Persoalan
Oleh kerana analisis novel bukan kekuatan saya, maka setelah membaca teks sms Nasir, saya bersedia secara mental dengan beberapa pertanyaan. Apakah novel Nasir satu penyataan tentang tafsiran hidup? Satu laporan tentang kehidupan real yang beliau harungi dan melintas titik-titik noktah? Sebagai hiburan semata, awal-awal lagi ditolak pertanyaan itu. Ringkasnya, apakah kebergunaannya novel tersebut?
Setelah itu, konsekuen pertanyaan di atas, saya ingin tahu pula apakah tipe/jenis penerbitan Nasir: adakah itu novel sejarah, seperti karya Pramoedya Anan Toer - Bumi Manusia, Arus Balik dan lain-lain? Ataupun novel tipe Proletarian, seperti yang dihasilkan Charles Dickens tentang kesulitan kelas proletar dalam kerangka Revolusi Industri kapitalis di-Inggeris tetapi yang ditulis novelis daripada kelas borjuis kecil.
Hal-hal yang saya kurang, malah tidak arif, juga timbul di benak saya - apakah plotnya? Siapakah watak-watak utamanya? Dan yang manakah antara watak itu penjelmaan peribadi Nasir sendiri? Apakah skopnya dan apakah buku yang saya akan terima daripada Nasir itu sebahagian trilogi? Atau jilid pertama?
Selain itu, ingin sekali saya ketahui lagi tentang novelnya: apakah latar, setting, dan scene novel tersebut kerana hal-hal itu memungkinkan saya mengilas balik apakah roh zaman itu; apakah Zeitgeistnya? Terpenting apakah sudut pandangan Nasir, ideologinya dan umumnya pandangan dunia beliau, iaitu weltanschauungnya, istimewanya setelah 1989 kerana jarang-jarang sekali kami berjumpa, tidak seperti sebelum itu. Reunion sosial dengan beliau malam ini amat menggembirakan saya, tentunya.
Oleh kerana pengetahuan tentang analisis kesusasteraan saya tidak seberapa, kalau tidak pun tiada, maka saya memilih menumpukan kepada lingkungan, iaitu teks sosial novel ini, latarbelakang pengarangnya, dan pandangannya, iaitu ideologi karya ini. Dalam erti tersebut ulasan saya amat terbatas kerana tertinggal hal-hal penting, seperti estetika.
Latar Belakang Novelis
Latar belakang pengarang wajar dibincangkan dahulu, selari setting/landscape novel, dan sejarah kebangkitan sosialisme yang luas spektrumnya dalam sayap kiri - politik kiri - dari yang berwarna politik jingga/pink hingga ke warna politik merah/rouge/red. Setting sosial terpenting novel ini adalah kemunculan kelas proletar Melayu dan kemunculan golongan inteligentsia Melayu, dua tambahan kepada struktur sosial masyarakat Malaysia. Watak Samad melambangkan golongan intelligentsia yang terdidik formal tetapi tingkat kesedaran sosial tidak seberapa. Itulah yang dipertimbangkan oleh Nasir dalam novelnya dan dalam rangka demikian saya mengikuti novel beliau, berpaksikan ideologi tersebut.
Perbincangan saya tentang sosialisme menjadi satu keharusan kerana adanya dua bab novel yang pada saya itulah inti, sari, esensi novelnya. Bab 40 dan bab 53 sesungguhnya menjawab salah satu pertanyaan saya setelah menerima berita tentang peluncuran novel ini.
Watak En. Kamaruddin dijadikan kenderaan, watak itu wahana, watak itu adalah sarana pembawa ideologi sosialis. Watak Hamzah yang bertubi-tubi melontarkan pertanyaan dalam sesi tanya jawab (Q&A) dengannya, pada saya adalah lambang kelas proletar baru muncul, asal desa, a class in itself yang kurang kesedaran kelas, tetapi yang berevolusi menjadi class for itself, kelas yang menjadi barisan depan - vanguard perjuangan.
Golongan petani (bukan kelas) sering dikiaskan dalam literatur sosialis seperti sekarung kentang-bentuknya tak tersusun dengan sistematik berbanding kelas proletar dan yang demikian kurang maju kesedaran kelasnya.
Oleh kerana sosialisme menjadi esensi buku ini, maka tidak terelakkan saya memakai istilah-istilah sosialisme yang terdapat di dalam Kamus Dewan, terutamanya edisinya keempat. Justru, saya memakai kategori-kategori dan juga nomenklatur sosialis dalam ulasan ringkas tentang novel ini. Lagipun, acara malam ini acara Parti Sosialis Malaysia dan novelis Presidennya.
Ulasan En.Kamaruddin tentang masyarakat dengan analisis strukturalnya membuat dia seorang intelektual yang memiliki daya fikir tinggi. Dia bukan daripada golongan ahli falsafah borjuis yang sekadar ingin memahami dunia, sedangkan tugas ahli falsafah pokoknya adalah mengubah dunia.
Hamzah pula lambang golongan massa - kelas proletar - yang memiliki pengalaman sosial langsung dan yang melalui pendidikan ideologi sosialisme akhirnya menjadi intelektual. Beliau memiliki pengetahuan konkrit, tetapi perlu disusunkan gagasannya dengan bantuan intelektual.
En. Kamaruddin ternyata lebih maju daripada pemikiran kebanyakan pemimpin daripada dua belahan politik di Malaysia kerana beliau dapat membezakan konsep-konsep, yang sering di salah pakai dan akibatnya mengelirukan. Contohnya, istilah-istilah "Kerajaan/pemerintahan" daripada "negara". En. Kamaruddin menganalisis masyarakat, lalu membezakan kelas "borjuis" daripada strata sosial "borjuis kecil"; "proletar" daripada "petani". Perhatikan tumpuannya adalah modal yang sering sekali dan pintar bersembunyi dan menyamar di belakang topeng hak asasi manusia. Kontradiksi utama kelas pekerja adalah modal - dulu dan sekarang. Bila-bila pun begitu.
Salah satu yang menarik perhatian saya - bagaimana doktor perubatan panel, satu perkerjaan mulia telah dengan mudah disedutkan kedalam orbit sistem kapitalis. Lalu, tugasnya merawat proletar sakit dan sekaligus memenuhi tugasnya "reproduction of labour for capital". Sayangnya, tidak dimasukkan didalam wacananya para mahaguru - "mahakeliru" yang turut tersedut untuk memenuhi tugas reproduction of intellectual labour yang sama tujuannya, iaitu memenuhi keperluan modal.
Ideologi Novel
Bab 40,m.s 258 akhirnya menyerlahkan ideologi sosialisme yang diidamkan novel ini daripada beberapa variasi sosialisme dan yang beraneka dalam spektrum politik kiri. Satu sintesis dinyatakan di situ - menolak materialisme "kering" yang tidak disintesiskan dengan keperluan spiritual para warga. Kalau novel itu biasanya ditandai dengan suspense, maka itulah suspense saya, setelah Nasir dan saya kurang berinteraksi pada zaman pasca 1989.
Sosialisme dengan agama menjadi perdebatan yang tidak berkesudahan di Nusantara. Indonesia mengalaminya sejak PKI didirikan. Tetapi, Indonesia mempunyai Sukarno yang berusaha gigih sampai akhir hayatnya menggabungkan tiga kuasa gerak sejarah, iaitu nasionalisme, agama, dan komunisme (sebenarnya sosialisme. Komunisme dipakai Sukarno kerana nama PKI begitu). Marhaenisme adalah upaya beliau melokalisasi kesejajagatan sosialisme kepada keadaan sejarah konkrit rantau ini. Sosiologi dan sejarah sesuatu negeri penting.
Hal itu diulangi oleh En. Kamaruddin. Agama sering dijadikan ubat bedil menembak sosialisme. Mungkin baik sekiranya En. Kamaruddin memetik sepenuhnya penyataan Marx tentang agama. Kata Karl Marx: Religion is the sigh of oppressed creature, the heart of a heartless world, just as it is the spirit of a spiritless situation. It is the opiate of the people. Hal ini penting kerana Marx sedikit sekali menyentuh agama dan tidak menjadikannya masalah pokok dalam kajianya.
Terjemahan: "Agama itu rintihan makhluk tertindas, hati dalam dunia tidak berhati perut, seperti ia menjadi semangat dalam keadaan tidak bermaya. Agama itu bius/penahan sakit rakyat". Para paderi kolot di Eropah yang sebenarnya mempersetankan Marx. Tetapi, Bapak Haji Misbah daripada Syarikat Islam Indonesia sebaliknya mendukung cita-cita negara sosialis dan berbeza sekali dengan agamawan Eropah, termasuk agamawan di rantau ini. Haji Misbah seorang Kiyai, seorang ahli agama.
Persekitaran
Menurut Emile Zola, novelis Perancis pertengahan abad ke 19, kekhususan persekitaran itu penting bagi menentukan perwatakan dalam novel. Persekitaran dominan pada setting novel ini adalah pembebasan rakyat daripada penindasan manusia ke atas manusia melalui ideologi sosialis. Di Eropah, Amerika Latin, Afrika, Dunia Arab, Asia, ideologi itu bergelojak.
Di Malaysia, pada pengamatan saya, sosialisme berkembang di Singapura dahulu, tetapi terdapat perkaitan erat asuhan ideologi tersebut dengan yang terjadi di Britain dan di China dan juga Soviet Russia. Variasinya banyak dan kadang-kadang meruncing, khususnya setelah Moskow dan Peking bersengketa ideologi. Revolusi Kebudayaan pertengahan 1960-an turut menegangkan lagi belahan ideologi di tempat kita sekali pun. Parti Komunis Malaya tidak terkecuali daripada dampak demikian. Begitu juga di kalangan intelektual individu yang berkebetulan memimpin beberapa organisasi.
Kejayaan demi kejayaan di Indo-China, terutamanya Vietnam telah memberikan optimisme kepada gerakan sosialis di Malaysia (tidak termasuk PAP dan juga DAP yang dianggap pada waktu itu "sosialisme tampal sulam"). Optimisme demikian mendorong Parti Rakyat Malaya memajukan ideologi "Marhaenisme" kepada "sosialisme saintifik". Sosialisme jenis itu sebenarnya sama dengan ideologi asal parti dan semata-mata alat menganalisis masyarakat dalam upayanya memahami kuasa sosial di dalamnya untuk dijadikan pedoman tindakan, iaitu guna melaksanakan praxis, seperti yang dibicarakan di dalam bab 40 dan bab 53 novel Nasir.
Sementara itu, dunia berubah mulai 1989. Tembuk Berlin runtuh. Pengikut ideologi sosialis pun terlontar dan mencari-cari strategi baru. Golongan Trotsky yang sekian lama tidak yakin dengan kesejagatan ideologi sosialisme secara objektif dan subjektif, menentang ideologi sosialisme sebagai pedoman untuk semua keadaan. Lima tahun sebelum runtuhnya Tembuk Berlin, rupanya Mikhail Gorbachev telah melawan arus sosialisme atas nama pertumbuhan ekonomi Russia dengan memakai slogan "Perestroika" (rekonstruksi) dan memilih jalan Kapitalis bagi Soviet Russia. Ringkasnya, keterbukaan dan liberalisme Gorbachev juga menggunakan istilah Glasnost yang bererti satu panggilan memeriksa kembali diri. Untungnya, Mikhail Gorbachev diusir daripada kekuasaan, tetapi kapitalisme gangsternya yang mengiringi peretroika dan glasnost masih menjadi punca masalah di Russia.
Pengaruh keterbukaannya (perestroika) khabarnya mengenakan bujukannya juga ke atas beberapa pemimpin di Malaysia. Kecelaruan ideologi selama dua dekad belakangan ini ternyata tidak membara lagi politik ideologi.
Sayangnya, beberapa organisasi telah menggugurkan ideologi, termasuk sosialis. Hal inilah yang merungsingkan novel Mohd Nasir Hashim, apabila terdapat pengikut-pengikut sosialisme yang amat terbujuk oleh slogan "TINA" yang dilaungkan Margaret Thatcher. TINA adalah akronim "There is no alternative to Capitalism". Itulah teks sosial novel yang di lancarkan malam ini.
Kesimpulannya
Akhirnya, apakah terdapat imbangan antara estetika/keindahan dengan isi novel ini? Estetika tanpa isi, itu perhiasan semata. Sebalikanya, isi tanpa keindahan, itu sekadar propaganda. Begitulah madah seorang pujangga dari China dalam kuliahnya pada 1930-an tentang kesusasteraan. Mungkin di dalam bab 40, bab 44, dan bab 53, imbangan itu memberatkan isi dan mengorbankan estetika, sedangkan 64 bab lain itu berimbang, pada taksiran saya. Namun, saya lihat pada tiga bab - 40, 44, dan 53 - terdapat imbangan jenis dialektika, tetapi bukan imbangan absolut.
Nasir, Tahniah! Puas sekali sekali saya membicarakan novel tentang ideologi sosiolisme yang sekian lama tidak diperkatakan kerana dianggap wacana demikian bukan lagi PC (politically correct).
*Komentari novel ini ditulis oleh Profesor Abdul Halim Ali, bekas pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia dan bekas AJK Pusat Parti Sosialis Rakyat Malaysia (PSRM). Novel yang dibincangkan adalah "Mengharungi Titik Noktah", ditulis oleh Dr. Mohamad Nasir Hashim, ADUN Kota Damansara dan Pengerusi Parti Sosialis Malaysia.
**Pembaca boleh mendapat buku ini melalui tempahan. Sila hubungi Sivarajan 016-6798005 atau e-mel kepada sivarajan.a@gmail.com. Anda boleh klik Mengharungi Titik Noktah_Dr. Mohd Nasir Hashim untuk menonton klip video mengenai buku!
Jumaat, 23 Disember 2011
Komentari Novel: Mengharungi Titik Noktah
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan