Jumaat, 8 Jun 2012

Hangus akibat ubat nyamuk

Wartawan Sinar Harian

Hangus akibat ubat nyamuk
Api yang marak menyebabkan 50 setinggan hangus dalam kebakaran, semalam.
 
 
KUALA LUMPUR - Dua rumah setinggan dan 27 kenderaan musnah dalam kebakaran di tapak bengkel Jalan Usahawan, Air Panas, Setapak, di sini, awal pagi semalam dipercayai berpunca daripada ubat nyamuk.

Ia berikutan ketika pihak forensik bomba melakukan siasatan, seorang lelaki enggan dikenali, mendakwa ubat nyamuk kepada seorang warga emas yang juga penghuni di situ menjadi penyebab kebakaran.

Bagaimanapun, warga emas berkenaan, Choi Wei Chin, 63, yang juga saksi pertama kejadian, menafikan dia menjadi punca kebakaran kerana mendakwa melihat api dari luar rumahnya. Menurutnya yang sudah lebih 40 tahun  menetap di rumah setinggan itu, sebaik menyedarinya, dia memanggil penghuni lain iaitu pekerja bengkel warga Mnyanmar yang tinggal di rumah sama (lain bilik).

“Saya cuba padamkan api dan ketika itu tangan saya turut terkena api,” katanya. Kejadian tersebut melibatkan bengkel membaiki kereta yang terlibat dengan kemalangan itu mengalami kerugian dengan anggaran RM1 juta. Difahamkan, lokasi kejadian yang terletak di bawah pencawang elektrik itu merupakan Bengkel Membina Jati Diri: Membaik pulih kenderaan dan menanam pokok bunga, kerjasama dengan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan  Kementerian Kesihatan.

Dua rumah setinggan itu juga dihuni tiga warga Mnyanmar yang bekerja di bengkel tersebut, bersama sebuah keluarga besar berjumlah lebih 15 orang. Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Setapak, Suki Anuar berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 6.22 pagi dan tiba lapan minit kemudian.

Katanya, empat jentera bomba, dari balai Setapak, Jelatik, Chow Kit dan Hang Tuah, dengan kekuatan 26 anggota bergegas ke lokasi kejadian. “Ketika tiba, api sedang marak namun berjaya di kawal pada jam 7.12 pagi sebelum dapat dipadamkan sepenuhnya kira-kira 30 minit kemudian.

“Api dikenal pasti bermula dari tengah, iaitu tapak salah sebuah rumah setinggan. “Namun pihak bomba bagaimanapun menolak punca kebakaran melibatkan litar pintas elektrik kerana bekalan elektrik di sini sudah terpotong sejak dua  bulan lalu,” katanya kepada Sinar Harian.

Tiada ulasan: