Jumaat, 8 Jun 2012

Isu PTPTN: Kerajaan BN Takut dengan Keberanian, Keupayaan PR





SHAH ALAM: Terkejut dengan keberanian dan keupayaan Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor yang bersedia untuk menampung pembiayaan pendidikan pelajar Universiti Selangor (Unisel) selain desakan pelbagai pihak, akhirnya Kerajaan Pusat akur dan menarik semula pembekuan pinjaman Perbadanan Tinggi Pinjaman Tabung Nasional (PTPTN).

Speaker Dewan Negeri Selangor (DNS), Datuk Teng Chang Kim dalam reaksinya berkata, tindakan bolak-balik (flip flop) Kerajaan Pusat ini jelas menunjukkan mereka sebenarnya takut dengan keupayaan Kerajaan Negeri yang akhirnya membuatkan pemimpin Umno-BN menjilat air liur mereka semula.

Tindakan kononnya ingin ‘menguji’ Kerajaan Negeri sebenarnya mampu menjadi ‘senjata makan tuan’ kepada Umno-BN memandangkan sebelum ini mereka begitu mendabik dada mampu merampas kembali Selangor dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13).

“Mereka menguji sehari dan mendapati kerajaan Pakatan Rakyat adalah serius dalam perkara ini. Ini membuktikan pentadbiran Pakatan Rakyat memang mampu untuk membiayai perbelanjaan di peringkat IPTA ini.

“Atas sebab itu mereka terpaksa membuat keputusan untuk menarik balik keputusan sebelum ini,” katanya.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid dalam satu kenyataan semalam mengumumkan, pencairan aset hartanah seluas 500 ekar yang diperolehi hasil penyusunan semula hutang TALAM yang dianggarkan bernilai RM30 juta bagi membantu pelajar yang teraniayai akibat dari tindakan kerajaan Umno-BN membekukan PTPTN.

Tidak sampai 24 jam selepas itu, pihak PTPTN mengumumkan penarikan semula pembekuan pinjaman tersebut yang menyaksikan Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS) turut menerima nasib sama.

Sebelum ini beberapa pimpinan Umno-BN dengan lantang memuji langkah sekatan yang dikenakan terhadap dua IPT milik kerajaan Selangor namun Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin berpendirian sebaliknya.

Teng turut menegaskan, Kerajaan Negeri tidak mempunyai sebarang masalah untuk membiayai pendidikan di negeri ini sekiranya pembayar cukai membuat bayaran kepada Kerajaan Negeri dan bukannya kepada Kerajaan Pusat.

Katanya, Pakatan Rakyat tetap realistik dan optimis untuk melaksanakan pendidikan percuma sekiranya berjaya menakluki Putrajaya dalam PRU-13.

Tiada ulasan: