Rabu, 24 Ogos 2011

‘Rumah terapung’ bak cendawan tumbuh di musim hujan

Operasi penyelarasan akan dilakukan bagi mengatasi masalah kewujudan 'rumah terapung' itu terutamanya yang melibatkan kawasan tadahan air berdekatan Empangan Hidroelektrik Bakun.



KUCHING: Masalah pertambahan bilangan ‘rumah terapung’ di sekitar kawasan Empangan Hidroelektrik Bakun dikhuatiri akan ‘mencacatkan’ rancangan Kerajaan Negeri untuk meningkatkan reputasinya sebagai sebuah pusat pelancongan selain dikenali umum sebagai sumber penjanaan bekalan elektrik di negeri ini.

Menteri Perancangan dan Pengurusan Sumber II Datuk Amar Haji Awang Tengah Ali Hasan berkata kementeriannya akan mengarahkan

Jawatankuasa Penakungan dan Keselamatan Empangan Bakun untuk menyelaraskan operasi bagi mengatasi masalah kewujudan ‘rumah terapung’ itu terutamanya yang melibatkan kawasan tadahan air berdekatan.

Menurut beliau, pendekatan seumpamanya perlu dilakukan dalam masa terdekat ini sebagai langkah pencegahan awal daripada berlakunya peningkatan bilangan ‘rumah terapung’ di lokasi terbabit kerana dikhuatiri akan mengancam keselamatan para penghuninya selain kemungkinan menjejaskan kualiti air tasik tersebut.

“Justeru Kerajaan Negeri akan mengarahkan Jawatankuasa Penakungan dan Keselamatan Empangan Bakun untuk melakukan penyelarasan sebagai langkah awal kita menyelesaikan perkara yang kita khuatiri akan mencetuskan perkara yang tidak baik berlaku.

“Ini kerana kita tidak mahu mencacatkan permandangan empangan Bakun ini dengan suasana atau keadaan yang kurang menyenangkan kerana kita juga merancang untuk mengangkat reputasinya sebagai sebuah pusat pelancongan pilihan pelancong selain daripada menjana kuasa elektrik,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai isu pembalakan haram yang turut berlaku di sekitar empangan Bakun itu, Awang Tengah menegaskan ‘Sarawak Forestry Corporation’ (SFC) telah menyita kira-kira 500 batang kayu balak dan sebuah kilang kayu bergergaji yang beroperasi secara haram di situ.

Katanya, kejayaan berkenaan adalah hasil daripada operasi penguatkuasaan secara besar-besaran yang dilakukan sekitar April dan Jun lalu.

“Sehubungan itu, kita amat berharap kerjasama daripada penduduk setempat untuk membuat laporan sekiranya wujudnya pembalakan haram di kawasan penempatan mereka.

“Langkah ini penting agar operasi penguatkuasaan dapat dijalankan dengan pantas dalam usaha kita meminimumkan dan mencegah akvititi seumpamanya,” katanya.

Tiada ulasan: