Selasa, 1 Februari 2011

PAS, PKR dan 71 NGO demo bantah Mesir

Harakahdaily

KUALA LUMPUR: Pemimpin PAS, PKR dan beberapa NGO hari ini berhimpun di kedutaan Mesir di Kuala Lumpur bagi menyerahkan memorandum menuntut agar regim Hosni Mubarak berundur.

Mereka berhimpun bagi menunjukkan semangat setiakawan mereka dengan perjuangan rakyat negara itu dan menuntut agar kerajaan yang ada tidak menggunakan kekerasan dan menerima tuntutan rakyat.

Antara yang hadir adalah AJK PAS Pusat Mohamad Sabu, Dr Syed Azman, Adun Kota Damansara Dr Nasir Hashim, Ketua Pemuda Nasruddin Hassan Tantawi dan juga ahli Parlimen Balik Pulau Yusmadi Yusof.

Mereka berarak daripada kawasan letak kereta tidak jauh dari situ sambil melaungkan kecaman ke atas Mubarak dengan 'Down Mubarak' (Turun Mubarak) sambil membawa poster pemimpun Mesir dengan lambang Zionis di dahi.

Kumpulan daripada 71 NGO itu kini sedang berunding dengan kira-kira 50 anggota polis - yang menutup pintu masuk ke kedutaan - untuk menghantar memorandum kepada wakil kerajaan Mesir.

Setakat ini, dalam bantahan besar-besaran penduduk Mesir, ratusan telah terkorban apabila ribuan membanjiri Dataran Tahrir di Kaherah bagi menuntut penamatan 30 tahun pemerintahan Hosni Mubarak.

Aljazeera hari ini melaporkan, pemimpin pembangkang Mohamed ElBaradei yang menyertai kumpulan penunjuk perasaan itu memberitahu orang ramai pada Ahad malam bahawa "kita sudah bermula dan tidak boleh berpatah balik".

Sejak Selasa lepas beberapa siri demonstrasi dilaporkan berlaku di bandar-bandar besar Mesir termasuk Kaherah, Dumyat, Suez, Tanta, Iskandariah dan Mansura bagi mendesak pengunduran Mubarak.

Kebangkitan rakyat Mesir itu kini menarik perhatian seluruh dunia kerana dijangka memberi kesan besar kepada politik dunia Arab.

Tiada ulasan: