KUALA LUMPUR - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan menutup sementara Dataran Merdeka dan kesemua laluan ke kawasan itu berkuat kuasa 6 pagi esok (Jumaat) sehingga 6 pagi Ahad ini.
Datuk Bandar Kuala Lumpur, Tan Sri Ahmad Fuad Ismail dalam satu kenyataan hari ini berkata, penutupan sementara kawasan tersebut kepada orang awam adalah menurut Seksyen 65 Akta Kerajaan Tempatan 1976 dan dikawal di bawah Undang-undang Kecil Kerajaan Tempatan (Dataran Merdeka) (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) 1992.
DBKL sebelum ini menolak permohonan untuk mengadakan protes Duduk Bantah Bersih 3.0 di Dataran Merdeka, Sabtu ini kerana ia tidak bertaraf nasional dan membabitkan kepentingan masyarakat.
DBKL telah menawarkan Stadium Titiwangsa, Stadium Badminton dan Stadium Bolasepak Kuala Lumpur di Cheras sebagai lokasi alternatif.
Perbadanan Stadium Malaysia juga dilaporkan bersedia menawarkan Stadium Nasional Bukit Jalil sebagai lokasi perhimpunan manakala pemilik Stadium Merdeka, Merdeka Heritage Trust, juga dilaporkan bersedia mempertimbangkan permohonan penggunaan stadium itu sebagai lokasi perhimpunan.
Empat hari lalu, Pengerusi Bersama Bersih 3.0, Datuk S. Ambiga berkata, pihaknya tetap akan mengadakan perhimpunan di Dataran Merdeka walaupun permintaan mereka telah ditolak oleh DBKL dan polis.
"Kelmarin, polis telah memberi jawapan menolak pengunaan Dataran Merdeka. Kami akan berunding lagi dengan Datuk Bandar dan PDRM untuk menetapkan Dataran Merdeka sebagai lokasi Bersih. Walaupun dihalang, Dataran Merdeka adalah muktamad," kata Ambiga pada sidang media 24 April lalu.
Sehari sebelum itu, Datuk Bandar Kuala Lumpur menasihatkan penganjur perhimpunan agar menggunakan sama ada Stadium Titiwangsa, Stadium Badminton atau Stadium Bola Sepak Cheras.
Ambiga berkata, pihaknya amat kesal dengan kerajaan yang menawarkan pelbagai tempat berasingan kerana ia menyebabkan ramai yang terkeliru.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan