Jumaat, 1 Jun 2012

Dilema peneroka beli saham FGVH

 
Mampukah para peneroka yang mengambil pinjaman bank untuk terus bertahan ketika harga saham menjunam nanti?




Kita tidak boleh terlalu gembira maupun bersedih ekoran pengumuman penyenaraian Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGVH) oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semalam.

Sebahagian pelabur menerima berita ini sebagai satu peluang keemasan untuk membeli saham dalam sebuah syarikat komoditi ketiga terbesar di dunia.

Sebahagian pelabur pula tidak boleh terlalu bergembira dengan Tawaran Awam Permulaan ini (IPO – Initial Public Offering) yang melibatkan sebanyak 2.19 juta unit yang ditawarkan pada harga RM4.55 sesaham kepada pelabur runcit.

Tulisan ini tidak bertujuan untuk menyentuh kemampuan pelabur-pelabur utama (cornerstone investors) yang bersedia untuk menyedut seberapa banyak pun jumlah saham yang ditawarkan.

Juga tulisan ini tidak berniat untuk menyinggung perasaan para pelabur tempatan termasuk pekerja dan peneroka yang berkemampuan dari segi kewangan untuk membeli saham-saham ini dengan wang tunai atau dari simpanan mereka sendiri.

Tetapi yang menjadi perhatian kita dalam isu penyenaraian FGVH yang penuh kontroversi ini ialah mampukah para peneroka yang kekurangan wang tunai untuk membeli saham-saham ini dengan mengambil pinjaman bank.

Mampukah para peneroka yang mengambil pinjaman bank untuk terus bertahan ketika harga saham menjunam nanti dan pada masa yang sama untuk dapat meneruskan servis pinjaman mereka pada setiap bulan.

Umum mengetahui bahawa mana-mana saham tidak akan berada di puncak selama-lamanya dan potensi untuk harganya menjunam tetap ada.

Jadi apabila harga saham jatuh para peneroka akan kerugian, walaupun kerugian di atas kertas, dan pihak bank pula tidak akan berdiam diri jika sekiranya peminjam tidak dapat membayar balik pinjaman.

Menurut seorang peguam Harris Abdullah, sekiranya seseorang itu gagal membayar balik pinjaman mereka, bank akan mengambil empat peringkat tindakan bagi menuntut semula wang pinjaman itu.

Tindakan bank 

Bank akan menyaman pemiutang, menghantar notis bankrapsi, menyita rumah serta menjual asetnya dan mengeluarkan perintah larangan pemilikan harta melalui Jabatan Insolvensi.

Pada ketika itu katanya, tanah 10 ekar ladang peneroka dalam tanah rancangan boleh tergadai akibat hutang pembelian saham yang tidak mampu dibayar.

Harris ialah peguam yang berjaya memenangi kes injunksi 154 peneroka dari Pahang dan Negeri Sembilan daripada Mahkamah Tinggi Kuantan bagi menghalang bank memproses dokumen pinjaman.



Jual beli saham di mana-mana pasaran saham adalah satu permainan yang dinamik, kompleks dan rumit serta sukar dibaca pergerakannya (naik, turun atau mendatar) hala tuju sesuatu saham itu.

Melabur dalam pasaran saham memerlukan ilmu pengetahuan dan kebijaksanaan yang tersendiri yang sukar difahami oleh kebanyakan orang awam.

Memandangkan harga komoditi di pasaran dunia kini berada di paras yang tinggi maka kerajaan mengambil keputusan untuk menyenaraikan saham FGVH.

Pengerusi Felda Tan Sri Mohd Isa Samad pernah berkata, penyenaraian FGVH tidak boleh ditangguh-tangguhkan lagi kerana “kita mahu mengambil peluang dari harga kelapa sawit yang tinggi pada masa ini.”

Oleh sebab itu, beliau tidak peduli sama ada Koperasi Permodalan Felda (KPF) turut sama dalam penyenaraian ini atau tidak. Tanpa penyertaan KPF pun, FGVH boleh mendatangkan perolehan sebanyak RM10.5 bilion apabila disenaraikan nanti.

Isa tidak mahu menunggu lama kerana harga CPO tempatan diurus niaga pada harga di antara RM3,085 dan RM3,115 satu tan setakat semalam, 31 Mei 2012. Tetapi sudah terdapat tanda-tanda kebimbangan tentang ketidaktentuan pasaran berikutan krisis hutang Eropah.

Keluarnya Greece dari zon euro yang diramail pada lewat tahun ini atau pada awal 2013 akan mengakibatkan ekonomi dunia meleset. Kesannya akan tetap dirasai oleh Malaysia seperti mana yang diakui oleh Gabenor Bank Negara, Datuk Dr Zeti Akhtar Aziz baru-baru ini.

Kemelesetan ekonomi akan menarik turun harga komoditi ini di pasaran global walaupun permintaan untuk minyak sawit, getah, gula dan oleochemical dijangka meningkat terutama dari China dan India.

Pokok tua
 
Namun begitu, kebimbangan lain ialah mengenai pokok kelapa sawit FGVH yang sudah tua kerana lebih 53 peratus dari sebanyak 323,587 hektar ladang di Malaysia berusia lebih 21 tahun.

Pokok-pokok ini perlu ditanam semula, dan apabila ditanam semula, ia memakan masa di antara lima hingga tujuh tahun untuk membuahkan hasil.  Situasi ini akan menjejaskan pendapatan dan kadar keuntungannya pada masa depan.

Sebab itu ramai pihak melihat langkah pengapongan saham FGVH ini lebih berunsur politik kerana kerajaan yang memerintah mahu terus mengekalkan kuasanya yang lebih setengah kurun itu.

Para peserta Felda merupakan komponen pengundi majoriti di 52 kawasan Parlimen dan 96 kerusi Dewan Undangan Negeri, termasuk di Pekan, kawasan parlimen Perdana Menteri sendiri.

Pengumuman “durian runtuh” sebanyak RM15,000 untuk setiap keluarga dari seramai 112,635 peneroka di seluruh negara oleh Najib di Jerantut baru-baru ini lebih bersifat ‘candu’ untuk meraih sokongan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke 13 nanti.

Oleh yang demikian, para peneroka Felda yang terpaksa meminjam untuk membeli saham harus berhati-hati kerana “langit tidak selalu cerah”.

Pinjaman atau hutang bank boleh bertindak sebagai sebilah pedang yang mempunyai dua mata.  Pedang ini boleh membawa kebaikan dan juga boleh mendatangkan keburukan.

Kebaikan pinjaman atau hutang boleh menjana lebihan pendapatan dan keburukannya pula ialah hutang ini juga boleh menikam diri sendiri dan menyebabkan hidup sengsara jika gagal diurus dengan baik.

Tiada ulasan: