Jumaat, 23 Disember 2011

Karyawan filem kembalilah kepada fitrah integriti

Ameir Hamzah Hashim


Mulai tahun depan, LPF tidak lagi menapis sesebuah filem sebelum ditayangkan, demikian kenyataan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Tan Sri Mahmood Adam. Ini satu berita yang saya pasti sangat ditunggu-tunggu oleh majoriti pembikin filem tempatan.

Mungkin saat ini, ramai juga para pembikin filem yang adegan filem mereka sering ‘dicincang’ akan merasa sangat lega dan mula menarik nafas berganda. Selama ini sering kita mendengar bahawa badan penapisan filem (baca: LPF) didakwa (baca: ditohmah) sering ‘mengganggu’ kreativiti dan inovasi karya filem tempatan.

Ada benarnya keluhan tersebut jika kita menelusuri permasalahan penapisan ini yang sering kelihatan ada unsur ‘pilih kasih’ namun untuk meletakkan sepenuhnya kebertanggungjawaban kepada pihak LPF dalam satu-satu isu berbangkit mengenai filem yang dikatakan mempunyai unsur seks, tahyul, ganas atau ‘terlebih’ sosia ini, sesungguhnya menampakkan kejanggalan pemikiran kita sendiri (baca: karyawan filem).

Menghasilkan karya filem adalah satu bentuk dokumen yang turut boleh dinilai sebagai menggambarkan suasana serta corak pemikiran masyarakat semasa. Mari kita kembali ke era sebelum merdeka, akan terungkaplah kita kepada seni berbahasa melalui katabual dan intonasi percakapan para pendukung watak.

Kemudian kita ‘dijinakkan’ pula oleh Seniman Agung Negara Allahyarham Tan Sri P. Ramlee melalui penerimaan masyarakat terhadap bahasa bersahaja dalam katabual karya beliau serta penerapan nilai-nilai hidup bermasyarakat majmuk dalam negara kita. Juga diselitkan dalam karya beliau beberapa kata maki yang jika diungkapkan pada masa ini, sudah pastilah menjadi ‘taboo’ dalam masyarakat.

Seterusnya kita dibawa melayari pelbagai filem aksi, seram, lucu, percintaan mahupun filem bercorak ‘seni’ yang sukar difahami bahasanya oleh penonton tegar filem tempatan. Melalui karya filem, sesebuah masyarakat (baca: Negara) boleh dinilai tahap pemikiran serta nilai hidup semasa rakyatnya. Contonhya, bolehlah kita nilaikan pada era David Teoh ini kebanyakan rakyat Negara kita kini tidak lagi takut dengan hantu dan pontianak. Juga bolehlah secara rambang kita nilaikan masyarakat pada masa ini sudah boleh menerima nilai kehidupan tanpa nikah melalui beberapa aksi filem percintaan karya tempatan.

Ini mungkin boleh disanggah oleh pengkarya dengan menghumban kembali batu kepada penulis, “Nah! Apa guna filem kami ditapis sedang filem dari luar lebih ‘ganas’ penampilannya dan dibiarkan ‘sepi’ tanpa kritikan malah tidak di’khatan’ oleh LPF?”

Ya, benar, masyarakat menuju ke arah ketamadunan tinggi (baca: pemodenan) lalu membentuk jiwa intelektual serta nilai universal tanpa sempadan melalui kecanggihan produk IT.

Kata bijak pandai, tidak perlulah lagi kita menyekat di sini sedangkan karya dari luar tetap dapat menyerap dan terperap ke dalam pemikiran masyarakat kita tanpa lagi boleh disekat hanya sahaja melalui kehidupan dunia tanpa sempadan. “Terimalah nilai antarabangsa dalam masayarakat” kata sesetengah pihak yang lain pula. Dan ungkapan yang paling popular “masyarakat kita bukan bodoh, takkanlah tak tahu mana yang patut dicontohi dan mana yang patut ditolak” Inilah yang dinamakan ‘penapisan sendiri’ iaitu memulangkan tanggungjawab kepada para pengkarya untuk menghasilkan filem yang sesuai dengan norma kehidupan semasa rakyat Negara kita.

Maka sudah sampailah masanya kita (baca: karyawan filem) kembali kepada fitrah ‘integriti dan kebertanggungjawaban’ kepada pembentukan norma masyarakat.

Dengan bahasa mudahnya, karyawan, peganglah skrip, kamera, lampu, dan beraksilah dengan kekal mengingati tuhan dan agama sebagai panduan dalam bermain dengan kreativiti dan inovasi penceritaan. Kita mampu menjawab di hadapan kamera di sini tetapi mampukah kita menjawab persoalan ‘integriti’ di hadapan ‘kamera’ Allah kelak.

Penulis ialah Timbalan 1Persatuan Animasi Malaysia (ANIMAS)

Tiada ulasan: