Menjadi suatu keanehan jika seorang Muslim tidak beriman kepada ketetapan ALLAH bahawa ALLAH memberi kuasa kepada siapa yang Ia kehendakki dan merampas kuasa dari siapa yang Ia kehendaki.
Namun semua ketetapan juga akan menuntut kepada syarat hatta untuk memenangkan Agama ALLAH sekalipun.
Benar peringatan oleh Presiden Datuk Seri Hadi Awang dalam amanatnya di Perhimpunan Hijau ke Putrajaya semalam.
Prasyarat utama adalah mengukuhkan hubungan dengan ALLAH.
Dengan penuh kesedaran bahawa segalanya akan ditentukan oleh ALLAH S.W.T. Bagi setiap pejuang AgamaNya yang mengguna medan politik berdasarkan sokongan rakyat, syarat hati yang ikhlas kepada ALLAH akan mampu memenangi hati rakyat yang mahukan kemenangan Islam.
Adapun persoalan strategi dan tektik, Teras berpandangan sememangnya pertolongan ALLAH memerlukan persiapan dan kesungguhan dalam perjuangan.
Inilah intisari dari tuntutan ALLAH agar kaum Muslimin mempersiapkan diri dengan kekuatan apa sahaja bila berhadapan dengan musuh.
Teras mengira bahawa hampir 100,000 orang dari seluruh pelusuk Negara yang membanjiri Pehimpunan Hijau Ke Putrajaya di Stadium Alor Star Kedah semalam adalah digerakkan oleh hati-hati yang jernih untuk matlamat memenangkan Islam.
Tidak ada upah dan elaun, tidak ada kemudahan kenderaaan, tidak ada saguhati, tidak ada kemudahan penginapan, tidak ada kerahan agensi kerajaan untuk memenuhi stadium itu.
Menggagahi hujan yang lebat pada petangnya, berhimpit-himpit di padang dan tangga stadium sehingga tidak ada ruang sedikitpun untuk bergerak, tekun dan sabar serta bersemangat untuk solat berjamaah bersama pemimpin mereka, tekun mendengar ucapan sejumlah pemimpin dan penyokong kebenaran, menumpu perhatian kepada doa Mursyidul Am mereka, semua ini adalah ciri ke arah menyiapkan syarat kemenangan yang perlu dikekal dan dijadikan gelombang.
Inilah perbezaan dengan mereka yang berhimpun dengan cara pacingan wang, kemudahan pengangkutan yang ditanggung semua, acara hiburan yang mengelorakan nafsu, elaun poket yang dibayar tunai, peruntukan wang kerajaan yang dibelanja tetapi berselindung di sebalik justifikasi program agensi kerajaan.
Perbezaan inilah yang menggerunkan pihak yang melihat PRU13 sebagai “ibu segala pilihan raya”.
Kami berpendapat bahawa sementara sangat sukar untuk memperolehi kemenangan dalam kepungan sebuah sistem yang sudah dirangka sehingga tidak membenarkan ruang yang sama rata untuk berhujah dan bersaing dalam ruang demokrasi yang adil, namun tidak mustahil tsunami bakal berulang lagi.
Semangat dari kecintaaan kepada kebenaran Islam yang jitu walaupun dalam sekatan yang dianggap maha mencabar inilah yang akan menentukan kemenangan hakiki. Ia perkara kecil jika ALLAH sudah memutuskan bahawa bila kebenaran tiba, kebatilan pasti akan hancur.
Antara harapan dan yakin kepada ALLAH dan kerja keras inilah yang akan menjadikan perjuangan ini dirasai nikmatnya. Bagi mereka yang berpandangan dan beranggapan para pejuang Islam itu akan lelah dan kecewa sebenarnya akan jauh lebih kecewa kerana perjuangan Islam tidak pernah mati. Diperlaku sezalim mana sekalipun nafas perjuangan Islam tetap terus disambung.
Ikhwan Muslimin di Mesir sudah melalui babak yang jauh lebih pahit. Kini ruang terbuka dan dengan penuh istiqamah mereka meniti kemenangan sedikit demi sedikit dan selangkah demi selangkah.
Kami menyeru agar rakyat bersiap menempa zaman dan sejarah baru dengan gagah dan penuh bermaruah. Saatnya Putrajaya berada ditangan rakyat sudah tiba.
*Mohd Azmi Abdul Hamid, Presiden Teras
Tiada ulasan:
Catat Ulasan