Isnin, 18 Jun 2012

Jual Dokumen Rasmi : AMK Lapor Polis Terhadap Najib



AMK bersama laporan polis yang dibuat


SHAH ALAM : Angkatan Muda Keadilan (AMK) mendesak polis menjalankan siasatan segera dan telus berhubung dakwaan penglibatan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam skandal penjualan dokumen rasmi pertahanan negara ketika urusan pembelian kapal selam Scorpene.

Ketua AMK Pusat, Shamsul Iskandar Md Akin dalam kenyataan medianya berkata, sewajarnya pendedahan terbaru Suara Rakyat Malaysia (Suaram) diberi perhatian serius oleh pihak berkuasa kerana kes berprofil tinggi itu melibatkan kepentingan negara.

Menurutnya, AMK Pusat menerusi jentera AMK negeri akan terus membuat desakan ini dengan siri laporan polis yang dijalankan di seluruh negara dan sekiranya tiada respon dari polis maka laporan susulan akan dipanjangkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).



“Polis perlu menjalankan siasatan biarpun ia melibatkan Perdana Menteri yang ketika itu Menteri Pertahanan kerana adalah jelas adanya elemen rasuah dalam perkara ini. AMK juga menyifatkan perkembangan terbaru skandal ini sebagai pengkhianatan tertinggi dan amat tidak bertanggungjawab dalam membocorkan akses dokumen keselamatan negara.

“AMK telah dan akan meneruskan gerakan membuat laporan polis dan SPRM di seluruh negara dalam memastikan tuntutan kita supaya siasatan dilakukan terhadap Perdana Menteri termasuk pihak berkaitan dengan kes penyelewengan paling korup dalam sejarah politik negara tidak ditutup dan tidak terlepas daripada muka pengadilan akibat kesalahan penggunaan kuasa dan pengaruh politik sewenang-wenangnya,” katanya.

Shamsul selanjutnya menyelar Najib dan pihak terlibat sebagai melakukan perbuatan jenayah dagangan yang melibatkan jumlah transaksi melampau bagi kepentingan peribadi selain menjual kedaulatan negara.
Sehingga kini AMK telah membuat laporan polis di Selangor pada 6 Jun, Sabah (11 Jun), Melaka, Pulau Pinang, Perlis dan Perak (14 Jun),Johor dan Negeri Sembilan (15 Jun) serta Kelantan (17 Jun).

AMK akan meneruskan siri jelajah laporan polis itu ke Kuala Lumpur dan Pahang pada esok diikuti Terengganu (20 Jun); Kedah (21 Jun) diakhiri Sarawak (22 Jun).

Tiada ulasan: