Oleh Ahmad Lutfi Othman
Keriuhan
teka-teki tarikh Pilihan Raya Umum Ke-13 kembali bergema. Kali ini,
ramai bersetuju bahawa ia hampir pasti diadakan sebelum Ramadan; lebih
tepat 9 Jun ini, iaitu penghujung cuti sekolah. Namun, ada pihak
melihat tarikh itu tidak sesuai, terutama faktor hari keputeraan Yang
di-Pertuan Agong, yang akan dirayakan pada 2 Jun.
Apa pun, cuti
sekolah tidak semestinya menjadi ketetapan untuk mengadakan pilihan
raya. Puasa dijangka bermula 21 Julai. Maka, boleh saja Parlimen
dibubarkan, sebelum bulan penuh keberkatan itu, selewat-lewatnya
pertengahan Jun.
Walaupun ada desakan kuat dan menyeluruh agar
tempoh kempen minimum ditentukan 21 hari, tetapi seperti diketahui umum,
yang dipersetujui Jawatankuasa Pilihan Parlimen (PSC) hanya 10 hari.
Dengan
itu, jangka masa daripada hari Parlimen dibubarkan hingga tarikh
mengundi, tidak akan melebihi sebulan. Gosip terkini: Bubar Parlimen, 14
Mei; penamaan calon, 26 Mei; dan mengundi, 9 Jun.
Jika mahu
ditunda lagi melepasi Ramadan, tarikh alternatifnya sama ada sebaik saja
Aidilfitri, tetapi sebelum penerbangan pertama haji (tempoh yang
dilihat begitu singkat dan mengikat), ataupun selepas rombongan terakhir
jemaah haji pulang ke tanahair, iaitu hujung November.
Bekas
Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad pernah mengadakan pilihan raya
semasa musim haji dan dikritik hebat. Saya kira Najib tentu mahu
mengelak sebarang insiden yang boleh mencalarkan imejnya lagi, terutama
pada kaca mata masyarakat Melayu.
Sesungguhnya gerak-geri
Perdana Menteri Najib Razak diperhatikan secara dekat dan cermat. Diari
beliau diamati terutama jadualnya ke luar negara, termasuk menghadiri
konvokesyen anaknya.
Pengumuman "durian runtuh" kepada peneroka
Felda -- meskipun dipertikai daripada segi amaun, yang dilihat kecil
(RM15,000) berbanding sepatutnya RM38,000 seperti kata Husam Musa --
dianggap membawa petanda pembubaran Parlimen semakin dekat.
Sebelum
aroma bantuan one-off hilang serinya, Najib perlu mendapat mandat buat
kali pertama daripada rakyat. Beliau cukup menyedari, dibantu
informasi perisikan rasmi dan tidak rasmi, majoriti pengundi tidak
sabar lagi menunggu kesempatan untuk melakukan perubahan menyeluruh.
Ramai
menjangkakan, tidak mustahil Najib mencipta sejarah mengejutkan, malah
mampu mengalahkan rekod Presiden Perancis, Nicolas Sarkozy, yang gagal
melepasi penggal pertama pemerintahannya.
Najib bakal kecundang
dalam pilihan raya pertama yang diterajuinya? Ya, cuba bayangkan
situasi itu. Masakan Najib dan konco-konconya sekadar menunggu hukuman
rakyat? Sudah pasti tidak.
Segala ikhtiar dan perancangan
(lebih tepat, komplot) diusahakan bagi menyekat kemaraan Pakatan
Rakyat. Jika komplot jahat dan licik itu didedahkan, misalnya melalui
konspirasi SPR-JPN dalam memanipulasi senarai daftar pemilih, mereka
bersikap pekak badak saja. Persetankan!
Meskipun Umno-BN kalah
di Kelantan sejak sekian lama, dan pernah tewas di Sabah dan
Terengganu, manakala empat tahun lalu lebih buruk lagi dilanda tsunami
politik, iaitu kecundang di Perak, Selangor, Kedah dan Pulau Pinang
(selain Serambi Makkah), namun ia tetap berkuku di peringkat
persekutuan, yang masih memungkinkan untuk terus menguasai sumber dan
peluang ekonomi.
Kekalahan itu rupanya tidak pernah menginsafkan
pemimpin, aktivis dan penggerak Umno. Mereka mungkin lebih kerap turun
ke padang, menyantuni rakyat, mengambil berat keperitan orang ramai,
dengan pelbagai slogan menarik, tetapi motif utamanya hanyalah untuk
meraih kembali kuasa.
Lagak dan gaya kehidupan mewah pemimpin
Umno di negeri-negeri yang mereka kalah ini masih tidak banyak berubah.
Benar sekali, rasuah politik dan amalan koprupsi tidak dapat
dicerai-tanggal daripada budaya Umno. Ubat mujarab adalah memberikan
pengajaran bermakna dengan menyingkirkan Umno-BN dari Putrajaya.
Taliah
hayat kini mungkin terputus satu saluran, tetapi jantung masih
berdegup. Keghairahan untuk kembali merebut takhta tidak pernah pudar,
malah mungkin semakin segar-bugar!
Ingat ucapan popular Najib,
yang menggesa ahli-ahli Umno mempertahankan Putrajaya walaupun ke
"titisan darah yang terakhir". Bagi saya, frasa itu ia bukan sekadar
pembakar semangat, tetapi menyimpan motif tersirat yang menggerunkan.
"Sejak
awal merdeka, khususnya di zaman Pemuda Tahan Lasak, gelagat Umno
memang dikenali dengan tindakan provokasi yang melampau, terutama
sewaktu kempen pilihan raya. Saya bimbang, ketika mereka di ambang
kejatuhan, macam-macam perkara buruk boleh dicetuskan Umno," petikan
emel yang saya terima daripada pembaca Harakah.
Beliau menambah,
parti-parti dalam Pakatan Rakyat terbukti sabar dan reda ditimpa
kekalahan. Tiada rusuhan dicatatkan, sebaliknya pemimpin dan
ahli-ahlinya tabah melalui siri tribulasi yang memedihkan.
Zaman
sudah berubah. Rakyat kian matang dan cerdik. Proses pendemokrasian
dan fenomena langit terbuka, serta kemajuan ekonomi dan pertambahan
kelas menengah telah mengubah lanskap politik Malaysia.
Umno
yang gelisah berdepan kebangkitan rakyat, masih memainkan sentimen dan
emosi perkauman (kadang-kadang bersalut agama yang dangkal). Ia akan
terperangkap dengan jeratnya sendiri. Aksi ganas menganggu aktiviti
Pakatan makin memburukkan lagi imej yang sedia jelik itu.
Umno
akan mencuba seribu dalih, termasuk serangan psikologi dan juga
fizikal, bagi menghalang peralihan kerajaan dalam PRU13 yang kritikal
ini.
Ahli dan penggerak Pakatan tidak harus terjerumus dalam
"permainan kotor" Umno itu. Rakyat sedang memerhati, menilai dan
menghakimi. Tetap istiqamah dengan strategi dan pendekatan yang telah
dirumuskan. Sampaikan maklumat secukupnya ke seluruh pelosok tanahair.
"Parti
yang paling kurang melakukan kesilapan akan meraih kemenangan dalam
PRU13." Peringatan itu saya kira cukup bermanfaat dalam situasi
sekarang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan