Khamis, 28 Julai 2011

Judi: Pemuda PAS serah memo pada MB Kelantan

Harakahdaily


KUALA LUMPUR: Selepas menyerahkan memorandum kepada Menteri Besar Kedah kelmarin, Dewan Pemuda PAS Pusat semalam turut menyerahkan memorandum serupa kepada Menteri Besar Kelantan pula.

Memorandum itu sebagai sokongan terhadap kerajaan Kelantan dibawah pimpinan Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang telah mengharamkan aktiviti perjudian serta loteri di negeri itu.

Penyerahan dibuat Pengerusi Lajnah Pengguna dan Alam Sekitar Dewan Pemuda PAS Pusat, Firdaus Jaafar yang juga ahli parlimen Jerai kepada Tuan Guru sendiri di pejabat menteri besar.

Turut serta pada penyerahan itu wakil dewan pemuda PAS Kelantan Ahmad Baihaqi Atiqullah dan Hafiz Musa.

Memerandum itu antara lain mahu kerajaan negeri mempertahankan keputusan serta pendirian yang telah dibuat mereka biarpun berdepan saman oleh tiga individu dari masyarakat Tionghua.

"Dewan Pemuda PAS Pusat mengharapkan tiga individu ini diberi penjelasan yang secukupnya mengapa judi diharamkan di Kelantan.

"Kita percaya, kerajaan Umno BN yang memerintah lebih 50 tahun di negara ini gagal memberikan maklumat serta dakwah yang secukupnya agar masyarakat bukan Islam mengerti mengapa judi diharamkan," kata Firdaus di dalam memorandum itu.

Kerajaan Kelantan sebelum ini mengumumkan semua aktiviti perjudian serta loteri di negeri itu diharamkan kerana meyakini ianya lebih memberi keburukan kepada institusi masyarakat berbanding kebaikan.

Bagaimanapun dua ahli perniagaan dan seorang individu dari negeri itu mengemukakan saman terhadap kerajaan negeri dan Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB), menuntut perisytiharan bahawa kerajaan negeri tiada bidang kuasa menggubal atau meluluskan undang-undang berkaitan perjudian dan loteri.

Sehubungan itu, Dewan Pemuda PAS mahu kerajaan negeri bertegas dan tidak berganjak dengan keputusan asal mereka walaupun berdepan saman tersebut.

"Negeri Kelantan di bawah YAB Tuan Guru Datuk menjadi contoh kepada kerajaan persekutuan serta mana-mana kerajaan negeri yang lain bahawa PAS amat berpegang pada prinsip Islam dan tidak akan berkompromi di atas apa juga kemungkaran yang dilakukan.

"Berbeza dengan kerajaan Melaka yang melanjutkan tempoh operasi pusat hiburan dari jam 1 hingga 3 pagi pada hari tertentu, atau negeri-negeri lain yang tidak mengambil endah soal halal dan haram," katanya lagi.

Kelmarin, mereka juga menyerahkan memorandum sokongan kepada Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ustaz Azizan Abdul Razak ekoran tindakan kerajaan Kedah mengharamkan orang Islam memasuki pusat hiburan sepanjang Ramadhan.

Tiada ulasan: