Jumaat, 29 Julai 2011

Pemuda PAS buat laporan polis pertikai daftar pemilih di setiap negeri esok

THE MALAYSIAN INSIDER

KUALA LUMPUR — Jabatan Pilihan Raya Dewan Pemuda PAS menegaskan tidak akan berkompromi, sebaliknya akan mengambil tindakan tegas ke atas pihak-pihak yang cuba untuk meneruskan agenda ‘kotor’ dalam melakukan penipuan bagi merosakkan sistem pilihan raya di Malaysia.

Justeru, Dewan Pemuda PAS telah membuat laporan polis terhadap pemilih yang mempunyai dua pengenalan diri dalam daftar pemilih induk Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), kelmarin.

Sayap muda PAS itu akan membuat laporan polis serentak esok di setiap negeri bagi menunjukkan keseriusan pihaknya dalam menangani isu pemilih yang boleh mengundi di dua, tiga dan banyak tempat mengundi hasil dari kerja ‘silap mata’ pihak yang tidak bertanggungjawab.

“Pihak SPR juga telah mengakui secara terbuka bahawa masih terdapat ‘pengundi klon atau hantu’ yang belum dibersihkan dalam daftar pemilih,” kata Pengarah Jabatan Pilihan Raya Pemuda PAS pusat Mohd Sany Hamzan dalam satu kenyataan hari ini.

Kata beliau, Jabatan Pilihan Raya Pemuda PAS memandang serius terhadap perkara ini dan telah mengarahkan setiap Dewan Pemuda PAS negeri melakukan pemeriksaan terhadap daftar pemilih induk di negeri masing-masing.

Sany berkata Jabatan Pilihan Raya Dewan Pemuda PAS juga akan meneruskan siri-siri penerangan dan pendedahan terhadap penipuan dan penyelewengan sistem pilihan raya dalam negara.

Sehubungan itu kata beliau, jabatan tersebut akan menganjurkan satu program perbincangan dan pendedahan ilmiah berkaitan isu-isu penipuan pilihan raya dengan menjemput pihak-pihak yang pakar mengenai pilihan raya selain pihak yang berkaitan langsung dengan sistem pilihan raya Khamis depan.

“Program akan dilaksanakan di hotel De Palma Ampang bermula pukul 9.30 pagi hingga 12.30 tengah hari. Pelbagai institusi yang berkaitan langsung dan tidak langsung dengan pilihan raya, pihak NGO, parti-parti politik dan orang perseorangan akan dijemput untuk mengambil bahagian,” katanya.

Tiada ulasan: