Khamis, 3 Mei 2012

Padan muka kerana provokasi polis?




Kebanyakan orang dipercayai akan mengutuk tindakan polis membedil gas pemedih mata dan meriam air berkimia terhadap peserta BERSIH 3.0.  Namun terdapat sesetengah juga yang menganggap bahawa polis tidak boleh dipersalahkan, kerana peserta yang memprovokasi polis.  Jadi, padan mukalah.

Namun, tindakan sebagaimana yang boleh ditafsir sebagai "provokasi"?  Di manakah sempadan kesabaran yang digariskan oleh kedua-dua pihak?  Saya menganggap inilah persoalan yang perlu diperjelaskan segera dalam negara yang kini sedang dalam proses belajar bagaimana untuk menyatakan tuntutan melalui kebebasan berhimpun.

Hari ini, iaitu pada 28 April, saya berada di tepi Agro Bank, jambatan yang menuju ke Dataran Merdeka.  Di situ juga sekatan polis ditempatkan untuk menutup Dataran Merdeka.  Saya boleh melihat dengan jelas apa yang berlaku pada ketika itu dari situ.  Saya rasa, saya layak untuk berkongsi pandangan saya.

Lebih kurang jam satu, dua petang, petugas berbaju merah (bagi pihak BERSIH) telah berkali-kali memberi amaran kepada peserta, bahawa mahkamah telah mengeluarkan perintah, maka jangan sesekali merempuh ke dalam Dataran Merdeka.  Selagi kita berada di luar sekatan jalan, maka polis tidak berkuasa untuk menangkap kami.  Tetapi seandainya kita merempuh masuk Dataran Merdeka, kita tidak dilindungi undang-undang.  Malah beliau menambah, jikalau polis mengarahkan kita jangan duduk, maka kita perlu bangun.  Seandainya polis mengarahkan kita tinggalkan tempat itu, maka kita perlu mengambil jalan lain.  Apa-apa pun, jangan bertembung dengan polis.

Pada kira-kira jam tiga petang, orang ramai kian bersurai.  Tapi ramai lagi yang enggan meninggalkan situ.  Pada ketika ini, seorang lelaki melepasi sekatan jalan dari tepi jambatan, dengan bunga dalam tangannya.  Beliau menuju ke arah polis yang memegang perisai.  Masa ini jugalah wartawan menuju ke arah lelaki itu untuk mengambil gambar.  Selepas 30 saat, lelaki itu patah balik.  Wartawan pun mengepungnya, barangkali untuk menemuramahnya.

Sejenak kemudian, saya beralih ke tebing di Pasar Seni, dan memerhati dari situ.  Selepas lelaki itu melepasi sekatan jalan, sesetengah pula terikut-ikut dengan cubaan melangkau sekatan itu.  Orang ramai ini tidak bersenjata.  Polis yang berperisai pula tersergam barisannya di situ.  Tiada pertembungan fizikal.  Ramai polis berteduh di koridor yang tidak jauh dari situ.  Tidak menghulurkan bantuan secara tergesa-gesa.  Suasananya tidak tegang.

Pembedilan gas pemedih mata


Pada kira-kira jam 3.30 petang, setelah loceng amaran berbunyi, meriam air dan gas pemedih mata ditembak.  Pada mulanya saya ingat ia hanya menyasarkan orang yang melepasi rintangan polis.  Polis dijangka berhenti setelah berjaya mengundurkan peserta dari sempadan itu yang digariskan.

Entah bagaimana, meriam air menembak merata-rata, gas pemedih mata dibedil ke seluruh pelusuk.  Di tebing Pasar Seni, tidak kurang butiran gas pemedih mata bertaburan di situ.  Kulit kita tersengit.  Air mata, bendalir hidung dan hampir semua cecair dalam perut termuntah.  Kawasan itu sangat sempit.  Hanya satu lorong menuju ke jalan, malah perlu melepasi satu tangga.  Saya terlalu dekat di depan.  Ketika berundur, orang ramai terhimpit di tangga.  Pada saat-saat itu saya merasakan diri saya hampir lemas di situ.

Perkembangan selanjutnya sesungguhnya semakin rancak, dan semakin celaru.

Sememangnya orang ramai yang melangkaui sekatan polis itu mengingkari nasihat.  Perbuatan sedemikian perlu dinilai semula.  Namun, apa yang ingin saya katakan di sini - di rata-rata dunia, sama ada demonstrasi mahupun protes, sememangnya rakyat yang turun ke jalan raya tidak berpuas hati dengan kerajaan.  Hari ini, mahkamah Malaysia yang dikuasai kerajaan mengeluarkan perintah yang tidak munasabah untuk menghalang orang ramai daripada berhimpun di Dataran Merdeka.

Perintah mahkamah ini tidak munasabah sebermulanya, kerana dari satu segi, ia menghalang kebebasan berhimpun dan bersuara orang ramai.  Perintah mahkamah sedemikian telah mencungkil ketidakpuasan orang ramai.  Ia sesuatu yang  tdak sukar difahami seandainya dicabar oleh orang ramai.

Hari ini kita turun ke jalan raya kerana api kemarahan terpendam dalam hati.  Justeru itu, kita mengetepikan kerja, perniagaan kita untuk datang dari jauh ke Kuala Lumpur.  Kita bukan datang untuk berpesta dan berkarnival.  Kita datang untuk tunjuk ketidakpuasan dan kemarahan terhadap sistem pilihan raya yang kotor.  Bukankah ia sesuatu yang agak melampau untuk kita turuti segala perintah - arah duduk, jadi duduklah kamu; arah bangun, jadi bangunlah kamu.

Oleh itu, apakah tindak tanduk yang dianggap "provokasi"?  Hari ini, orang ramai tidak mengancam keselamatan polis - sekurang-kurangnya di tempat saya berada.  Di sesetengah negara, peserta demonstrasi membawa besi dan pisau, malah membaling bom petrol, dan ada juga yang merompak kedai.

Di negara yang mana warga sivilnya lebih beradab, biarpun tidak berlaku pertembungan secara ganas, namun pergeseran di sepanjang proses itu juga sesuatu yang lumrah.  Jika tahap kesedaran demokrasi sesebuah kerajaan adalah tinggi dan bukan berhidung tinggi, maka ia akan melihat pertembungan ini sebagai antara cara rakyat melepaskan geram.  Meskipun ia mungkin tidak betul, tetapi perlu dikendali secara toleransi.

Hari ini, dengan bangganya ingin saya katakan, tahap warga sivil negara kita tidak jauh beza dari Hong Kong, Taiwan, Amerika Syarikat - yang mana tahap warga sivil mereka agak tinggi.  Malah, kita mungkin lebih baik daripada mereka.  Saya tidak nampak orang membawa senjata, tiada orang merosakkan harta awam untuk melepaskan geram, dan tidak banyak orang yang hilang akal kerana tidak terkawal emosinya.

Jadi, hanya kerana merempuh sekatan jalan atau kawat berduri, maka ia dianggap memijak garis merah kerajaan?  Apakah dengan ini ia mengancam keselamatan penguatkuasa?  Di negara lain yang terkenal dengan demokrasi, orang ramai yang membaling telur, membakar atau merosakkan bangunan kerajaan tidak dikecam dengan keras.  Bukankah agak rendah "garis dasar" yang ditetapkan kerajaan kita?

Lebih-lebih lagi, tujuan gas pemedih mata dan meriam air kimia adalah cara polis melindungi  diri.  Polis boleh berhenti setelah berjaya menyuraikan orang ramai.  Mengapa pula polis membedil gas pemedih mata seolah-olah hilang kawal, seakan-akan mendesak rakyat ke pinggiran maut?

Untuk saya, ia tidak perlu pergi sehingga situasi di mana kita perlu membedil gas pemedih mata dan meriam air kimia sewenang-wenangnya.  Jikapun ada huru-hara di tempat lain, polis boleh bertindak mengikut budi bicara.  Di pejabat Majlis Peguam, Pasar Seni, tiada kekecohan berlaku, mengapa pula diberi layanan yang sama?

Jangan dikelirukan nama "gas pemedih mata".  Jangan anggap bahawa ia boleh ditembak sewenang-wenangnya kerana tidak membunuh orang.  Gas pemedih mata bukan alat permainan yang mengalirkan anda beberapa titisan air mata.  Ia adalah senjata.

Anda akan terseksa pada saat-saat menghidu gas pemedih mata.  Mereka yang lemah mungkin gagal bertahan.  Malah kawan saya melihat sendiri, ada yang nyaris-nyaris terjun ke sungai kerana tidak tahan dengan gas itu.  Selepas terkena gas pemedih mata, dengan spontan orang akan lari berlintang-pukang, tanpa banyak berfikir.  Tragedi manusia pijak manusia mudah berlaku dalam keadaan di mana kita hilang waras.

Dan sesebuah kerajaan yang membedil gas pemedih mata sewenang-wenangnya, adalah terlalu zalim kalau bukan terlalu jahil.

*Ng Han Min ialah pembaca MerdekaReview.  Disunting dan diterjemah dari teks asal yang disiarkan pada 29 April 2012.

Tiada ulasan: