Isnin, 18 Jun 2012

Khairy perlu satu penggal lagi jadi Ketua Pemuda





 
Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, beliau memerlukan satu penggal lagi untuk memimpin sayap parti itu sebelum berfikir untuk bertanding bagi jawatan lain dalam parti.

Beliau berkata, tugas membawa transformasi kepada Pemuda tidak cukup hanya satu penggal.

"Saya perlu satu lagi penggal untuk transformasi pada Pemuda Umno dan Barisan Nasional (BN). Kita tak nak persoal tentang naib presiden lagi atau apa-apa. Saya cuma akan duduk di Pemuda Umno.

khairy jamaluddin at bn youth volunteers 2"Sebab saya rasa kalau betul-betul dapat membuat perubahan pada Pemuda, bukan setakat program, tetapi mentaliti dan budaya yang ada dalam Pemuda Umno dan BN.

"Kalau orang tanya, adakah saya berjaya sebagai ketua pemuda, saya akan jawab baru 50 peratus... dari segi budaya, sikap dan mentaliti masih lagi belum mencapai kejayaan 100 peratus," katanya.

Khairy menegaskan demikian ketika menjawab pertanyaan salah seorang hadirin sesi pertemuan ahli Parlimen Rembau itu dengan pengikut Twitternya malam tadi di sebuah restoran di Kuala Lumpur.

Dalam sesi pertemuan yang dihadiri kira-kira 50 orang itu, Khairy juga ditanya mengenai kemungkinan bertanding di Kepala Batas, Pulau Pinang dalam pilihan raya umum akan datang.

Menjawab pertanyaan itu, Khairy berkata, beliau akan tetap bertanding di Rembau kerana tidak mahu menjadi calon 'payung terjun'.

"Kepala Batas mahukan calon tempatan. Saya bukan orang Kepala Batas. Saya kahwin dengan anak orang Kepala Batas," kata Khairy ketawa sambil menambah, adalah tidak adil sekiranya beliau bertanding di kawasan yang tidak ada kaitan dengan dirinya.

Jelasnya, untuk bertanding di sesebuah kawasan, adalah lebih elok sekiranya orang tempatan dan yang telah bekerja lama di tempat itu untuk bertanding.

"Kalau ada permintaan untuk ke tempat lain, saya rela tak bertanding. Bagi saya tak adil. Saya tak ada kena mengena dengan tempat lain. Mereka ada orang tempatan, orang lama yang buat kerja di situ. Saya tak nak ada calon payung terjun. Punca kita kalah di sesetengah tempat ialah ada calon payung terjun ini," kata Khairy.

Sementara itu, pada sesi kira-kira selama 1 jam 40 minit itu, Khairy turut ditanya mengenai hubungannya yang dikatakan rapat dan menyokong Ahli Parlimen Permatang Pauh, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dengan nada tegas dan menyeloroh, Khairy berkata, beliau sehingga hari ini tidak pernah menyukai Ketua Pembangkang itu.

Katanya lagi, beliau tidak pernah sekalipun mencium tangan Anwar sebaliknya, katanya, terdapat pemimpin lain dalam Umno yang pernah mencium tangan penasihat PKR itu sehingga ke tahap 'telan cincin'.

"Saya tak pernah ubah pendirian saya tentang Permatang Pauh (Anwar). Dari dulu sampai sekarang saya tak suka Datuk Seri Anwar. Kalau ada orang cakap saya dulu sokong Anwar, tunjuk bukti.

"Ramai kata saya sokong Anwar Ibrahim. Saya tak pernah cium tangan Anwar Ibrahim. Saya tak pernah cium tangan Anwar sampai tahap nak telan cincin. Ada ramai pemimpin Umno lain termasuk yang ada di kabinet yang pernah 'telan cincin' Anwar Ibrahim.

"Kalau nak kata yang sokong Anwar Ibrahim tu, ramai pemimpin senior dalam Umno yang banyak sokong Anwar dulu... Ada pemimpin Umno yang masih lagi dalam kepimpinan tertinggi Umno yang pernah cium tangan Anwar Ibrahim. Saya tak pernah cium tangan dia," tegas Khairy disambut tepukan hadirin.

Tiada ulasan: