Editor Buletin
Dewan
Pemuda PAS Malaysia (DPPM) membidas kenyataan Setiausaha Agung UMNO
Datuk Seri Tengku Adnan Mansor yang menyatakan bahawa tindakan Suaram
mengemukakan kes berhubung pembelian kapal selam Scorpene ke mahkamah
Perancis merupakan usaha untuk mengucar-kacirkan negara.
DPPM juga menyangkal dakwaan Datuk Seri Adnan bahawa usaha Suaram
sebagai mahu memalukan orang dan hendak menimbulkan fitnah. Bagi DPPM
,apa yang diusahakan oleh Suaram bukannya fitnah atau mahu memburukkan
orang lain. Ia adalah sebuah fakta yang perlu didedahkan bagi mencegah
kemungkaran yang dilakukan oleh pemimpin terbabit. Tindakan Suaram
sebenarnya adalah tindakan terpuji kerana tidak mahu bersekongkol dengan
pemimpin yang melakukan penyelewengan dan mengaut kekayaan dari duit
rakyat.
Sepatutnya Datuk Seri Adnan merasa malu kerana rakyat
tidak lagi menaruh kepercayaan terhadap mahkamah di Malaysia. Timbulnya
prejudis bahawa mahkamah Malaysia juga dipengaruhi oleh kuasa politik
terutama kes yang melibatkan pemimpin-pemimpin negara. Rakyat seluruhnya
masih memperkatakan bagaimanakah misteri pembunuhan model Mongolia,
Altantuya Shaariibuu yang masih tidak terjawab sehingga kini serta
bagaimana kes ini dilayan sedemikian rupa sehinggakan bapa mendiang
terpaksa ke mahkamah antarabangsa bagi mencari keadilan dan pembelaan
sewajarnya terhadap anaknya.
DPPM berpendapat, kenyataan Datuk
Seri Tengku Adnan lebih mirip kepada kenyataan orang yang sedang dalam
ketakutan. Mungkin beliau bimbang kebenaran akan tersingkap yang
menyebabkan pemimpin negara ini akan turut terheret sama untuk didakwa.
Jika benarlah demikian, bukan setakat Perdana Menteri, malah beliau dan
UMNO keseluruhannya akan terjejas teruk. Maka akan berakhirlah sebuah
riwayat UMNO dan gelaplah masa depan Datuk Seri Adnan Mansor. Paling
penting, mungkin pilihan raya umum ke 13 tidak akan berlangsung dalam
masa terdekat sebagaimana yang mereka rancangkan.
RIDUAN MOHD NOR
Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Malaysia
Tiada ulasan:
Catat Ulasan