Jumaat, 12 Ogos 2011

Keluarga tiga remaja ditembak polis buat aduan ketiga, desak siasatan baru


PETALING JAYA — Keluarga tiga remaja, yang ditembak mati oleh polis dalam di Glenmarie dekat Shah Alam November lalu, hari ini membuat satu lagi laporan polis sambil menegaskan kesemua anak mereka ditembak mati oleh pasukan keselamatan itu.

Mereka menegaskan pendirian itu berdasarkan laporan bedah siasat yang diterima baru-baru ini.

Laporan polis dibuat hari ini merupakan yang ketiga sejak insiden itu November lalu.

Terbaru laporan bedah siasat yang melibatkan Muhamad Hanafi Omar menunjukkan remaja berusia 22 tahun itu ditembak tiga kali — satu di pipi, di bawah cuping teling dan dada.

Sebelum ini laporan bedah siasat dua lagi remaja, Mohd Shamil Hafiz Shafie, 16, dan Mohd Khairul Nizam Tuah juga menerima tembakan di kepala dan dada.

Dalam kejadian pada 13 November lalu, kesemua mereka mati di tempat kejadian, namun polis menegaskan ketiga-tiga remaja itu ditembak kerana cuba menyerang dengan parang.

Dalam laporan polis dibuat hari ini, ketiga-tiga keluarga itu mahu polis membuka semula kertas siasatan dan mendakwa kesemua pegawai yang terlibat dalam kes tersebut.

“Laporan-laporan bedah siasat ini menunjukkan bahawa peluru telah memasuki badan mangsa pada sudut 45 darjah ke belakang, kami percaya ini adalah kerana mereka ditembak oleh penembak yang berada di kedudukan atas mereka iaitu mereka mungkin dipaksa melutut sebelum ditembak mati.

“Soalnya juga kenapa perlu dua das tembakan ke kepala dan dada jika tujuannya kononnya hanya untuk menghalang mereka daripada menyerang polis, kesemua mereka menerima dua tembakan kecuali Hanafi (tiga tembakan),” kata mereka.

Justeru mereka mendakwa polis cuba menutup penyalahgunaan kuasa oleh pegawai mereka dengan mengatakan kesemua remaja itu cuba menyerang dengan parang dan terpaksa dihalang dengan tembakan.

“Kami menuntut supaya satu penyiasatan dimulakan segera ke atas anggota-anggota polis yang terlibat atas kesalahan membunuh.

“Kami juga mahu pegawai atasan yang mengeluarkan kenyataan berhubung kes ini disiasat kerana memberikan maklumat palsu, kami menuntut keadilan atas kematian anak-anak kami,” katanya.

Hari ini keluarga ketiga-tiga remaja itu diwakili oleh Hamidah Kadar, 51, iaitu ibu Mohd Khairul Nizam, Norhafizah Mad Razali, 37, yang merupakan ibu Mohd Shamil dan bapa Mohamad Hanafi, Omar Abu Bakar, 58.

Ketiga-tiga remaja itu mati ditembak polis di Jalan Kerjaya Glenmarie kira-kira pukul 4.15 pagi selepas menyamun sebuah stesen minyak 13 Disember lalu.

Menurut laporan media sebelum ini ketiga-tiga remaja ini disyaki sebagai ahli Geng Minyak dan mati ditembak kira-kira dua kilometer dari lokasi kejadian.

Sementara itu Peguam hak asasi N. Surendran yang mewakili Lawyers For Liberty menegaskan, laporan bedah siasat terbaru yang diterima beberapa hari lalu menunjukkan ia bercanggah dengan maklumat polis.

“Kami telah menerima laporan bedah siasat Muhamad Hanafi dan ia jelas menunjukkan kesemua mereka telah ditembak dalam jarak dekat.

“Mohd Shamil ditembak di tengah-tengah dahi dan dada, (Mohd) Hairul Nizam di tepi kepala dan dada, dan Mohamad Hanafi menerima dua tembakan di kepala iaitu di sisi pipi dan di bawah cuping telinga selain turut ditembak di dada,” katanya pada sidang media di Ibu pejabat Polis Daerah Petaling Jaya di sini.

Tegas Naib Presiden PKR ini, laporan bedah siasat secara jelas membuktikan kesemua remaja itu ditembak dengan tujuan “membunuh.”

“Jika polis nak hentikan (serangan) mengapa tidak tembak di tangan atau kaki? Mengapa mesti di kepala dan dada?

“Tembakan ini bukan bertujuan untuk menghentikan (serangan) tapi bertujuan untuk membunuh,” katanya.

Seorang lagi Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar berkata, beliau mahu Putrajaya memberikan penjelasan berhubung kes tembakan tiga remaja itu .

Nurul Izzah, yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai mahu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein memberikan penjelasan berhubung peningkatan kes tembakan mati yang melibatkan polis.

“Sudah tentu kita akan bawa perkara ini Parlimen tapi terlebih dahulu kita mahu penjelasan perdana menteri, menteri dalam negeri dan ketua polis negara dalam isu ini,” kata Nurul Izzah.

Tiada ulasan: