Selasa, 5 Jun 2012

Pelancong warga Malaysia, suami ditahan petani Mesir bebas

SINAR HARIAN

KUALA LUMPUR - Seorang wanita Malaysia yang sedang bercuti di Mesir bersama suaminya warga Australia dan beberapa pelancong lain dipercayai ditahan oleh sekumpulan orang yang dikatakan petani, namun kemudiannya dibebaskan.

Insiden dikatakan berlaku ketika mereka sedang melawat tapak pelancongan Abu Simbel di selatan Mesir.

Seorang daripada rakan Norbazrina Yazid Gilliland di New York memaklumkan kepada Bernama mengenai insiden itu selepas membaca catatan terkini eksekutif pengurusan itu dalam akaun Facebooknya.

Usaha Bernama untuk menghubungi kedutaan Malaysia di Kaherah bagaimanapun gagal.

Adik perempuan Norbazrina, Norzalekha Yazid, ketika dihubungi di sini malam tadi berkata, lawatan ke Mesir itu untuk meraikan ulang tahun ke-10 pasangan berkenaan.

Norzalekha berkata, keluarganya dihubungi oleh seorang pegawai kedutaan kira-kira 9 malam tadi, yang memaklumkan kepada mereka bahawa semua orang yang ditahan itu telah pun dibebaskan.

Usahanya untuk menghubungi Norbazrina or Rina, 33, tidak membuahkan hasil, namun siswazah komunikasi massa dari Universiti Teknologi Mara itu berjaya menghantar Khidmat Pesanan Ringkas kepada ibunya kira-kira 6.14 petang dengan mesej, "Doakan supaya kami keluar dengan selamat."

Norzalekha berkata, keluarganya berasa lega selepas mendapat panggilan telefon daripada pegawai di kedutaan Malaysia itu.

"Bagaimanapun kami masih bimbangkan keadaan dirinya kerana kami masih belum dapat berhubung dengannya," katanya.

Dalam Facebooknya itu, Rina menulis bahawa sekumpulan pelancong "ditahan sebagai tebusan oleh petani Mesir sejak empat jam lepas" dan "tentera sedang berunding dengan mereka".

"Kami okay, hanya panas dan runsing," tulis beliau.

Rina kemudian mengemas kini catatannya itu, dengan berkata "kami cuba melarikan diri tetapi polis memberitahu kami supaya tidak berbuat demikian" dan "dua kumpulan dapat melarikan diri sebelum kami namun kami telah ditahan".

Beliau turut berkata, kumpulannya mengandungi 11 orang dan mereka berusaha untuk mendapatkan makanan.

"Tiada senjata api tetapi petani ini nampaknya tidak gembira tentang sesuatu dan kami pula kebetulannya berada di sini," tulis beliau.

Tiada ulasan: