Khamis, 1 Disember 2011

'Ketegangan perasaan' dalam AGM Umno

Dr Mohd Asri Zainul Abidin


ULASAN Saya pulang ke Malaysia untuk seketika. Jadi panel forum dan tetamu jemputan sempena Perhimpunan Agung Umno 2011. Saya rasa wajar saya hadir, sebab Muktamar PAS yang lepas saya telah hadir sebagai tetamu.

Menghadiri, mendengar secara langsung, merasai suasana, bertemu sahabat handal yang menjadi pimpinan parti-parti tersebut mempunyai ‘sentimental values’ yang tersendiri. Saya berterima kasih kepada kedua parti-parti tersebut yang masih sudi menerima saya sebagai sahabat.

Bahkan pada 27 November baru-baru ini saya juga dijemput oleh PKR untuk memberikan ucaptama Maal Hijrah sempena Kongres Nasional mereka. Namun saya tidak dapat hadir atas faktor masa. DAP juga pada tahun 2008 pernah menjemput saya semasa mensyuarat agung mereka untuk memberikan syarahan khas. Masa itu saya juga tidak dapat hadir atas sebab tertentu.

Secara umumnya, saya rasa parti-parti politik di Malaysia masih lagi mempunyai ruangan untuk pandangan pihak luar parti yang kadang-kala berbeza di sana-sini. Juga, mungkin saya boleh anggap itu sebagai satu pengiktirafan kepada pihak ketiga yang tidak terikat dengan parti tertentu. Bukan pengiktirafan peribadi, tetapi untuk semua pihak yang ‘sealiran’ di sudut ketidakterikatan dengan parti tertentu.

Pihak ketiga

Hal ini memang wajar, atas banyak sebab. Antaranya; pihak ketiga atau ‘third force’ dalam negara ini bertambah meningkat. Golongan yang tidak terikat dengan lambang parti mungkin melebihi 65 peratus dalam negara ini. Mereka ini biasanya terdiri dari golongan yang ‘mesra’ dengan dunia teknologi maklumat yang pelbagai dewasa ini.

Biasanya mereka terdiri dalam kalangan golongan muda yang sukar untuk digula-gulakan, atau diperbodohkan di segi maklumat. Sekeras mana regim-regim Arab pun telah tergugat dan tumbang akibat ledakan dunia komunikasi dan maklumat moden ini. Keadaan ini nampaknya diakui oleh ucapan Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak dan Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaludin dalam ucapan mereka di perhimpunan agung ini.

Saya melihat suasana perhimpunan Umno kali ini ada ‘ketegangan perasaan’ memandangkan pilihanraya ke-13 sudah hampir. Isyarat dalam banyak ucapan memberi tanda jika Umno gagal kembali menawan hati rakyat, tidak mustahil untuk berlakunya pertukaran kerajaan pusat.

Kebimbangan itu dilahirkan sama ada untuk menjadikan ahli-ahli Umno lebih bersungguh, ataupun sememang ada isyarat ‘merah’ yang telah dilaporkan oleh jentera-jentera parti tersebut. Cumanya, saya dapati penulis ucapan presiden kurang kemas dalam menyampaikan mesej sebelum pilihanraya itu. Tidak dari segi bahasa, tidak juga kekemasan di sudut isinya. Saya menjangkakan sesuatu yang lebih mantap daripada itu.

Harapan

Dalam artikel saya yang lepas saya telah sentuh satu faktor terpenting yang mempengaruhi seseorang yang berakal dalam mengundi. Faktor itu perlu disedari oleh semua parti. Faktor itu ialah ‘harapan’. Seseorang yang berakal akan mengundi atau memilih parti yang paling dapat memberikan ‘harapan’ sebagai kerajaan yang akan memerintah.

Ini kerana politik adalah soal pengurusan kehidupan. Kita semua ini hidup atas ‘harapan’ yang ada dalam jiwa kita. Harapan terhadap masa depan diri sendiri, atau keluarga atau sesiapa yang kita cinta dan sayang menyebabkan kita terus berjuang untuk hidup. Bahkan, sehingga perjuangan kita merebut keredhaan Allah juga adalah atas harapan wujudnya rahmat Allah yang luas, keampunan dan syurga yang dijanjikan.

Maka agama menyuburkan harapan dalam jiwa insan. Para penyampai ajaran agama disuruh menanamkan harapan dalam jiwa setiap manusia. Ini jelas menerusi firman Allah: (maksudnya) “Katakanlah: "Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dia jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani”. (Surah al-Zumar: 53).

Justeru, sesiapa yang menyebabkan manusia putus harapan terhadap Tuhan maka dia akan dihukum. Dalam konteks itu Nabi s.a.w bersabda: “Jika seseorang berkata: binasalah manusia, maka dialah yang paling binasa” (Riwayat Muslim). Maksud jika dia menyatakan bahawa sudah tiada rahmat atau keampunan untuk orang lain, maka dialah yang paling jauh dari rahmat dan keampunan.

Ini kerana, apabila manusia putus asa dari rahmat Allah maka dia akan terus menjadi pemaksiat atau penderhaka kepada Allah. Apa lagi yang hendak dilakukan apabila sudah tiada ruang keampunan dan kerahmatan melainkan meneruskan hidup ‘menikmati’ dosa. Maka, sesiapa yang menyebabkan orang putus asa, dia amat ‘celaka’. Segala kerosakan akan berlaku akibat putus asa tersebut.

Dalam kehidupan duniawi, sesiapa putus harapan maka dia akan putus asa. Sesiapa yang putus asa sanggup melakukan apa sahaja bagi menamatkan kehidupan, atau menghidupkan harapan yang baru. Jangan hairan jika orang yang putus asa itu membunuh diri, atau meletupkan diri bersama orang lain, ataupun melakukan kerosakan yang dahsyat. Tiada apa yang hendak dibimbangkan lagi. Tiada apa yang hendak ditakutkan lagi. Itulah yang akan terjadi akibat putus harapan.

Harapan Politik

Dalam politik itulah kuncinya. Mana-mana pemerintah yang menyebabkan rakyat putus asa maka segalanya mungkin berlaku. Rakyat Arab yang melakukan ‘Arab Spring’ yang sanggup mati ataupun hancur negaranya hanyalah berpunca dari putus harapan. Walaupun kerajaan yang memerintah mereka memberitahu tentang bahaya tindakan mereka, namun apa yang hendak mereka endahkan.

Mereka sudah putus harapan. Sekurang-kurang dengan tindakan mereka yang mungkin dilihat lebih merbahaya bagi orang lain, tapi bagi mereka mungkin menghidupkan harapan baru. Bahaya atau lebih bahaya atau kurang bahaya hanyalah sama bagi sesiapa yang sudah tiada harapan.

Maka dalam pemilihan politik ataupun pilihan raya, kuncinya ‘harapan’. Jika sesuatu kerajaan menguburkan harapan rakyat, maka kerajaan itu juga akan terkubur. Jika dia dapat menghidupkan harapan, maka kerajaan itu akan terus segar dan disokong.

Maka itu sebabnya Tun Abdullah Ahmad Badawi semasa awal pemerintahannya memenangi pilihanraya dengan begitu besar dalam sejarah Umno, sebab harapan kepadanya semasa itu begitu besar. Namun, selepas beberapa tahun memerintah, harapan itu makin hancur, maka pada pilihan raya berikutnya tsunami politik pun berlaku.

Apabila Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak menjadi perdana menteri, maka beliau berusaha menghidupkan semula harapan yang makin pudar terhadap Umno. Cumanya, dalam menghidupkan harapan di sudut tertentu, kadangkala di dibunuh pula harapan yang lain atau oleh pihak yang lain. Dalam Umno sendiri ada penghidup dan pembunuh harapan.

Kemudian, perkataan ‘harapan’ itu sendiri begitu luas dan sangat relatif. Harapan rakyat setiap negara, generasi dan kumpulan itu berbeza. Kerajaan yang berjaya ialah kerajaan yang dapat menghidupkan setiap harapan ini. Parti politik yang gagal mengenali harapan rakyat, ia adalah politik yang tidak relevan untuk berkuasa atau dipilih. Kerencaman harapan itu memerlukan ketangkasan politik untuk mengenali dan berinteraksi dengannya.

Persaingan Harapan


Perbezaan harapan itu sangat penting untuk dikenali. Dalam negara seperti Malaysia yang sudah maju banyak langkah ke hadapan, harapannya bukan lagi seperti negara-negara miskin yang mengharapkan makanan dan tempat perlindungan untuk meneruskan hidup.

Bantuan wang dalam sampul, beras dalam kampit, gula dan teh yang dihulurkan oleh wakil rakyat bukan lagi menjadi harapan dalam banyak keadaan di negara seperti kita. Ramai yang sudah cukup dan melebihi cukup di sudut itu.

Harapan mereka mungkin beralih kepada hak-hak kerakyatan yang lain seperti kebebasan berpolitik, bersuara, kerajaan yang cekap dan telus, kesamarataan hak dan pelbagai lagi. Inilah kesan globalisasi. Mereka akan bandingkan diri mereka dengan tempat lain yang lebih baik.

Mereka hendakkan yang terbaik untuk mereka. Dalam era ini, jangan salah percaturan bahawa apabila rakyat cukup makan, maka mereka pun akan diam. Jika tidak, masakan negara mewah seperti Arab Saudi, Kuwait dan Bahrain juga menghadapi ancaman kebangkitan rakyat. Semuanya, kerana harapan yang lebih besar berkembang selari dengan perkembangan sesebuah negara.

Dalam negara kita, persaingannya ia persaingan siapakah yang paling dapat memberikan harapan kepada rakyat. Mungkin rakyat belum putus harapan, tetapi mereka meneliti siapakah yang paling dapat memenuhi harapan.

Dengan rekod hampir tujuh dekad memerintah, dengan pelbagai jasa dan juga isu-isu yang mencontengi jasa, apakah Umno masih menjadi harapan rakyat?

Dengan perubahan ‘harapan’ bagi generasi baru, apakah Umno masih relevan untuk generasi kini menaruh ‘harapan’?

Inilah persoalan yang mesti dijawab oleh Umno pada hari ini. Rakyat yang mengundi parti lain, bukan semestinya bencikan Umno, tapi mungkin merasakan harapan mereka berada di pihak yang lain. Rakyat yang membenci Umno pula bukan semestinya menyokong parti lain, tetapi mungkin kerana merasakan Umno telah menghancurkan harapan mereka.

Rakyat yang menghargai jasa Umno yang lalu bukan semestinya akan mengundi Umno pada masa ini kerana mungkin ‘harapan’ itu sudah berubah dalam persekitaran yang baru. Inilah yang sepatutnya perwakilan Umno kena fikirkan.

Sejauh manakah sesebuah parti dapat menangani harapan rakyat, sejauh itulah ia akan menguasai undi. Jika Umno terus berjaya, Umno akan terus menang. Jika tidak, maka sebaliknya! - malaysia kini

Nota: Ulasan ini adalah pendapat peribadi penulis/penyumbang dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin adalah felo pelawat OCIS, Oxford dan bekas mufti Perlis.

Tiada ulasan: