Khamis, 28 Julai 2011

Bukan Lagi Mustahil Tawan Putrajaya-Kit Siang

TVS NEWS


KUALA LUMPUR : Setelah menempuhi liku sepanjang kariernya sebagai ahli politik pembangkang, Penasihat DAP, Lim Kit Siang hari ini berani menyatakan bahawa gagasan itu kini berada di kemuncaknya dan berada di Putrajaya bukan lagi satu perkara mustahil.

"... saya akan katakan buat pertama kali, mengambil-alih kuasa kerajaan pusat, bukan lagi mustahil, ia boleh dicapai,” katanya dalam wawancara eksklusif bersama Malaysiakini.

Menurut Kit Siang, himpunan rakyat pada 9 Julai lalu menunjukkan bukti jelas bahawa rakyat mahukan perubahan ditambah pula dengan kepincangan dalam pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

"Nampaknya PM dan kerajaan sekarang gagal melihat dan menyelami kehendak rakyat... Makin hari mereka makin terpisah, (kerajaan pula) mengambil tindakan yang memutuskan mereka daripada sokongan akar umbi.

"Boleh kita capainya (mengubah kerajaan)? Saya benar-benar tidak tahu tetapi dengan setiap detik masa yang berlalu, saya bertambah lebih optimistik. Sama ada mampu bagi kami melaksanakannya, adalah soalan yang berasingan tetapi (kita) menjadi lebih optimistik,” kata Kit Siang.

Kit Siang merupakan seorang tokoh terkenal yang menghabiskan sebahagian besar hidupnya memperjuangkan apa yang dipercayainya sebagai pemimpin pembangkang.

Karier beliau bermula sebagai setiausaha agung DAP pada 1969, ketika ketegangan kaum memuncak semasa peristiwa berdarah 13 Mei yang menyaksikan beliau ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Kali kedua beliau ditahan mengikut ISA adalah semasa Ops Lalang pada 1987.

Perjalanan dunia politik Kit Siang sebenarnya penuh berliku. Beliau juga didapati bersalah membocorkan rahsia rasmi kerajaan berhubung perjanjian pembelian senjata yang mencurigakan dengan sebuah firma Swistzerland.

Bagaimanapun sepanjang 70 tahun kehidupannya itu, Lim berpendapat pembangkang telah sampai kepada kemuncaknya dan perubahaan bukan satu lagi impian seperti sebelum ini.

Tiada ulasan: