KUALA LUMPUR – Cadangan kerajaan untuk memperkenalkan sistem biometrik bagi pilihan raya akan datang membuktikan kenyataan Pakatan Rakyat selama ini memang benar dan betul bahawa memang wujud pengundi hantu serta amalan jahat mengundi berulang kali.
Menurut Sekretariat Pakatan Rakyat, langkah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) itu yang bertujuan mengatasi masalah pengundi hantu dan pengundian berulang kali juga membuktikan suara rakyat melalui perhimpunan aman Bersih 2.0 terpaksa diterima oleh kerajaan Barisan Nasional.
“Kita wajar mengucapkan tahniah kepada ratusan ribu rakyat Malaysia yang menyertai kempen Bersih 2.0 dan turun ke perhimpunan aman pada 9 Julai 2011 baru-baru ini.
“Tanpa kesabaran dan keberanian mereka, SPR dan Barisan Nasional akan terus menafikan bahawa penipuan-penipuan ini wujud,” kata sekretariat berkenaan melalui satu kenyataan hari ini.
Kenyataan itu dikeluarkan bagi pihak sekretariat oleh Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS Dr Mohd Hatta Rami; Setiausaha Hal-Ehwal Antarabangsa DAP Liew Chin Tong dan Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli.
Bagaimanapun, Sekretariat Pakatan Rakyat tidak yakin dengan kemampuan sistem biometrik untuk menyelesaikan pelbagai penipuan yang berlaku selama ini di samping kosnya yang menelan belanja ratusan juta ringgit yang akan membebankan rakyat.
“Mereka yang biasa dengan pelaksanaan sistem biometrik dan sistem komputer yang melibatkan seluruh negara dan jutaan rakyat Malaysia tahu bahawa sistem sebegini akan berhadapan dengan pelbagai masalah teknikal dan risiko keselamatan sistem.
“Maka tidak hairanlah SPR tidak boleh memberi komitmen sama ada ia boleh dilaksanakan menjelang PRU13; kerana mereka sendiri sedar ia akan mengambil masa yang lama untuk dilaksanakan,” kata kenyataan itu.
Lebih penting lagi, menurut para pemimpin Pakatan berkenaan, adalah ketidakupayaan sistem biometrik menghalang pengundi hantu dan pengundi berulang kali kerana asasnya sudah salah – iaitu setiap yang mempunyai kad pengenalan adalah pengundi yang sah.
Jika kad pengenalan sahaja menjadi asas, ia akan membolehkan ramai pendatang asing yang diberikan kad pengenalan mengundi dalam PRU13.
Justeru, para pemimpin Pakatan tersebut mempersoalkan kewarasan dan kebijaksanaan cadangan itu kerana sudah ada penyelesaian yang lebih baik melalui penggunaan dakwat kekal yang lebih mudah, murah dan berkesan.
“Bukan sahaja sistem biometrik mahal dan memakan masa untuk dilaksanakan, kita juga khuatir ia akan melambatkan proses membuang undi pada hari pengundian yang akan mengurangkan kecenderungan pengundi keluar mengundi,” kata mereka.
Menurut kenyataan itu juga, sistem biometrik bakal menghapuskan proses timbang tara (melalui penyertaan ejen mengundi/polling agent dan ejen pengiraan/counting agent dalam proses membuang undi) sedia ada.
Apabila tanggungjawab dan kuasa (sekarang ini di tangan ejen mengundi dan ejen pengiraan) untuk menyemak pengundi dan memastikan proses pengiraan adalah adil dipindahkan sepenuhnya kepada sebuah sistem komputer, parti-parti politik tidak ada peluang untuk memeriksa, menyemak dan memainkan peranan dalam proses pembuangan dan pengiraan undi, tambah kenyataan itu.
“Kewujudan peluang ini sebagai proses timbang tara adalah ciri-ciri utama sebuah pilihan raya yang bersih dan adil.
“Makanya, sebarang langkah yang berhasrat untuk menghapuskan penglibatan parti-parti politik sebagai timbang tara adalah bertentangan dengan kehendak rakyat yang disuarakan melalui Bersih 2.0,” kata para pemimpin Pakatan berkenaan.
Dengan itu, mereka mendesak SPR supaya kembali kepada 8 tuntutan yang disuarakan melalui Bersih 2.0 terutamanya penggunaan dakwat kekal kerana langkah itu adalah berkesan, murah, serta memberdayakan peranan parti-parti politik dan digunakan secara meluas di seluruh dunia.
Sistem pilihan raya di negara ini memerlukan reformasi keseluruhan, bukannya pindaan-pindaan kecil yang akan menelan belanja ratusan juta tetapi menimbulkan pelbagai masalah baru yang menyemarakkan kemarahan rakyat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan