu penuntut Unisel yang terkesan dengan pembekuan pinjaman PTPTN.

Katanya, mereka mengalu-alukan pengumuman Menteri Besar Selangor bagi memberi dana sebanyak RM30 juta dalam membantu penuntut Unisel yang terjejas ekoran pembekuan bantuan kewangan oleh PTPTN.

"Saya mengalu-alukan pengumuman Menteri Besar Selangor berhubung penubuhan dana RM30 juta untuk membantu pelajar-pelajar Unisel yang terkesan dengan pembekuan pinjaman PTPTN baru-baru ini.

"Iltizam PR untuk melakukan yang termampu bagi memastikan kebajikan pelajar tidak terjejas adalah sangat bertentangan dengan sikap tiga orang Menteri Umno iaitu Tan Sri Muhyiddin Yassin, Khaled dan Datuk Seri Noh Omar yang gembira dengan kesusahan pelajar demi permainan politik mereka," katanya lagi.

Katanya, kemarahan rakyat dari pelbagai lapisan masyarakat, kumpulan mahasiswa, orang kebanyakkan hinggalah pimpinan Barisan Nasional (BN)  akhirnya mendesak Khaled dan PTPTN menghentikan tindakan menjadikan pelajar itu sebagai mangsa keadaan ekoran arahan menyekat pinjaman kepada pelajar-pelajar Unisel tersebut.

Tiada ulasan: