Jumaat, 29 Julai 2011

PRU 13: SPR Setuju Tetapkan Tempoh Berkempen Lebih Panjang

Ditulis oleh Hadri Yaziz


PETALING JAYA : Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini berjanji menetapkan tempoh lebih dari seminggu sebagai jangka waktu berkempen untuk pilihanraya umum ke 13 ekoran desakan Bersih 2.0 dan Pakatan Rakyat.

“Kita akan menetapkan tempoh kempen yang sesuai untuk kepuasan hati semua orang. Itu tidak ada masalah. Jangan anggap kempen (adalah untuk) 7-8 hari. Itu perkara sejarah,” kata Timbalan Pengerusi SPR Datuk Wan Ahmad Wan Omar.

Wan Ahmad berkata pihaknya bagaimanapun tidak dapat memenuhi tuntuan supaya jangka masa berkempen ditetapkan selama 21 hari kerana menurut beliau, polis tidak memberi kerjasama.

"Polis tidak dapat bekerjasama selama 24 jam (untuk 21 hari) kerana ianya tempoh yang lama," ujar beliau di forum Persatuan Promosi Hak Asasi Manusia (PROHAM) di sini petang tadi.

Jangka masa kempen pada PRU sebelum ini adalah antara seminggu hingga sembilan hari yang disifatkan parti pembangkang sebagai tidak memadai.

Sebelum bersetuju menetapkan tempoh kempen yang lebih lama, Wan Ahmad mendakwa tidak ada keperluan mengadakan tempoh berkempen panjang kerana parti politik yang bertanding sudah pun dikenali pengundi.

Gabungan Bersih 2.0 dan Pakatan Rakyat lantang mendesak SPR menetapkan tempoh berkempen 21 hari untuk membolehkan mesej parti-parti politik sampai ke akar umbi.

Keperluan itu amat penting khususnya di Sabah dan Sarawak yang mempunyai kekangan lojistik serta kepadatan penduduk tinggi di kawasan pendalaman.

Pada wacana hari ini, Pengerusi Bersih Ambiga Sreenevasan menolak alasan yang diberikan oleh Wan Ahmad.

"Tempoh (kempen) 21 hari boleh diguna untuk pastikan rakyat dapat maklumat, khususnya mengenai calon. Ya, pengundi boleh tahu semua mengenai parti tersebut tapi (apabila) tempoh pendek ia tidak cukup untuk mengenali calon,” tegas beliau.

Sepanjang wawacana bersama Ambiga dan wakil Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Asean, Datuk Muhammad Mohd Shafee Abdullah itu, Wan Ahmad sekali lagi meletakkan segala keresahan rakyat terhadap ketelusan pilihanraya kepada kuasa-kuasa terhad yang diberikan kepada SPR.

Katanya SPR hanya sebagai sebuah badan yang mengendalikan pilihan raya selain memantau poster yang dinaikkan oleh parti-parti yang bertanding.

Keberkesanan SPR bergantung sepenuhnya terhadap sejauh mana pejabat Peguam Negara dan Parlimen mencadang dan meluluskan pindaan undang-undang yang ada sekarang, jelas beliau.

"Ianya amat susah untuk puaskan hati semua orang bila anda berada di tengah-tengah," kata beliau.

Seperti wacana Selasa lalu, Wan Ahmad menegaskan pihaknya tidak mempunyai kuasa-kuasa penguatkuasaan dan ia hanya sebuah badan yang menguruskan pilihan raya.

Justeru beliau berkata aduan-aduan mengenai pembelian undi, sogokan dan rasuah politik semasa kempen pilihanraya harus dirujuk kepada SPRM dan bukan pihaknya.

"Tidak pernah SPR ambil tindakan orang yang rasuah dalam pilihan raya ke mahkamah. SPRM ada (kuasa) untuk mendakwa," ujar beliau lagi.

Ambiga menggesa SPR untuk bangkit mempertahankan kewibawaannya sebagai sebuah badan yang bebas dari pengaruh mana-mana pihak, baik kerajaan atau pembangkang.

Beliau mahukan SPR menguatkuasakan Perkara 115(2) Akta Pilihan Raya 1958 SPR.

Ia memberikan SPR kuasa untuk melantik pasukan penguatkuasa untuk bertindak terhadap pihak yang mengamalkan rasuah dan kesalahan lain semasa PRU.

"Akta Pilihan Raya beri kuasa kepada SPR kerana ia menyebut pasukan penguatkuasa SPR berhak 'memastikan undang-undang bertulis diikuti pihak terlibat,' kata beliau.

“Jadi mereka berhak memanggil pihak berkuasa terlibat untuk membantu mereka jika mereka lihat aktiviti yang menyalahi akta itu. Mereka lihat dan mereka boleh lapor kepada polis atau sesiapa,” tambah Ambiga.

Tiada ulasan: