KUALA LUMPUR — Pembangkang mengulangi “agenda politik kotor” untuk memenangi pilihan raya umum ke-13 melalui penyebaran fitnah dan pembohongan, dakwa Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar.
Wan Ahmad (gambar) berkata sebelum pilihan raya umum ke-12, ada pihak yang menuduh SPR bersikap tidak adil dengan menyebar fitnah dan tohmahan memburukkan imej dan kewibawaan badan itu.
Malah kata beliau, selepas mereka menang 82 kerusi Dewan Rakyat mengalahkan BN di lima Dewan Undangan Negeri, mereka terkejut dengan kemenangan melalui proses pilihan raya yang mereka tuduh kotor dan tidak adil selama ini.
“Ini kerana sistem dan proses pilihan raya yang adil yang telah memberi kemenangan besar kepada parti-parti pembangkang di negara ini. Agenda politik ‘kotor’ melalui penyebaran fitnah dan pembohongan telah menunjukkan hasil. Maka agenda yang sama perlu diulangi untuk menghadapi PRU yang akan datang.
“PRU ke-13 akan menjelma. Taktik dan strategi semasa menghadapi PRU ke-12 dan beberapa pilihan raya kecil elepasnya akan berulang,” kata beliau sambil menambah, SPR sekali lagi menjadi sasaran dan ‘punching-bag’ oleh pihak tertentu untuk meraih simpati rakyat dengan menggunakan isu pilihan raya tidak adil.
Wan Ahmad membangkitkan pandangan itu menerusi tulisan bahagian kedua, disiarkan oleh Utusan Malaysia hari ini.
Dakwa beliau, seperti yang berlaku sebelum pilihan raya umum ke-12 apabila parti politik tertentu menyertai demonstrasi jalanan menuntut pilihan raya adil, mereka telah berjaya menaikkan kemarahan rakyat dan hasil perbuatan itu memberi kemenangan besar kepada mereka.
“Pada 9 Julai 2011 mereka sekali lagi mempergunakan strategi yang sama iaitu menyertai demonstrasi jalanan menggunakan Bersih 2.0 menuntut pilihan raya adil dan berjaya mendapat liputan media antarabangsa,” katanya.
Dalam tulisannya Wan Ahmad juga membidas terdapat parti-parti politik di negara ini yang ketandusan isu untuk memikat hati rakyat dalam menghadapi PRU akan datang.
Oleh itu kata beliau, cara lain yang digunakan adalah menyebar fitnah memburukkan kepimpinan SPR supaya rakyat benci dan simpati.
“SPR dijadikan ‘kambing hitam’ dalam memperjuangkan cita-cita mereka,” kata beliau.
Katanya, parti-parti politik di mana jua akan melakukan apa sahaja untuk mencari kemenangan dalam pilihan raya, tetapi yang ketara berlaku di negara ini adalah perbuatan fitnah dan pembohongan yang menjadi perkara wajib dalam usaha mencari sokongan.
“Tidak cukup dengan kecaman terhadap parti lawan, SPR turut dijadikan sasaran kecaman dan fitnah. Mereka membuat kesimpulan atas sesuatu isu yang berbangkit semata-mata berasaskan andaian dan tuduhan yang tidak terbukti di mahkamah,” kata Wan Ahmad lagi.
Beliau seterusnya menulis, melalui ceramah dan tulisan, tanpa rasa berdosa SPR dikecam semata-mata kerana buruk sangka terhadap agensi pengendali pilihan itu.
“Kebencian rakyat terhadap SPR dan pilihan raya diharapkan menjadi undi simpati yang memihak kepada mereka dalam pilihan raya akan datang,” katanya lagi.
Sebagaimana semalam, Wan Ahmad juga mempertahankan bahawa sistem pilihan raya negara ini bebas dan adil.
“Rakyat perlu sedar bahawa di negara ini golongan yang menuduh pilihan raya tidak adil terdiri daripada mereka yang telah menang dalam pilihan raya.
“Mungkinkah mereka menang jika pilihan raya dijalankan secara tidak bebas dan tidak adil?, atau jika proses pengundian atau pengiraan undi tidak dilakukan dengan telus dan bersih?” katanya lagi.
Tegas beliau, parti-parti politik tidak perlu menganggap SPR sebagai musuh dengan menabur fitnah dan kecaman yang tidak dapat dibuktikan.
“Dalam pilihan raya demokratik yang penting adalah proses pemilihannya bebas, telus dan adil. Siapa yang layak boleh bertanding dan calon yang dipilih rakyat akan menang dalam pertandingan. Parti yang mendapat jumlah kerusi majoriti akan menubuh kerajaan,” ujar beliau.
Katanya, permainan politik memerlukan kepintaran ahli-ahli dan parti-parti politik memainkan isu untuk mewujudkan persepsi bagi mempengaruhi pemikiran rakyat.
Malah kata beliau, di negara ini ada pihak-pihak yang pintar dalam bidang berkenaan dan “mereka mengaburi mata rakyat dengan menuduh pilihan raya tidak adil, tidak telus dan kotor. Pelbagai alasan diberi apabila mereka kalah.”
“Mereka tidak dapat menerima kemenangan orang lain. SPR yang menjalankan pilihan raya secara adil dan saksama yang telah memberi kemenangan kepada mereka, turut menjadi sasaran kecaman dan fitnah,” tulis beliau lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan