Rabu, 13 Jun 2012

Pas Johor: Sasaran sama, rugi jika tak bersama PR

AZLINA OTHMAN

Pesuruhjaya Pas Johor, Datuk Dr Mahfodz Mohamed
Pesuruhjaya Pas Johor, Datuk Dr Mahfodz Mohamed
 
 
SENAI – Pas Johor menyifatkan kenyataan yang dikeluarkan Ahli Majlis Tertinggi Umno, Dr Mohd Puad Zarkashi yang meramal Pas akan mengalami kerugian besar berbanding DAP sekiranya meneruskan pakatan bersama dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13), umpama menyindir diri sendiri.

Pesuruhjayanya, Datuk Dr Mahfodz Mohamed berkata, sebaliknya Pas pula yang akan mengalami kerugian besar sekiranya tidak bersama DAP dan PKR disebabkan mereka mempunyai pemahaman politik yang sama.

Menurutnya, mereka tetap akan berjuang di bawah landasan Pakatan Rakyat (PR) serta sudah mengikat janji dan semangat setiakawan untuk berjuang habis-habisan pada PRU akan datang.

“Kami khuatir, situasi ini berlaku sebaliknya. Ini kerana sokongan masyarakat Tionghua dan India dilihat semakin beralih arah kepada DAP dan PKR. Tidak seperti dahulu, mereka mungkin menyebelahi MCA atau MIC di bawah kepimpinan Barisan Nasional (BN).

“Apa yang pasti, Pas bukanlah kuda suruhan DAP. Motif perjuangan kami adalah sama. Kenyataan yang dikeluarkan sebelum ini umpama menyindir diri mereka sendiri sahaja. Bahkan, kami sebenarnya sudah sangat bersedia untuk menghadapi apa jua kemungkinan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pemuda Pas Johor, Suhaizan Kaiat berkata, kenyataan itu membayangkan Umno seperti 'pukul anak sindir menantu'.

Ini kerana katanya, perpecahan serius sebenarnya bukan berlaku dalam PR, sebaliknya situasi itu berlaku dalam kalangan kepimpinan Umno di negeri ini sendiri.

Menurutnya, perpecahan Umno di peringkat bahagian tertentu sangat serius sehingga sukar untuk kepimpinan Umno meletakkan calon dalam PRU akan datang termasuk calon Menteri Besar Johor daripada BN.

“Kesan kepada perpecahan Umno Johor ini telah menyebabkan kepimpinan Umno terpaksa membuat lawatan di setiap Bahagian lebih daripada sekali untuk membuat persiapan PRU. Keadaan ini tidak pernah berlaku pada PRU sebelum ini di sini.

“Salah satu punca kenapa Parlimen belum dibubarkan kerana ketidakyakinan Umno mengekalkan kemenangan di Johor seperti sebelum ini.  Terdapat sembilan kerusi Parlimen BN yang panas di Johor dan semakin hari semakin banyak kerusi bilangan Parlimen yang panas.

“Walau bagaimanapun, keprihatinan Dr Puad Zarkashi terhadap Pas yang mahu menubuhkan kerajaan bersama PR di Johor adalah sesuatu yang membanggakan. Ini memberi gambaran bahawa dalam hati Dr Puad Zarkashi sudah ada sinar cahaya Pas, sebuah parti yang pernah dianggotainya suatu masa dahulu,” katanya.

Tiada ulasan: