Gelaran ‘mahasiswa’ bukanlah gelaran istimewa yang mempunyai hak atau seolah-olah masyarakat terhutang budi untuk mendengar suara golongan ini.
Assalamualaikum dan salam sejahtera wahai para pembaca sekelian.
Minggu lepas saya telah menimbulkan amarah beberapa golongan kecil yang memakai tudung berlipat-lipat sambil berbual dalam gaya pertuturan Amerika dan British berselit beberapa perkataan Arab.
Minggu ini pula saya membangkitkan kemarahan golongan pelajar universiti yang menggelarkan diri mereka sebagai mahasiswa. Namun kali ini tidak seperti sebelumnya, FMT telah menutup kemudahan untuk memberi komen maka tidaklah sakit kepala saya membaca sumpah seranah serta cercaan orang yang tidak dikenali di serata Internet.
Pastinya anda sudah tidak sabar lagi untuk mengetahui mengapa saya menggelarkan golongan yang menggelarkan diri mereka sebagai mahasiswa sebagai poyo, maka apa tunggu lagi.
Sebelum kita meneruskan perbincangan kita pada hari ini adalah baik sekiranya saya menerangkan takrifan yang digunakan dalam karangan ini, pastinya ada para pembaca yang budiman pasti tertanya-tanya apakah itu “poyo”?
“Poyo” adalah satu perkataan yang digunakan oleh golongan remaja terutama di sekitar Lembah Kelang (dan kawasan sekitarnya) untuk menerangkan rasa kegelian, menyampah ataupun apa-apa perkara yang membuatkan seseorang itu merasa hendak muntah.
Antara perkataan ganti yang juga boleh digunakan adalah seperti poser, menggelabah ataupun “tak boleh belah”.
Contoh penggunaan perkataan poyo adalah seperti berikut: “Poyo sial gaya rambut adik kau ala-ala Justin Bieber itu” ataupun “Kite xske sgt ngan die taw, gediks sgt dpn boy cute tue, poyo giler babs, muntah wei.” Untuk pengetahuan para pembaca sekelian, contoh kedua itu ditulis dalam bentuk bahasa SMS.
Manakala mahasiswa pula ialah perkataan gelaran yang diberi kepada penuntut universiti dan dalam konteks Malaysia, mahasiswa biasanya adalah gelaran kepada penuntut universiti kerajaan yang berminat untuk bertanding Majlis Perwakilan Pelajar (MPP).
Sesungguhnya saya juga merupakan bekas graduan Universiti Teknologi Malaysia, dari Fakulti Kejuruteraan Eletrik, fakulti yang paling membosankan dari segi aktiviti masa lapang pelajar dan pada waktu saya belajar, merupakan pemegang rekod jumlah peratusan keluar mengundi paling rendah sewaktu pilihan raya kampus.
Kempen yang mengecewakan
Jadi dapat dilihat dari sini sebenarnya saya tidak mempunyai masalah dengan pelajar universiti tetapi saya hanya mempunyai masaalah dengan yang menggelarkan diri mereka sebagai mahasiswa kerana pertamanya saya tidak nampak apa sangat yang maha tentang siswa ini dan keduanya biasanya mereka yang menggelarkan diri mereka mahasiswa adalah mereka yang saya selalu lihat sebagai poyo.
Saya yakin, pastinya ada pelajar universiti yang menggelarkan diri mereka mahasiswa tidaklah
sepoyo mana, pastinya mereka merupakan orang yang mesra, baik hati dan disukai ramai, namun dari segi pengalaman dan pengamatan penulis yang telah belajar di universiti kerajaan selama lima tahun diikuti dengan beberapa golongan mahasiswa tertentu maka dengan sedihnya saya terpaksa menyatakan, setiap kali saya mendengar perkataan mahasiswa, perkara pertama yang datang atau muncul dalam minda saya ialah kepoyoan yang menghampiri tahap polis angkasa gaban (peribahasa moden).
Sewaktu saya menuntut di universiti dahulu, seringkali saya berdepan dengan orang yang bersemangat berceramah tentang “suara mahasiswa”, “kepimpinan mahasiswa” ataupun “kuasa mahasiswa”.
Pada mulanya saya menolak tepi slogan-slogan ini kerana saya berpendapat kebanyakan mereka yang sibuk memperjuangkan perkara-perkara ini adalah dari aliran sastera yang mempunyai banyak masa untuk menjalankan aktiviti sampingan. UTM yang ketika itu terkenal dengan gelaran Universiti Tendang Menendang kerana tahap kegagalan yang tinggi di kalangan pelajar jurusan kejuruteraan, saya lebih risau untuk mengumpul markah bagi memastikan saya boleh meneruskan pengajian pada semester hadapan.
Boleh dikatakan tiga tahun pertama saya di universiti bagi saya “kuasa mahasiswa” adalah perkara kedua dan saya lebih risaukan tentang “kuasa aruhan elektromagnet” dan bagaimana mengiranya dengan tepat.
Namun setelah saya menjadi seorang pelajar kanan, yang mana kini markah saya boleh dikatakan lebih stabil (tidak tinggi, teruk juga tapi susahlah nak kena tendang) maka saya pun sedikit berminat apabila dikatakan tentang “kepimpinan mahasiswa”.
Sebagai seorang siswa yang maha, banyak juga yang saya tidak berpuas hati dengan kepimpinan universiti, masyarakat, negara dan juga dunia sejagat.
Namun yang paling saya tidak puas hati adalah isu-isu yang berkait rapat dengan saya sebagai seorang siswa yang maha dan saya merasakan melalui “suara mahasiswa” dan “kepimpinan mahasiswa” bolehlah saya mempunyai saluran dan wakil untuk menyuarakan suara dan hasrat saya kepada pemerintah universiti.
Maka apabila sampai masa waktu pemilihan saya pun telah nekad untuk keluar mengundi kerana mahu wakil yang boleh menyuarakan suara saya, selain dari hadiah cabutan bertuah dari fakulti kepada mereka yang mengundi kerana HEP (Hal Ehwal Pelajar) telah mendesak FKE (Fakulti Kejuruteraan Eletrik) untuk meningkatkan peratusan keluar mengundi.
Malangnya, apabila saya mendengar kempen dari mereka yang mempunyai aspirasi (bukan pro aspirasi) untuk menjadi perwakilan, saya merasa kecewa.
Saya berharap yang mereka akan memperjuangkan perkara-perkara seperti meningkatkan kualiti pensyarah, menambah kemudahan kepada pelajar seperti “water cooler”, tentang yuran pengajian, hal-hal akademik, hal biasiswa, untuk memberi input tentang matapelajaran dan kurikulum pengajian kepada pihak pentabir universiti dan perkara-perkara sedemikan.
Cita-cita politik peribadi
Tetapi apa yang saya dengar ialah perjuangan untuk mereformasikan ummah, mengembalikan kepimpinan mahsiswa di arus perdana, keadilan kampus dan beberapa lagi slogan kosong yang tiada kena mengena dengan kehidupan pelajar universiti.
Bayangkan calon-calon dari persatuan mahasiswa Islam ketika itu, persatuan yang mewakili saya sebagai pelajar Islam adalah kempen mencegah bonceng antara bukan muhrim, kempen anti-hari “Valentine” dan untuk lebih mengIslamkan kampus dan beberapa slogan yang saya sebagai seorang pelajar yang tidak ada kaitan.
Paling popular ketika itu ialah kempen menentang AUKU, saya sebagai pelajar terlibat secara langsung, namun nampak lebih kepada membenarkan penglibatan pelajar dalam politik dan walaupun saya merasakan apa salahnya kalau pelajar dilibatkan namun itu hanyalah satu agenda di bawah banyak lagi perkara lain yang saya mahu perwakilan saya suarakan.
Sayangnya suka atau tidak, kita terpaksa mengakui hakikat ini bahawa “perjuangan mahasiswa” mahupun “kepimpinan mahasiswa” adalah terikat secara terus dengan isu-isu politik kepartian oleh golongan mereka yang mempunyai cita-cita untuk menjadi ahli politik dalam parti-parti tertentu.
Baiklah, tiada salahnya untuk mempunyai cita-cita dalam politik mahupun mempunyai minat dalam politik kepartian, tidak salah dan saya menyokong pelajar universiti untuk diberi kebebasan untuk berbuat demikian.
Kalau dah boleh mengundi seharusnya mengapa perlu dihalang hak berpolitik bukan.
Namun yang saya merasakan teramatlah poyo apabila ianya digunakan sebagai alasan dan topeng untuk memperjuangkan cita-cita politik peribadi golongan tertentu dengan menggunakan nama pelajar-pelajar universiti yang secara umunya yang tidak berminat melibatkan diri dalam politik kepartian.
Bagi saya gelaran “mahasiswa” bukanlah gelaran istimewa yang mempunyai hak atau seolah-olah masyarakat terhutang budi untuk mendengar suara golongan ini. Beginilah, cukai pun kau tidak bayar lagi, yuran belajar pun subsidi siap pakai duit pinjaman, lagi mahu banyak bunyi pulak.
Walaupun ianya berbunyi sedikit kasar, anggap beginilah, saya berharap lepas ini kepimpinan pelajar atau majlis perwakilan pelajar biarlah benar-benar menyuarakan hasrat dan isi hati pelajar tanpa mengira keuntungan atau panduan politik kepartian tak kira dari hala mana sekalipun dan moga-moga sampai suatu ketika perkataan mahasiswa itu tidaklah dilihat sebagai “poyo” suatu hari nanti
Untuk pengetahuan pembaca, akhirnya saya mengundi semua calon wanita yang bertanding tanpa mengira dari gerombolan mana sekalipun.
Zaidel Baharuddin, seorang jurutera elektronik, boleh diikuti di WirawanWeb.com, lipassepi.blogspot.com atau @Sinatra_Z. Beliau adalah kolumnis FMT.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan