Isnin, 25 Jun 2012

Dewan Pemuda PAS: Hala tuju menjelang taufan

 Chong Fah Hing


Tatkala pemimpin MCA bercelaru menangkis pelbagai persoalan dan permasalahan yang dilemparkan oleh masyarakat Cina sendiri menjelang PRU13 dengan respons yang cukup lucu dan melucukan, dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) SUARAM lincah menyerang amalan rasuah menyabit kes pembelian kapal selam Scorpene, DAP galak meletupkan meriam biarpun kuasanya tak seberapa, PKR pula membelasah bertubi-tubi sang lembu hidup yang menghuni kondominium hingga ia terputus nyawa.  Pada saat-saat inilah, sudah tentu ramai akan bertanya: Isu apakah yang menjadi prihatin PAS, sebuah parti siasah yang memang terkenal dengan disiplin yang cukup mengagumkan itu?

Ya, pada saat-saat menjelang ribut PRU 13, isu apakah yang menjadi modal parti PAS?  Atau apakah mungkin PAS tidak perlu bergantung kepada strategi politik seumpama ini?  Dalam dua kali perhimpunan BERSIH tahun lalu dan tahun ini, yang memimpin orang awam dan pelbagai NGO bukanlah dari kalangan pemimpin PAS, tetapi adalah terbit dari usaha dan inisiatif NGO sendiri, meskipun tidak boleh dinafikan penyertaan ahli PAS dalam kedua-dua perhimpunan tersebut amatlah tinggi.

Tidaklah salah dirumuskan bahawa PAS pada masa kebelakangan ini adalah bergerak mengikut rentak yang dimainkan oleh parti sepakatan.  Dengan kata lain, upaya tindak yang terbit dari PAS sendiri tidaklah begitu jelas.  Kita nampak sekali-sekala ia berganding dengan PKR dalam isu "Lembu Kondo", ataupun sekali-sekala duduk berhimpit-himpit dengan wakil DAP sambil berduet dalam sandiwara sidang media di lobi parlimen.  Selain itu, tidak nampak ada tindakan lain yang mampu mencuri perhatian umum.  Justeru, gejala tersebut cukup membingungkan sekaligus menarik perhatian kita terhadap perhitungan dan mainan strategi yang cuba dilancarkan oleh PAS dalam saat-saat yang amat genting ini.

Membantah Negara Syiria Menekan Puak Protes

Pada tanggal 20 Januari tahun ini, kita menyaksikan Dewan Pemuda PAS (DPP) di bawah pimpinan Ketuanya Nasruddin Hassan Tantawi (gambar bawah) buat kali ketiga mengetuai rombongan bantahan ke kedutaan Syria di Kuala Lumpur untuk menyerahkan memorandum bagi membantah regim Bashar al-Assad kononnya bertindak sewenang-wenang membunuh orang awam dan kuasa protes.  Pada masa yang sama DPP menyeru Presiden Bashar al-Assad meletak jawatan serta-merta.

Gimik seumpama ini menyingkap tirai sesudah Amerika Syarikat mengisytiharkan regim Bashar tidak sah ekoran kehilangan kredibiliti politiknya.  Wacana dan tindakan seumpamanya tampak semakin bertambah dan menjadi-jadi.  Pada 10 Jun, New York Times menjadikan Bashar al-Assad sebagai topik utama, secara licik menggembar-gemburkan isu regim Bashar menangani protes orang kebanyakan dan pihak lawan dengan menggunakan senjata dan kekerasan.  Di samping itu, liputan turut menonjolkan latar keturunan golongan Syiah Alawiyyah Bashar al-Assad dengan tujuan untuk menterjemahkan konflik dalaman Syria kepada wacana konflik geo-politik yang melibatkan gerakan penghapusan dan pembersihan etnik.  Tak dijangkakan, Dewan Pemuda PAS memilih masa ini untuk menyatakan bantahan terhadap Syria, disulami dengan sebab-sebab kemanusiaan yang cukup gah bunyinya.

Disebabkan gentar dengan ugutan Amerika, ataupun berpada-pada terhadap usaha pembangunan kuasa nuklear di Iran, hampir kesemua negara Arab tiada pilihan lain melainkan terpaksa berpihak kepada Amerika, kecuali Syria dan Iran masih berdegil enggan tunduk kepada telunjuk kuasa imperialis tersebut.  Malah tidak melayan langsung gagasan Orde Dunia Baru (New World Order) yang didendangkan oleh Amerika Syarikat.

Tidak sekadar itu, pemerintahan Bashar bertindak memberi perlindungan kepada Hezbollah, Hamas serta puak kiri yang anti-Amerika dan Israel.  Hezbollah ditubuhkan oleh rakyat Palestine dengan tujuan menentang Israel kerana menakluki daerah selatan negara tersebut.  Ia adalah sebuah badan politik dan militia Islam yang ditubuhkan pada awal tahun 1980-an atas bantuan Tehran.  Manakala Hamas yang ditubuhkan pada 1987 dengan tujuan menentang Zionis Yahudi.  Kedua-dua badan tersebut membawa misi utama untuk menghapuskan Israel.  Sudah tentu ini menjejaskan kepentingan ekonomi dan strategic planning Amerika di wilayah Timur Tengah.  Justeru, pencerobohan kuasa luar ke atas konflik dalaman Syria adalah perkara yang memang boleh diduga.

Kemusykilan yang dibangkitkan oleh kolumnis Amin Iskandar memanglah berasas apatah lagi perlu direnungi sebaik-baiknya.  Soal beliau, "Mengapa pula kebangkitan rakyat Syria dengan menggunakan senjata?  Jika tidak ada tajaan kuasa besar seperti Amerika Syarikat dan Israel, kumpulan pemberontak tidak akan mampu mempunyai bekalan senjata yang sebegitu canggih."  Justeru, beliau secara tak langsung mengingatkan Pemuda PAS agar jangan terpengaruh dengan pemikiran mazhab yang diperlagakan oleh Amerika, sekaligus "mengambil garis untuk bersama-sama menjatuhkan Bashar al-Assad".

Dalam hal ini, walaupun mantan Menteri Penerangan Zainuddin Maidin (gambar kiri) turut menganjurkan peringatan yang sama, namun tujuan asasnya adalah memberi amaran kepada penganut Islam di negara ini supaya jangan sekali-kali mencontohi penduduk di bumi Arab, tergamak bertindak memperjuangkan Regime Change.  Bagi Zainuddin, Arab Spring adalah diperalatkan oleh kuasa besar untuk "matlamat 'Regime Change' yang menumpahkan darah tetapi digambarkan sebagai indah dengan istilah 'Arab Spring' atau Musim Bunga di dunia Arab."  Cara beliau menanggapi Arab Spring cukup bias, sekaligus mencerminkan beliau bercakap bagi pihak kerajaan Najib bagi menghadapi tekanan tuntutan pilihanraya bersih dan telus.

Merintis Acuan Kepimpinan Ulama

Dalam sejarah perjuangan PAS, prihatin dan keterlibatan PAS terhadap isu-isu antarabangsa bukanlah perkara yang lumrah baginya.  Sejak penubuhannya sebagai sebuah badan siasah pada tahun 1956 sehingga kini, ia dalam kebanyakan masa adalah hidup dalam keadaan terhimpit oleh UMNO.  Walaupun dalam pilihanraya umum pada tahun 1959 dan 1999, PAS mendapat keputusan yang agak baik di mana ia berjaya menubuhkan kerajaan negeri di Kelantan dan Terengganu, tetapi tidak dapat membawa makna yang jitu kepada PAS untuk membongkar kebuntuan yang dialaminya selama ini.  Pendek kata, setiap kali ia kembali mengumpul kekuatannya, UMNO akan menunggu dan mencari jalan untuk melemah dan melumpuhkan PAS.

Menurut analisa sarjana Melayu sendiri, pada tahun 1959, Dr. Burhanuddin al-Helmy yang baru sahaja menyertai PAS berganding dengan Timbalannya Zulkifli Mohammad. Gandingan ini telah memperoleh kejayaan yang luar biasa dalam pilihanraya yang diadakan pada tahun tersebut.  PAS pada ketika itu berada pada tahap yang cukup kuat.  Tetapi sukar dipercayai bahawa Zulkifli Mohammad meninggal dunia secara mengejut akibat nahas jalan raya sejurus beberapa hari keputusan pilihanraya diumumkan.  Mengikut kajian sarjana, ada pihak tertentu yang dikatakan mengusik kenderaan yang digunakan oleh Zulkifli.  Setelah kehilangan orang kanan yang hebat, sejak itu Burhanuddin al-Helmy sukar membawa PAS mengejar satu lagi mercu kejayaan yang lain.

Memasuki era 1970-an, tatkala PAS adalah parti komponen dalam Barisan Nasional, Timbalan Presiden pada ketika itu, Haji Yusof Rawa telah ditugaskan sebagai Duta Malaysia ke Iran.  Pada tempoh inilah, PAS mula menunjukkan prihatin yang besar terhadap isu dan permasalahan antarabangsa.  Misalnya pada tahun 1979, pemimpin ulama Iran, Imam Ayatollah Khomeini mengepalai revolusi Iran menjatuhkan regim Dinasti Pahlavi lalu menubuhkan kerajaan Republik.  Perkembangan ini membawa suntikan semangat yang menggalakkan kepada PAS.  Revolusi Iran yang dipimpin oleh ahli ulama turut menjadi contoh Kepimpinan Ulama parti PAS.

Menyeru Serius menghadapi Revolusi Iran

Pada zaman kanak-kanak dan remaja, Haji Yusuf Rawa menerima pendidikan sekolah Melayu di Pulau Pinang.  Sejurus tamat sekolah Melayu, beliau memasuki Government English School dan Penang Free School sehingga memperoleh sijil Junior Cambridge.  Sesudah itu, ayahnya menghantar beliau belajar agama di Makkah.

Haji Yusof Rawa (gambar kanan) muncul dalam barisan kepimpinan PAS pada ketika jalur perjuangan nasionalis dan jalur perjuangan Islam hangat diperdebatkan dalam PAS pimpinan Mohd. Asri Muda.  Pada ketika itu jugalah, Anwar Ibrahim, Ketua ABIM bertindak merungkai ikatan dengan PAS lalu menyertai UMNO.  Pada saat yang genting inilah, Haji Yusof Rawa berganding dengan Ustaz Haji Fadzil Noor dan Hassan Shukri bersama-sama mengemudi bahtera PAS menghadapi ombak siasah yang ganas pada dekad 1980-an.

Ustaz Haji Fadzil Noor adalah orang kanan Anwar Ibrahim dalam ABIM.  Dalam membuat keputusan menerjunkan diri ke dalam arena politik, Ustaz Haji Fadzil memilih jalan yang berbeza dengan Anwar.  Beliau sanggup menanggung risiko dipecat dari jawatannya sebagai pensyarah universiti lalu terus menyertai PAS tatkala ia dalam keadaan yang tersepit.  Pada peringkat ini, kita menyaksikan ketinggian semangat dan idealisme politik yang ditunjukkan pemimpin PAS.

Haji Yusof Rawa menyeru orang Melayu mengambil prihatin dan serius terhadap revolusi di Iran.  Ini adalah tanda permulaan PAS menceburi isu-isu dan permasalahan antarabangsa, kendatipun keprihatinannya terbatas pada lingkungan dunia Islam.  Kepimpinan beliau mendapat sokongan masyarakat Melayu luar bandar. Ketika Mahathir Mohamad bertindak merombak Perlembagaan untuk menyekat kuasa Raja-Raja Melayu, Haji Yusuf Rawa secepatnya mengambil peluang keemasan ini untuk mengukuhkan kedudukan PAS serta merancakkan gerakan islah dalam kalangan Melayu luar bandar.

PAS mampu bangkit pada tahun 1980-an dan kembali perkasa seperti masa kini, sebetulnya berkait rapat dengan keistimewaan personaliti Haji Yusof Rawa, iaitu sikap keterbukaan, kesederhanaan, bijaksana, tenang, pengalaman pendidikan pelbagai aliran, penguasaan pelbagai bahasa dan pengalaman uniknya dalam urusan antarabangsa.  Apakah pemimpin pelapis PAS hari ini, khususnya Pemuda PAS mempunyai ciri-ciri pemimpin generasi terdahulu yang disebutkan itu?

*Chong Fah Hing adalah Pensyarah Kanan di Jabatan Bahasa Asing, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia.  Beliau juga menulis di ruangan pojok MerdekaReview edisi Bahasa Cina.

Tiada ulasan: