WASHINGTON: Tindakan kerajaan Malaysia termasuk mahkamah menyekat penyebaran kartun Zunar atau Zulkiflee Anwar Ulhaque mendapat bantahan dari peringkat antarabangsa apabila Cartoonists Rights Network International (CRNI) menggesa kebebasan bersuara dihormati.
"Manakala karya-karya Zunar begitu mempengaruhi pemikiran publik, tidak ada bukti bahawa ia boleh dan akan menggangu ketenteraman awam," tegas Dr Robert Russell, Pengarah CRNI.
Dengan penghakiman mahkamah baru-baru ini, kata Russel, mahkamah turut meminggirkan hak kebebasan bersuara yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persektuan Malaysia. Menurut Russell, pihaknya telah meneliti dan menyemak kandungan kedua-dua buku yang diharamkan itu, "Perak Darul Kartun" serta "1 Funny Malaysia" dan mendapati semua kartun-kartun dalam buku ini menepati standard antarabangsa untuk kartun editorial.
CRNI begitu bimbang, dengan keputusan ini, mahkamah memberi lesen kepada kerajaan untuk bertindak lebih keras terhadap Zunar dan kartunis-kartunis editorial.
Dalam jangka masa panjang, katanya, kekangan terhadap kebebasan bersuara adalah lebih mengancam ketenteraman awam berbanding karya seorang kartunis yang mendidik publik.
"CRNI menggesa Malaysia dan mahkamah Malaysia menghormati kebebasan bersuara kepada semua rakyat Malaysia dan mengkaji semula keputusan mahkamah pada 14 Julai lepas," kata Russell dalam kenyataannya yang dikeluarkan di Kuala Lumpur.
CRNI adalah sebuah NGO yang memperjuangkan hak asasi dan kebebasan bersuara bagi kartunis. CRNI mengawasi dan melindungi kartunis-kartunis editorial di seluruh dunia yang menghadapi tekanan kerana ketajaman karya-karya mereka.
Untuk 10 tahun kebelakangan ini, kerajaan Malaysia telah mengenakan sekatan dan kekangan terhadap kartunis popular di Kuala Lumpur: Zulkiflee Anwar Ulhaque, atau lebih dikenali sebagai “Zunar”
Sejak dua tahun lalu, kekangan menjadi lebih keras: Zunar telah ditahan dan ditangkap, pejabatnya diserbu, buku-buku kartunnya dirampas, kilang yang mencetak buku-bukunya diserbu dan diberi amaran.
Baru-baru ini Zunar mencabar kerajaan ke mahkamah kerana mengharamkan buku-buku kartun beliau, "Perak Darul Kartun" dan "1 Funny Malaysia" pada tahun lepas. Pada 14 Julai 2011 Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak rayuannya dan mengekalkan keputusan kerajaan mengharamkan buku-buku tersebut.
"Perak Darul Kartun" and "1 Funny Malaysia" yang menampilkan lebih dari 150 kartun-kartun politik diharamkan oleh kerajaan pada Jun 2010 mengikut Seksyen 7 Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.
Menurut Russell (gambar), tanpa menjelaskan lebih lanjut, hakim bersetuju dengan alasan kerajaan bahawa kartun-kartun dalam buku tersebut "tak sesuai untuk bacaan umum dan mengancam ketenteraman awam."
"Tidak ada yang lebih benar dari kebenaran. Kedua-dua buku ini memfokus kepada isu-isu penting yang menjadi perhatian orang ramai seperti konspirasi terhadap Anwar Ibrahim, pembunuhan Altantuya Shaariibuu dan skandal kapal selam," kata Russel dalam kenyataannyn membela Zunar.
CRNI meneliti keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Rohana Yusof yang bersetuju dengan alasan kerajaan bahawa kartun-kartun tersebut akan menyebabkan ketenteraman awam terancam. |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan