Jumaat, 8 Jun 2012

Pemuda PAS gesa Malaysia tutup kedutaan Syiria

Muhamad Faizal,
 
KUALA LUMPUR: Hampir 100 orang menyertai demonstrasi di hadapan bangunan Kedutaan Syiria hari ini bagi membantah tindakan kejam regim Bashar Assad melakukan pembunuhan beramai-ramai ke atas rakyatnya.

Himpunan anjuran Dewan Pemuda PAS Pusat itu bermula dari Masjid Tabung Haji sejurus selesai solat Jumaat sebelum berarak ke bangunan kedutaan itu di Jalan U-Tant.

Mereka melaungkan slogan 'Hancur Bashar', 'Selamatkan Syiria', 'tutup Kedutaan Syiria'.

Mereka turut membawa poster dan kain rentang bertulis 'Stop children killer now' dan 'Assad=hitler' serta mengibarkan bendera Syiria.

Minggu lalu, di Houla menyaksikan pembunuhan beramai-ramai membabitkan kematian lebih 100 penduduk, hampir separuh daripadanya adalah kanak-kanak.

Biarpun pembunuhan itu dinafiakan Bashar Assad, namun Penyiasat Pertubuhan Bangsa-Bangsa (PBB) dan pembangkang negara itu mempunyai sangkaan kuat bahawa pembunuhan itu dilakukan tentera pro kerajaan.
Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz ketika menyampaikan ucapan pada himpunan itu hari ini mendesak agar Kerajaan Malaysia menutup dengan segera Kedutaan Syiria dan menghalau mereka dari bumi Malaysia.

"Kita berkumpul ini adalah tanda sokongan kita sebagai umat Islam yang menentang kekejaman Bashar, yang mana telah memalukan umat Islam di seluruh dunia.

"Kerajaan Malaysia perlu bertindak tegas dalam hal ini, sepatutnya kerajaan jangan lepas tangan dan mesti menutup kedutaan dengan segera," jelasnya.

Tambahnya lagi, tindakan penutupan kedutaan ini adalah sebagai tanda bahawa kita menentang kekejaman yang dilakukan oleh Bashar.

Menurutnya lagi, demo bantahan ini akan terus dilakukan jika suara rakyat Malaysia dan umat Islam tidak didengari oleh kerajaan.

"Ini merupakan perhimpunan kali kelima dilakukan terhadap bantahan kekejaman tersebut dan jika kerajaan tidak mengambil apa-apa tindakan kita akan meneruskan perhimpunan ini pada masa akan datang.

Pada perhimpunan kali ini tiada memorandum diserahkan kepada pihak kedutaan, kerana sehingga sekarang tidak ada jawapan langsung diperoleh terhadap memorandum yang diserahkan sebelum ini.

Himpunan aman yang turut disertai rakyat Syiria itu berakhir kira-kira jam 3 petang.

Turut menyertai perhimpunan tersebut adalah Ketua Penerangan DPPM, Riduan Mohd Nor dan juga Ketua Pemuda PAS Wilayah Persekutuan, Kamaruzzaman Mohammad.

LIHAT VIDEO: Malaysia didesak halau duta Syria

Tiada ulasan: