Isnin, 25 Julai 2011

RM800,000 dinar dan dirham di kelcheff 2011

Muhammad Yusri Amin

KOTA BHARU: Sebanyak RM800,000 nilai dinar dan dirham diurusniaga sepanjang Festival Makanan Antarabangsa Cheng Ho Kelantan (KelCheff) 2011 di pekarangan Bazar Tok Guru di Jalan Sultan Ibrahim di sini.

(Peserta dari China menerima cenderahati di majlis penutup dari Haji Zulkifli Mamat)

Lebih 50,000 pengunjung pula datang menjayakan festival tersebut sejak dimulakan 14 Julai yang lalu dan memperkenalkan Bazar Tok Guru yang cuba diburuk-burukkan oleh Umno.

“Ini satu jumlah yang cukup besar dan ianya merupakan satu kejayaan kepada Kerajaan Negeri untuk mengingatkan semula serta mengembalikan amalan tersebut bagi kegunaan rakyat setempat dan juga penduduk Malaysia secara amnya,’ kata Zulkifli Mamat, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan, Perdagangan dan Perpaduan Masyarakat Negeri Kelantan.

Turut menjayakan festival makanan antarabangsa itu adalah peserta-peserta dari luar khususnya daripada negara China, Thailand, Kemboja, Palestin dan Iran.

Selain itu kejayaan turut dikongsi peserta-peserta daripada kerajaan negeri khususnya negeri Pulau Pinang.

Menurut Zulkifli yang juga Setiausaha Badan Perhubungan PAS Kelantan, Kerajaan Negeri tidak menghadapi masalah dalam memenuhi tuntutan dan kehendak rakyat sejak mengambil alih pemerintahan negeri 21 tahun yang lalu.

Beliau berkata sepanjang tempoh 21 tahun kerajaan negeri dengan dasarnya Membangun Bersama Islam di bawah kepimpinan Menteri Besar Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyediakan ‘alternatif’ kepada permasalahan yang timbul.

“Khususnya berkaitan dengan hukum hakam agar ianya sesuai dengan kehendak agama,” katanya.

Beliau berkata, pada sepanjang festival makanan antarabgnsa ini, Kerajaan Negeri memperkenalkan dinar dan dirham yang merupakan mata wang yang telah lama digunakan dalam Islam dan hampir pupus.


“Alhamdulillah, hasil daripada kejayaan Kerajaan Negeri memperkenalkan mata wang syariah tersebut sekaligus boleh mengajak rakyat untuk melabur," katanya.

Tiada ulasan: