Rabu, 24 Ogos 2011

Dakwaan gangguan seks: Editor kanan TV3 disiasat

MALAYSIA KINI


Seorang editor kanan TV3 kini dalam siasatan syarikat itu atas dakwaan melakukan gangguan seksual terhadap empat wartawan termasuk seorang pembaca berita.

Editor berkenaan bagaimanapun dibenarkan terus bertugas seperti biasa, manakala seorang petugas itu yang enggan lagi bertugas di bawah editor berkenaan meminta dipindahkan ke NTV7 bulan lalu.

azlanMemetik sumber yang rapat dengan kes itu, TV Selangor berkata Jabatan Sumber Manusia Media Prima Berhad telah memulakan siasatan rasmi selepas pihak pengurusan memberikan persetujuannya baru-baru ini.

Media Prima adalah syarikat yang memiliki TV3, NTV7, TV9 dan TV8 selain memegang kepentingan dalam stesen radio serta Kumpulan New Straits Times.

Empat orang yang mendakwa diri mereka mangsa ganggual seksual itu tampil baru- baru ini memberi kenyataan kepada pihak pengurusan.

Antara lain, mereka mengemukakan mesej sistem pesanan ringkas (SMS) berunsur lucah yang dihantar oleh editor berkenaan sebagai menyokong dakwaan gangguan seksual yang dialami mereka sejak beberapa bulan itu.

Menurut sumber berkenaan lagi yang dipetik oleh TV Selangor, editor tersebut menggunakan pangkat dan jawatannya untuk “menggoda” mereka secara licik.

“Siasatan dijangka siap tidak lama lagi dan terpulang kepada majikan untuk mengambil tindakan susulan,” tambah sumber itu.

Katanya lagi, siasatan bermula selepas sepucuk e-mail yang ditulis oleh seorang mangsa yang menggelar dirinya 'Coco Girl' membuat pelbagai dakwaan terhadap editor berkenaan. Salinan e-mel itu juga dihantar kepada Pejabat Perdana Menteri.

Menurut sumber lagi, beberapa kakitangan dikatakan kecewa kerana editor berkenaan masih dibenarkan menjalankan tugas seperti biasa. Beliau juga dibenarkan berinteraksi dengan wartawan di bawahnya sungguhpun mengadapi siasatan rasmi syarikat atas tuduhan melakukan gangguan seksual.

“Kes ini memberi kesan kepada moral kakitangan yang mahu syarikat mengambil tindakan segera dan adil supaya ia tidak menjejaskan nama baik TV3 dalam apa cara sekali pun,” kata sumber itu.

Tiada ulasan: