Jumaat, 1 Jun 2012

Musim durian dan panas PRU13

ABD JALIL ALI

Dia orang kata, musim durian ada kaitan rapat dengan PRU13. Malah, menurut para ahlul-nujum politik, salah satu tanda hari mengundi semakin hampir ialah durian.

Semakin kerap orang bercakap mengenai durian, makin panas pula suasana.

Memanglah lima enam bulan ini orang tidak habis-habis cakap mengenai durian. Bukan sebarang durian, tetapi durian runtuh. Kita berjamu durian tidak habis-habis.

Mula-mula warga emas dapat durian runtuh @ BR1M, bernilai RM500.

Seperti yang diberitahu setakat April 4,327,818, atau 86.1 peratus warga yang layak di seluruh telah diluluskan untuk menerima duit RM500. Semua tersenyum lebar hingga ke telinga. Baik yang dapat atau tidak dapat merasakan pemberian durian runtuh itu tanda pilihan raya sudah dekat.

Lepas itu ada banyak lagi jamuan durian runtuh. Polis dapat durian runtuh. Kakitangan awam dapat durian runtuh. Guru dapat durian runtuh. Satu lagi durian runtuh – gaji minimum –diumumkan.

Setakat ini penerima durian runtuh paling lumayan ialah peneroka Felda. Seperti yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak awal Mei lalu, habuan RM15,000 diberi kepada setiap keluarga peneroka termasuk saham berikutan penyenaraian FGVHB.

Pemberian itu melibatkan tiga fasa iaitu setiap ketua keluarga akan menerima RM5,000 melibatkan jumlah keseluruhan sebanyak RM563.715 juta, jumlah sama akan diagihkan kepada isteri peneroka sebagai mengiktiraf peranan golongan tersebut dan fasa ketiga melibatkan generasi kedua Felda.

Setiap kali durian runtuh, orang mengaitkannya dengan pilihan raya. Sana-sini orang bercakap mengenai SPR, undi guna dakwat, ‘winnable candidate’. Malah, ada yang sudah meneka – macam pandai sangat! – siapa lawan siapa, di mana. Siapa akan digugurkan, siapa calon baru. Pendek kata setiap hari orang bercakap mengenai PRU13.

Tetapi, sampai hari ini setelah bertan-tan durian diruntuhkan, PRU13 masih menjadi teka-teki umum. Bila lagi? Semua kata pilihan raya semakin dekat, tetapi tidak ada seorang pun tahu bila tarikhnya. Malah, ada yang suka pilihan raya ditunda lebih lama, supaya dapat banyak lagi durian runtuh.

Oleh sebab bukan anak Felda, saya tidak berhak untuk menikmati dan merayakan durian runtuh yang RM15,000. Saya tidak layak juga menerima durian BR1M, juga durian runtuh yang lain. Maka, saya lebih suka bercakap mengenai durian betul.

Sehari dua ini saya mula nampak buah berduri itu di jual di tepi jalan Kampung Medan, juga di beberapa pasar malam sekitar KL. Oleh sebab baru muncul, harganya amat mahal. Ada yang RM15 sekilo, paling murah pun RM8 sekilo. Kebanyakan orang hanya mampu melihatnya di sisi, sambil mencium baunya, secara percuma.

Saya tidak termasuk dalam kumpulan gila durian. Sebenarnya dengan kadar gula yang tinggi dalam darah, saya amat tidak digalakkan makan durian. Maka saya lebih suka memerhatikan orang membeli durian.

Setiap kali musim durian saya selalu dikelirukan dengan berbagai angka dan nama yang diberikan untuk buah ini. Ada D2, D24, D88, D101. Ada pula nama-nama hebat seperti ‘Musang King’, Udang Merah, ‘Hor Lor’, ‘Cat Mountain King’, Kucing Tidur, macam-macam. Lain angka, lain nama, lain harga!

Paling hebat ia dinobatkan sebagai raja buah. Bagi saya inilah raja paling malang, sebab dihalang ke tempat-tempat eksklusif, termasuk di hotel.

Selalu saya terbaca amaran yang ditulis terpampang berhampiran kaunter masuk hotel: “Maaf, tidak dibenarkan membawa durian!”

Tidakkah ini satu penghinaan terhadap buah kita? Untuk apa dinobatkan sebagai raja sekiranya buah lazat ini dipinggirkan?

*Tulisan saya di ruangan ini minggu lalu ‘Usah Tarik Seluar Dalam Orang’ mendapat berbagai komen dari pembaca. Sama ada mereka menyokong atau sebaliknya, saya tetap dengan pendirian bahawa kita tidak sepatutnya mengaibkan peribadi seseorang secara keterlaluan.

Bagaimanapun saya mengakui agak emosional terhadap mereka yang saya sebut sebagai ‘kaki aib’, iaitu mereka yang suka mendedahkan aib orang secara keterlaluan.

Saya sedar tidak adil bagi saya menuduh mereka mendapat wang atas pendedahan yang dibuat.

Kerana tuduhan yang tidak sepatutnya itu, saya mohon maaf kepada nama-nama yang disebut dalam tulisan tersebut, khasnya kepada Ahli Majlis Syura Kelab Tolak Individu Bernama Anwar Ibrahim (TIBAI), Abdul Ghani Haron.

1 ulasan:

dlines berkata...

bagi yang tak dapat durian runtuh,kita ramai2 runtuhkan umno/bn...nanti kita pula dapat durian runtuh dari pakatan