Ahad, 17 Jun 2012

Haji hanya boleh ditunda jika darurat, kata Dr Muhammad ‘Uthman


 
KUALA LUMPUR — Pakar akademik Islam tersohor, Dr Muhammad ‘Uthman el-Muhammady menegaskan, ibadah haji hanya boleh ditunda atau ditangguhkan dalam keadaan yang mendesak seperti darurat.

Dr Muhammad menegaskan, jika seseorang individu itu sudah berniat dan berkemampuan untuk melaksanakan ibadah haji, dia perlu menunaikannya dengan kadar segera tanpa menangguhkan Rukun Islam Kelima itu.

“Masalah pilihan raya tidak boleh mengatasi ibadah. Ia tidak boleh diletakkan melebihi tuntutan ibadah.
“Kecuali jika kita berada dalam keadaan darurat, seperti peperangan untuk mempertahankan negara, ia diharuskan untuk menunda ibadah haji,” tegasnya.

Menjelaskan perkara itu, Dr Muhammad berkata, “jika seseorang sudah berniat untuk mengerjakan haji, kemudian menundanya kerana pilihan raya, kemudian dia meninggal dunia sebelum sempat menunaikan ibadah haji, apa dia nak jawab di depan Allah di akhirat nanti?” soalnya apabila ditanya berkenaan tindakan PAS yang menggesa jenteranya menunda ibadah haji jika pilihan raya dilaksanakan di dalam musim haji.

Beliau yang  merupakan Felo Amat Utama, Ketamadunan dan Kefahaman Islam Antarabangsa, (ISTAK) Universiti Islam Antarabangsa (UIA) menegaskan, perkara berkaitan agama seharusnya tidak dipolitikkan oleh mana-mana pihak.

“Jangan dipolitikkan ibadah dan agama,” tegasnya lagi.

Sebelum ini, Mufti Perlis, Dr Juanda Jaya menegaskan, mengundi pada pilihan raya adalah wajib dan ia harus diberikan keutamaan bagi memberikan kekuatan kepada umat Islam.

Dipetik Sinar Harian, beliau turut berkata, pilihan raya umum yang diadakan dalam musin haji adalah satu tindakan yang tidak wajar, dan boleh mendatangkan fitnah kepada umat Islam di negara ini.

Jelas Juanda, jika kerajaan tidak mengambil tindakan yang adil secara menyeluruh, umat Islam juga akan mengalami kelemahan dari segi politiknya.

“Janganlah mewujudkan fitnah dan kekeliruan kepada umat Islam dalam soal ibadah mereka kerana kecelaruan dan perangai kurang cerdik orang-orang politik,” katanya kepada Sinar Harian.

“Jika benar ia diumumkan dalam musim haji nanti, baru kita menyatakan soal hukum kerana bercakap mengenai hukum terhadap perkara yang belum berlaku agak kurang cerdik dan boleh mendatangkan huruhara,” katanya.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Mufti Selangor, Datuk Mohd Tamyes Abd Wahid kelmarin bahawa membatalkan niat menunaikan fardu haji kali pertama adalah haram.

Mohd Tamyes sebelum ini berkata, jika dibatalkan niat itu hanya kerana perkara duniawi, seseorang itu akan dianggap mati dalam keadaan jahiliah jika belum sempat menunaikan Rukun Islam Kelima itu.

Sebelum ini, Ketua Penerangan PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang mahu ahlinya menangguhkan niat menunaikan haji pada tahun ini bagi memberikan fokus kepada PRU13.

Bagaimanapun, Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, kelmarin, menegaskan haji bukan ibadat yang perlu disegerakan dan meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memberi jaminan supaya  pilihan raya tidak dilaksanakan dalam musim haji kerana ibadat itu sangat penting bagi umat Islam.

Tiada ulasan: