Isnin, 30 April 2012

Chegu Bard : Najib Menjadikan Peserta Dan Polis Mangsa Kekecohan Bersih 3.0






SHAH ALAM : Peserta dan polis telah dijadikan mangsa di dalam kekecohan pada himpunan BERSIH 3.0 akibat tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Pengerusi Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) Badrul Hisham Shaharin berkata ini kerana Najib tidak membenarkan peserta berhimpun di Dataran Merdeka.

“Jika rejim pemerintah memberi peserta masuk ke dalam dataran itu, lebih-lebih dua hingga lima jam sahaja yang boleh berhimpun dan akhirnya bersurai dengan aman tiada sebarang masalah berlaku,” katanya ketika dihubungi.

Bagi beliau, polis adalah mangsa dalam kejadian itu tetapi ini tidak menghalalkan tindakan ganas yang dilakukan pasukan keselamatan itu.

Di dalam himpunan di Kuala Lumpur semalam, polis menembak gas pemedih mavta dan menyembur air kimia kepada ribuan penyokong BERSIH 3.0 yang turun mengepung Dataran.

Setelah peserta-peserta tersebut yang menjangkau 250,000 itu berpecah lari ke beberapa lokasi di sekitar Dataran, mereka dikejar dan dihalau pasukan polis.

Dilaporkan polis memukul dan menggunakan kekerasan terhadap peserta yang tidak bersurai dan seramai 512 orang ditahan di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Jalan Semarak di Kuala Lumpur.

Beberapa wartawan yang membuat liputan terhadap himpunan itu mendakwa mereka dikasari polis yang merampas kamera dan menghalang mereka daripada merakam tindakan polis terhadap peserta.

Badrul Hisham, yang juga dikenali Chegu Bard mendakwa beliau turut dipukul semasa ditahan polis di kawasan Masjid Jamek semalam.

“Tindakan ganas polis itu, Najib perlu bertanggungjawab penuh. Perbuatan polis seperti ‘gangster’ yang berindak diluar jangkaan seperti mengacukan pistol dan sebagainya sudah melampaui batas.

“Apa yang berlaku semalam adalah rusuhan polis di tengah-tengah Bandara Raya Kuala Lumpur,” kata Badrul Hisham.

Badrul Hisham bekata beliau dipukul sehingga luka di bahagian kepala malah tulang mukanya patah.

Tambahnya, beliau dipukul oleh kira-kira 50 anggota polis di Jalan Tunku Abdul Rahman.

“Pada waktu hampir Maghrib, ketika saya berada di Masjid India, saya ditarik dan dipukul teruk oleh lebih 50 anggota polis di Jalan Tunku Abdul Rahman kemudian ditarik dan dibawa ke Dataran Merdeka.

“Saya mengatakan simpati kepada anggota polis dan rakyat semua. Kita adalah mangsa kepada tindakan Najib yang memperkudakan polis itu,” katanya.

Beliau berkata perhatian hanya diberikan kepada tindakan ganas yang dilakukan peserta BERSIH.

“Tetapi sebagai contoh, ianya berlaku di depan mata saya di Sogo, anggota polis membawa kereta dan merempuh seterusnya
melanggar peserta BERSIH sehingga ada yang terperosok di bawah kereta.

“Malah peserta yang tiada pilihan lain bertindak menterbalikkan kereta terbabit apabila polis tidak menghiraukan permintaan mereka untuk mengalihkan kereta bagi mengeluarkan mangsa yang cedera teruk terbabit.

“Dan akhirnya polis mengeluarkan kenyataan memberitahu bahawa anggota polis itu meninggal dunia akibat dipukul,” katanya.

Tiada ulasan: