MALAYSIA KINI
Ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata sikap tidak konsisten dan dolak dalik kerajaan berhubung tahanan enam anggota Parti Sosialis Malaysia (PSM) mengikut Ordinan Darurat adalah alasan utama bagi membebaskan mereka.“Ternyata itu merupakan helah pemerintah untuk memburuk burukkan BERSIH 2.0. semata-mata,” kata Anwar.
Keenam-enam mereka adalah ahli parlimen Sungai Siput, Dr Michael Jeyakumar, M Sarasvathy, Choo Chon Kai, M Sugumaran, A Letchumanan dan R Saras Babu yang ditahan mengikut EO sejak 2 Julai lalu.
Mereka yang kini dikenali sebagai PSM6 - pada mulanya ditahan bersama 24 orang lain atas dakwaan mahu 'melancarkan perang terhadap Agong', tetapi pada jawapan balas permohonan afidavit habeas corpus berhubung pembebasan mereka, polis mendakwa mereka sebagai penggerak utama BERSIH 2.0.
Sambil menuntut pembebasan segera keenam-enam individu yang dipercayainya mangsa “manipulasi politik”, Anwar berkata perkara itu penting kerana ada kemungkinannya mereka yang ditahan itu dikasari pihak polis semasa disoal siasat.Manipulasi politik
“Kita prihatin dengan perkembangan mutakhir ini, apabila ada antara mereka yang kini mendapatkan rawatan di hospital namun tidak dibenarkan bertemu hatta dengan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam).
“Adalah tidak munasabah buat polis tidak membenarkan pihak keluarga bertemu dengan enam pemimpin itu semenjak dari 15hb Julai lagi.
Sehubungan itu, Anwar berkata sewajarnya Menteri Dalam Negeri prihatin dengan gesaan rakyat yang kini menuntut kerajaan supaya tidak bertindak sewenang wenangnya dan menyalahguna kuasa.
“Ketika perhimpunan BERSIH 2.0 itu rakyat menyaksikan ada sesegelintir dari pihak polis bertindak keterlaluan dan melampaui batas.
“Kita tidak mahu tugas pasukan polis, iaitu untuk melindungi keselamatan orang awam terjejas akibat manipulasi politik pemerintah,” katanya.
“Undang-undang usang yang menindas itu, tidak lagi untuk melindungi keselamatan negara, bahkan sebaliknya dimanipulasi demi membungkam suara-suara yang tidak sependapat dengan pemerintah,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan