Isnin, 25 Jun 2012

223 Pelajar Tahfiz Dapat Biasiswa Yayasan Selangor





BANTING  : Penghormatan dan keprihatinan Kerajaan Negeri menghulurkan biasiswa kepada pelajar-pelajar sekolah maahad tahfiz diharap mampu meningkatkan tahap kecemerlangan akademik dan sahsiah golongan pelajar tersebut.

Demikian harapan dilontarkan Pengetua Maahad Integrasi Tahfiz Sains & Teknologi (MITIB), Anas Ayob dalam satu Majlis Penyerahan Biasiswa Yayasan Selangor kepada 223 pelajarnya di sini pagi ini.

“Usaha ini menunjukkan komitmen yang baik daripada Kerajaan Negeri kepada anak-anak tahfiz.

“Semoga dengan bantuan sebegini, golongan pelajar yang berlatarbelakangkan pendidikan Al-Quran mampu menjadi golongan professional pada masa akan datang seterusnya dapat menjelmakan mimpi kami menjadi nyata,” ujar Anas.

Pengurus Kanan Yayasan Selangor, Baharudin Ali Masrom dalam ucapannya berkata, pihaknya memperuntukkan RM 3 juta yang akan diberi kepada 2, 516 pelajar seluruh Selangor dalam bentuk biasiswa.

“Dengan bantuan seperti ini, diharap pelajar dapat memacu kecemerlangan akademik dan sahsiah diri mereka bagi membentuk generasi masa depan yang lebih berketerampilan.

“Susulan daripada biasiswa hari ini juga, insyaAllah kita akan merangka satu kem motivasi bina semangat bagi pelajar-pelajar MITIB yang akan dianjurkan dalam semester ini juga,” ujar beliau.

Sementara itu, Exco Pendidikan, Dr. Halimah Ali yang turut hadir menyempurnakan majlis penyerahan biasiswa tersebut berkata Kerajaan Pakatan komited untuk membantu setiap golongan pelajar yang berpotensi tanpa mengamalkan sebarang sikap prejudis.

“Sebab itu kita meminta agar Yayasan Selangor melakukan penjenamaan semula dan jangan hanya fokus pada sekolah-sekolah aliran utama sahaja sebaliknya pandanglah sekali pelajar-pelajar sekolah tahfiz ini yang mana kesemua mereka ini adalah pelajar cemerlang, terpilih dan terbukti terbaik,” jelas Dr. Halimah dalam ucapannya.

Penyerahan biasiswa ini merupakan sebahagian daripada program Rancangan Khas Pendidikan Kementerian Pelajaran Malaysia – Yayasan Selangor (RKPYS) yang dilancarkan pada tahun ini.

MITIB juga bertuah apabila dipilih sebagai sekolah pertama yang akan menerima kemudahan seperti biasiswa, tajaan kelas bimbingan, program akademik dan pembangunan sahsiah di bawah program tersebut.

Sebanyak 223 pelajar Tingkatan 3, 4 dan 5 dari MITIB menerima sumbangan biasiswa yang keseluruhannya berjumlah RM 172,000. Namun, setiap pelajar menerima jumlah berbeza bergantung kepada pendapatan per kapita keluarga pelajar.

MITIB ditubuhkan Kerajaan Negeri pada tahun 2008 untuk mendidik dan membentuk generasi Al-Quran dan ia bergantung sepenuhnya kepada peruntukan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan Lembaga Zakat Selangor (LZS) untuk pembiayaan kos operasinya.

Tiada ulasan: