KANGAR - Ada pihak dalam Umno dipercayai menjadi dalang untuk menjejaskan imej Menteri Besar, Datuk Seri Dr Md Isa Sabu kononnya mungkir janji meluluskan lesen pendudukan sementara (TOL) kepada 27 keluarga dari Kampung Padang Lincin dan Kampung Baru Syed Omar, Kurong Batang, Bintong.
Md Isa yang juga Adun Bintong berkata, ada “musuh dalam selimut”, yang
cuba melakukan pelbagai cara semata-mata untuk menjatuhkan imej dan
kredibilitinya sebagai Menteri Besar dan wakil rakyat sehingga sanggup
mengupah penduduk untuk melakukan perbuatan seperti itu.
Menurutnya, isu itu sudah lama diselesaikan apabila tawaran permohonan
TOL tanah di kedua-dua kampung itu ditarik balik pada awal tempoh
pelantikannya kerana ada usaha untuk menjualnya secara tidak sah kepada
orang luar.
“Sebelum ini, penduduk kedua-dua kampung itu sememangnya
dijanjikan status TOL bagi tiga lot tanah setiap penduduk dengan syarat,
mereka membayar premium RM500 bagi setiap lot.
“Bagaimanapun, tawaran itu dibatalkan disebabkan ada unsur 'penjualan
tanah secara tidak sah' kepada orang luar oleh individu
tertentu,ia tidak wajar kerana kemudahan itu diberikan Kerajaan Negeri
kepada kira-kira 10 penduduk asal,” katanya sewaktu ditemui Sinar Harian
di sini semalam.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tuntutan penduduk
terbabit agar meluluskan permohonan TOL seperti yang dijanjikan.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan Setiausaha Jawatankuasa Bertindak
Penduduk Padang Lincin, Johari Hassan berkata, dua hari sebelum Pilihan
Raya Umum ke-12 (PRU12), Md Isa yang juga Exco Kerajaan Negeri dan
calon Barisan Nasional (BN) kawasan Bintong berjanji akan membantu
meluluskan status TOL jika menang.
Md Isa berkata, penduduk yang sudah membayar premium tanah bagi setiap
lot boleh mengambil semula wang mereka di Pejabat Tanah dan Galian
(PTG) Perlis.
Beliau juga kesal dengan individu yang mengemukakan dakwaan itu
kerana mereka tidak pernah mengadakan pertemuan dengan Kerajaan Negeri
bagi menyelesaikan perkara berkenaan.
“Saya difahamkan individu bernama Johari tinggal di Arau dan bukan merupakan penduduk asal Kampung Padang Lincin.
“Jawatankuasa yang ditubuhkan juga bukan badan berdaftar dan hanya
bertujuan mencetuskan provokasi yang didalangi pemimpin tertentu,”
katanya.
Md Isa turut memaklumkan bahawa Kerajaan Negeri menukar status tanah
padang ragut di kedua-dua kampung itu kepada tanah kerajaan untuk
membela nasib kira-kira 10 penduduk asalnya.
“Saya kecewa kerana ada individu tergamak menjual lot tanah yang
ditawarkan itu kepada orang luar sehingga menyebabkan majoriti tanah lot
di situ 'dimiliki' bukan orang tempatan.
“Saya percaya apa dilakukan Kerajaan Negeri adalah betul.
Kepada individu terlibat jangan pandai-pandai menimbulkan isu yang bukan
isu,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan