SINAR HARIAN
ALOR SETAR - Seorang anggota polis yang bertugas di Istana Anak Bukit
di sini maut dipercayai ditembak rakan setugas di pos pengawal di
hadapan pintu utama istana hari ini.
Dalam kejadian kira-kira 5.45 petang itu, mangsa Mohd Sobri Mohd Sidek,
22, anggota berpangkat Konstabel, yang berasal dari Melaka mati di
tempat kejadian.
Mangsa meninggal dunia akibat cedera parah dipercayai ditembak di muka dan dada menggunakan senjata jenis M-16.
Ketua Polis Kedah Datuk Ahmad Ibrahim berkata kejadian tersebut
disedari oleh seorang anggota lain, yang berada berhampiran tempat
kejadian yang
terdengar bunyi seperti mercun.
"Bila anggota tersebut keluar dia nampak mangsa terbaring di hadapan
pos pengawal dalam keadaan berlumuran darah dan suspek meninggalkan
istana sejurus
kejadian berlaku dengan menggunakan kereta," katanya ketika ditemui di tempat kejadian hari ini.
Beliau berkata, polis telah menahan suspek berpangkat Lans Koperal di
Simpang Empat, Perlis dipercayai di rumah isterinya kira-kira pukul 8.30
malam ini dan
dibawa ke sini untuk siasatan lanjut mengenai motif pembunuhan tersebut.
Ahmad berkata, suspek yang berusia 25 tahun baru sahaja ditugaskan di
istana tersebut dua minggu lalu dipercayai menembak mangsa dengan
menggunakan senjata jenis M-16 hasil daripada kelongsong peluru yang
ditemui di tempat kejadian.
Katanya, mangsa dan suspek bekerja bagi shift 3 petang hingga 7 malam.
Mayat mangsa dibawa keluar dari istana kira-kira pukul 7.40 malam dan
dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini untuk bedah siasat
sebelum dituntut
keluarga.
Beliau berkata kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Sementara itu, Ketua Setiausaha Sulit Sultan Kedah Datuk Syed Unan
Mashri Syed Abdullah berkata, Timbalan Ketua Polis Kedah Datuk Abdul
Ghafar Rejab telah
memaklumkan mengenai kejadian itu kepada Setiausaha Sulit Kanan Yang
di-Pertuan Agong untuk dipersembahkan kepada Tuanku Abdul Halim Mu'adzam
Shah kira-kira pukul 6.30 petang tadi.
"Tuanku Abdul Halim sedih dengan kejadian yang berlaku dan ini
merupakan kali pertama kes tersebut berlaku sejak istana itu wujud pada
1936," katanya.
Seorang saksi yang tinggal berhampiran istana itu, Jafiza Mohd Jaafar,
38, berkata dia terdengar bunyi beberapa das tembakan dan menyangka
hanya bunyi
tembakan biasa kerana pihak istana memburu musang.
Dia hanya mengetahui kejadian tersebut ketika hendak mengambil gambar di depan istana. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan