Oleh Lim Kit Siang
“428” akan menjadi sejarah kepada rakyat Malaysia sebagai salah satu pencapaian negara dalam perjuangan panjang dan berliku rakyat Malaysia menuntut hak demokrasi, keluhuran perlembagaan dan hak asasi manusia seperti mana yang dijanjikan apabila negara mencapai kemerdekaan 54 tahun lalu.
Di antara pencapaian signifikan perjuangan ini adalah:
Pertama, perhimpunan Bersih pada 10 November 2007 (“1011”) telah disertai 40,000 rakyat Malaysia untuk menyokong reformasi pilihan raya.
Kedua, “Tsunami politik” pada pilihan raya 8 Mac 2008 (“308”) telah mengurangkan saiz Barisan Nasional di mana Pakatan Rakyat memenangi 5 kerajaan negeri dan berjaya menafikan majoriti 2/3 Barisan Nasional di Parlimen.
Ketiga, perhimpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai 2011 (“709”) dengan penyertaan 50,000 rakyat Malaysia yang berani menempuh segala bentuk ancaman dan ugutan, termasuk penahanan besar-besaran, larangan memasuki bandar dan kempen jahat terhadap penganjur dan peserta yang memberi sokongan untuk pilihan raya bersih, bebas dan adil.
Keempat, himpunan ‘duduk-bantah’ Bersih 3.0 pada 28 April (“428”) yang terbesar dalam sejarah negara – dianggarkan 200,000 hingga 300,000 peserta berjaya dihimpunkan di Kuala Lumpur – rakyat Malaysia tanpa mengira batas kaum, agama, fahaman politik, daerah, umur mau pun jantina, bersatu untuk sebuah pilihan raya yang bersih, bebas dan adil.
Kebangkitan demokrasi secara aman di Malaysia
Terdapat dua pengajaran penting dari himpunan Bersih 3.0 “428”.
Pertamanya, ialah kebangkitan demokrasi secara aman di Malaysia yang tidak boleh disekat dan ia adalah harapan untuk masa depan Malaysia di mana kita boleh melihat rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, agama, kelas, daerah, umur atau jantina bersama-sama dengan ratusan ribu yang lain untuk, menuntut pilihan raya dan Malaysia yang bersih – walau pun sejak akhir-akhir ini kita dimomokkan dengan mainan politik pelampau dan tidak bertanggungjawab yang memainkan isu perkauman dan agama, adalah satu petunjuk jelas bahawa perpaduan negara sedang berkembang di Malaysia mengatasi perbezaan kaum, agama, budaya, daerah, jantina dan umur.
Belum pernah kita lihat di negara ini sebegitu ramai orang termasuk golongan seksagenarian (di antara umur 60 hingga 70) dan septuagenarians (di antara umur 70 dan 80), begitu juga remaja dan wanita yang keluar dari zon selesa bagi menunjukkan pendirian terhadap perjuangan nasional yang mempunyai matlamat yang sama.
Golongan berusia seperti kalangan seksagenarian dan septuagenarian tidak melakukannya untuk diri mereka sendiri kerana mereka telah pun melepasi zaman mereka; atau pun demi anak-anak mereka yang telah pun melepasi pertengahan usia; akan tetapi semuanya adalah untuk generasi akan datang demi menebus kelalaian dan kegagalan mereka untuk berubah terhadap lima dekad yang lampau dan membuat pendirian serta komitmen bagi kebaikan negara.
Malah, penyertaan ratusan ribu rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, agama, daerah, kelas, umur atau jantina merupakan sebuah demonstrasi 1Malaysia yang sangat memukau yang berjaya dicapai sejak 54 tahun lampau dan di mana ia juga merupakan slogan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sendiri sejak menjadi PM tiga tahun lalu.
Sepatutnya beliau mengakui dan meraikan kejayaan demonstrasi 1Malaysia ini pada perhimpunan “428” perhimpunan Bersih 3.0, walau bagaimana pun, ia sebenarnya adalah bukti kelohongan komitmennya sendiri terhadap polisi 1Malaysia yang secara simboliknya telah terjawab dalam “428” Bersih 3.0 duduk-bantah.
Gagalnya transformasi Najib
Pengajaran kedua perhimpunan besar-besaran Bersih “428” ini – satu pembuktian di mana transformasi politik dan ekonomi kerajaan yang diucapkan Najib cuma slogan kosong semata-mata tanpa kehendak politik atau pun komitmen “cakap serupa bikin” atau menterjemah kata kepada tindakan.
Sekiranya Najib benar, serius dan jujur untuk sebuah transformasi politik, beliau sepatutnya belajar dari ‘salah urus’ perhimpunan “709” Bersih 2.0 yang menyebabkan beliau mengumumkan untuk mengadakan reformasi politik atas nama “Transformasi Politik”, perhimpunan duduk bantah Bersih 3.0 yang dilihat seperti sebuah karnival dan perayaan yang diraikan oleh pelbagai kaum, pelbagai agama dan budaya yang memanifestasikan perpaduan dan keharmonian cuma seketika.
Dan, sekitar jam 3 petang, ia berubah wajah menjadi huru-hara dan memperlihatkan tindakan semberono dan sewenang-wenang polis terhadap perhimpunan aman melalui tembakan gas pemedih mata, semburan air kimia serta aksi ganas dan kejam polis secara berlebih-lebihan begitu juga serangan yang tidak wajar terhadap petugas media.
Pengeusi bersama Bersih 2.0, Datuk Ambiga Sreenivasan telah mengumumkan kejayaan perhimpunn Bersih 3.0 semasa berhimpun di Masjid Jamek sekitar jam 2.30 petang yang mana berjaya menggerakkan 250,000 orang untuk menuntut pilihan raya yang bebas, adil dan bersih, beliau menyeru peserta perhimpunan agar bersurai. Seruan untuk bersurai juga telah diulangi oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berucap selepas Ambiga.
Kerajaan dan pihak berkuasa polis, dengan ‘sistem komunikasi yang canggih dan mahal’ yang diluluskan Parlimen sudah pun mengetahui berkenaan pengumuman untuk bersurai tersebut pada 2.30 petang – setengah jam kemudian lingkungan jam 3, ia disusuli dengan tindakan melampau polis dengan menembak gas pemedih mata dan semburan meriam air, tindakan tersebut sangat tidak wajar walau pun mungkin terdapat tembok penghadang di Dataran Merdeka yang diceroboh. Keganasan polis bukan hanya terhadap peserta perhimpunan tetapi juga terhadap petugas media.
“Keganasan polis”
Sepertimana dalam laporan oleh Majlis Peguam mengenai himpunan Bersih 3.0; “keganasan polis” dalam Bersih 3.0 adalah lebih buruk dari Bersih 2.0.
Berikut adalah catatan pemerhatian oleh Majlis Peguam semasa Bersih 3.0:
· Perhimpunan berlangsung dengan aman sehingga sekitar jam 3 petang di mana polis
melepaskan tembakan gas pemedih mata dan semburan meriam air.
· Kekerasan dilakukan oleh pihak polis walau pun tanpa sebarang provokasi atau punca,
jauh lebih buruk, dengan semberono, tidak seimbang dan berlebih-lebihan.
· Keganasan polis lebih berleluasa
· Terdapat usaha bersepadu oleh polis untuk menghalang dan menghentikan sebarang
rakaman terhadap tindakan mereka
· Polis menembak gas pemedih mata untuk mengepung peserta dan bukan untuk
menyuraikan.
· Ada peserta bertindak balas disebabkan salah guna kuasa polis tersebut
· Polis dilihat mengejek dan menyorak peserta
· Polis bertindak balas, kemudian membongkok apabila peserta membaling objek terhadap
mereka
· Anggota polis gagal mempamerkan pengenalan identiti pada pakaian seragam
Keganasan tak akan berlaku jika kerajaan terima laporan Dzaidin
Keganasan melampau polis semasa Bersih 3.0 tidak akan berlaku sekiranya Laporan Suruhanjaya Di Paja Polis Tun Mohd Dzaiddin diterima dan dihayati sepenuhnya tujuh tahun lalu.
Pada tahun 2005, Laporan Suruhanjaya Siasatan Di Raja Pois Dzaiddin telah membuat beberapa syor bagi mentransformasi Polis Malaysia untuk lebih efisyen, bebas rasuah, dan perkhidmatan bertaraf dunia dengan tiga fungsi asas iaitu untuk mengurangkan jenayah, membasmi rasuah dan mempertahan hak asasi manusia.
Sekiranya Laporan RCI Polis Dzaiddin diterima sepenuhnya oleh pihak berkuasa polis sejak tujuh tahun lalu, kita akan diperlihatkan dengan transformasi di Malaysia kepada khidmat kepolisian yang demokratik dari “rejim polis” seperti zaman kolonial, melindungi dan memelihara hak asasi manusia rakyat dan bukan menjadikan peserta perhimpunan aman sebagai ‘musuh’ untuk membela rejim yang memerintah.
Apabila keganasan polis dalam Bersih 3.0 lebih buruk dari Bersih 2.0, kita tertanya-tanya apakah yang sebenarnya yang diperkatakan dengan “transformasi politik” Najib?
Sebab itu Bersih 3.0 merupakan satu bukti kegagalan janji transformasi Najib. – Roketkini.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan