Sabtu, 24 Disember 2011

Konsep bersyukur

Oleh Fairuz Azhan


Taktik kerajaan UMNO-Barisan Nasional menggunakan perkauman dan fitnah untuk menutupi skandal, ketidaktelusan dan penyalahgunaan kuasa semakin diketahui umum.

Namun ada cara halus UMNO-BN yang turut digunakan untuk menghalakan kazalimannya, iaitu konsep ‘bersyukur’.

Rata-rata kalau kita pergi ke mana-mana yang terpacaknya papan tanda kawasan UMNO-BN, ianya akan tertulis, “UMNO (BN) telah banyak berjasa kepada agama, bangsa, dan negara.” Begitu kuatnya propaganda mereka supaya masyarakat tidak kira bangsa akan tunduk dan terikat dengan konsep ‘bersyukur’ tersebut.

Hujahnya ialah: Kerana BN-lah kita mencapai kemerdekaan, kerana BN-lah orang Cina boleh menjalankan perniagaan secara aman tanpa gangguan, kerana BN-lah sekolah-sekolah dibina, kerana BN-lah negara ini maju.

Perangkap UMNO-BN

Cuba kita fikir sejenak, bagaimana kebanyakan masyarakat boleh tergelincir ke arah perangkap ‘bersyukur’ tersebut?

Kita terpanggil untuk membicarakan hal ini kerana rata-rata tomahan, jika anda menyokong Pakatan Rakyat, atau pun jika anda tidak bersetuju dengan dasar-dasar kerajaan pusat, anda akan dilabel sebagai seorang manusia yang tidak tahu bersyukur.

Para mahasiswa, khususnya anak-anak muda Melayu, yang menuntut agar Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) atau sekurang-kurangnya Seksyen 15 AUKU dimansuhkan, dilabel sebagai Melayu yang tidak tahu bersyukur.

Anak-anak peneroka FELDA yang menuntut hak serta tidak mahu Tan Sri Isa Samad yang penuh kontroversi rasuah (di mana dia digantung kedudukan dalam UMNO sebelum ini kerana rasuah politik) sebagai Pengerusi Felda, juga dilabel Melayu yang tidak tahu bersyukur.

Bagaikan segala-galanya di Malaysia ini adalah hak mutlak kerajaan dan rakyat harus diam dan ikut perintah sahaja.

Kita harus persoalkan sama ada emosi ini benar kerana setiap rakyat, termasuk Melayu, boleh menjadi seorang patriot kepada negara tercinta tanpa perlu bersetuju dengan aspirasi kerajaan yang mentadbir kita sebagai rakyat.

Kita adalah tuan dalam negara ini. Kerajaan hanya sebagai pekerja kepada kita, kalau tinggi pun jawatannya, sekadar pengurus sahaja. Pentadbirannya adalah berasaskan kehendak dan keperluan rakyat.

Begitu teruk sekali kerajaan menanam mentaliti ‘rent-seeker’ ini sehinggakan tema kempen pilihan raya BN dalam pilihan raya umum 2004 di bawah Tun Abdullah Ahmad Badawi adalah ‘Bersyukurlah’.

Seolah-olah tiada daya untuk menjadi lebih baik, atau pun lebih ekstrem lagi, rakyat dilihat seperti hamba yang harus bersetuju dan mengikut perintah tuan kerajaan kita meski pun kita semua adalah rakyat yang sayangkan negara dan mahu melihat perubahan-perubahan positif untuk negara kita ini.

Salah konsep, bahaya kepada rakyat

Sebenarnya, konsep ‘bersyukur’ ini yang kita fahamkan hanyalah kepada Tuhan, bukan pada manusia. Tuhanlah yang memiliki sekelian alam, hasil dan sumber bumi, dan segala kebaikan. Jika hendak bersyukur pun, kita bersyukurlah pada Tuhan.

Jika nak jadi hamba pun, jangan hamba kepada manusia, jadilah hamba kepada Tuhan. Dan Tuhan menyeru kita ke arah kebaikan, ketelusan, amanah dan sebagainya. Bukannya rasuah, penyelewengan dan kezaliman yang sedang dilakukan oleh kebanyakan pemimpin UMNO-BN.

Jika ada mana-mana pihak yang harus jadi hamba, ia adalah kerajaan, bukannya rakyat. Rakyatlah pemacu ketamadunan negara, bukannya kerajaan. Segala wang yang digunakan untuk membangunkan negara ini adalah wang rakyat, dan kita tidak boleh diam ‘bersyukur’ jika berjuta-juta dan berbilion-bilion ringgit wang kita yang diamanahkan telah dilesapkan oleh pemimpin kerajaan.

Kita tidak boleh menerima bahawa kita harus ‘bersyukur’ atas segala-gala kemudahan dan keselesaan hidup ini kepada kerajaan.

Jika anak-anak bersekolah, itu adalah hak asasi mereka yang sudah termaktub dalam Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Jika sebuah kampung di kawasan hulu tidak pernah menerima bekalan air bersih dari kerajaan sejak merdeka tiba-tiba mendapat bantuan itu, mereka tidak perlu dicandukan dengan ‘bersyukur’, malah berhak marah kerana telah dipinggirkan selama ini.

Hak rakyat

Kita tidak menafikan segala jasa dan bantuan pihak kerajaan, sama ada di pihak BN mahu pun Pakatan Rakyat di negeri masing-masing. Tetapi itu adalah tanggungjawab mana-mana kerajaan yang prihatin.

Rakyat tidak harus dicandukan dengan konsep ‘bersyukur’. Segala pemberian mana-mana kerajaan bukanlah ‘hadiah’ dan keistimewaan” mahu pun ‘saguhati’ atau ‘ehsan’ seorang tuan kepada hambanya. Ia adalah hak rakyat.

Apabila Merdeka dahulu, Perikatan ada pernanan dan jasanya. Itu tidak dinafikan. Tetapi kemurnian idealisme kerajaan Perikatan telah lama berkubur. Semakin lama semakin teruk, dan titik notktahnya berakhir apabila pimpinan UMNO-BN lebih sayangkan kroni daripada rakyat.

Kita harus memandang ke depan, berani menyuarakan pendapat dan menegakkan keadilan dalam masyarakat jika benar-benar sayangkan negara ini. Inilah semangat patriot yang sebenar, menuntut kerajaan supaya sentiasa memikirkan apa yang terbaik untuk rakyat dan negara, bukannya kepada diri sendiri dan keluarga.

Jika kita merasakan ini sukar atau tidak boleh diamalkan sekarang di bawah pemerintahan UMNO-BN, maka tepuk dada tanya selera. PRU ke-13 sudah semakin hampir. – Roketkini.com

Tiada ulasan: