Isnin, 18 Jun 2012

Majlis Fatwa dituntut keluar pendirian isu PRU waktu haji

 
MALAYSIA KINI

 
Pemuda PAS menuntut Majlis Fatwa Kebangsaan (MFK) mengeluarkan fatwa atau sekurang-kurangnya pendirian sama ada pilihan raya umum boleh diadakan ketika musim haji yang didakwa boleh menyebabkan kehilangan 20,000 undi jemaah terlibat.

muktamar pas youth 020611 nik abduhTimbalan ketua dewan itu Nik Abduh Nik Abdul Aziz berkata, ia selari dengan fungsi MFK sebagai penasihat kerajaan persekutuan dalam hal berkaitan fatwa dan sebagai rujukan kepada orang awam dalam permasalahan hukum hakam.

"Jika Majlis Fatwa Kebangsaan JAKIM mampu bersuara dan mengeluarkan fatwa untuk aktiviti yang berkaitan dengan pihak pembangkang, maka amatlah wajar Majlis Fatwa untuk mengeluarkan fatwa dan pendirian berhubung dengan isu yang amat besar ini walaupun ia berkaitan dengan kerajaan Malaysia," katanya.

PAS sebelum ini berkali-kali membangkitkan kemungkinan itu ekoran tindakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang masih berteka teki tentang tarikh pilihan raya.

Malah, ketua penerangannya Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man mencadangkan anggotanya yang terlibat langsung dalam proses pilihan raya menangguhkan dahulu menunaikan ibadat itu pada tahun ini.

Dalam kenyataannya hari ini, Nik Abduh berkata, mengadakan pilihan raya semasa haji isu amat besar kerana melibatkan kehormatan umat Islam terhadap musim ibadah tersebut dan hak rakyat Malaysia untuk memilih.

Katanya, semasa perjanjian Hudaibiyah, Rasulullah SAW dan sahabat bermusafir ke Mekah dengan berihram dan tidak membawa senjata kerana menghormati asyhurul ahram (bulan mulia yang diharamkan berperang).

Malaysiakini sedang mendapatkan reaksi MFK berhubung isu tersebut.

Tiada ulasan: