Sambil menyusun beberapa akuarium kecil yang mengandungi ikan pelaga spesies tempatan dan spesies siam di atas meja, Zulkafli Ahmad, 30, terus melaung-laungkan “mari-mari ikan pelaga tempatan pun ada, siam pun ada, sudah bersedia untuk berlawan”.
Bukan sahaja gelagat Zulkafli menjadi perhatian pengunjung lebih-lebih lagi reaksi ikan pelaga yang diletakkan setiap ekor dalam akuarium berasingan, mengembangkan sirip, ekor dan badan yang berwarna warni dengan aksi tersendiri apabila diletakkan berhampiran antara satu sama lain.
Zulkafli berkata ikan pelaga sememangnya cantik tetapi suka bergaduh dengan ikan pelaga lain dan mesti dimasukkan di dalam bekas yang berasingan.
Beliau berkata ikan pelaga adalah sejenis ikan air tawar yang dipelihara di dalam akuarium, dengan nama saintifiknya ‘Betta splendens’ (ikan pelaga siam), ‘Betta imbellis’ (ikan mengkaring) dan ‘Trichopsis vittata’ (ikan sempilai).
Beliau yang sudah dua tahun berniaga di Pasar Tani Mega itu, menjual ikan pelaga antara RM1 dan RM5 seekor, dan sejak gerai dibuka mulai 8 pagi hingga 11 pagi, sudah 30 ekor ikan itu dijual.
Zulkafli memberitahu Bernama beliau merujuk “sekarang musim laga” kepada persaingan kempen calon Barisan Nasional (BN) dan calon PAS pada pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka kawasan Merlimau, yang berlangsung sekarang.
“Kalau kita lihat, calon BN dan calon PAS masing-masing berlumba-lumba berkempen untuk menemui seberapa ramai mungkin pengundi dalam DUN Merlimau dengan satu matlamat masing-masing mahu menang pilihan raya ini,” katanya.
Calon BN Roslan Ahmad, 44, ditentang calon PAS Yuhaizad Abdullah, 38, dalam pilihan raya kecil itu pada 6 Mac depan, yang diadakan berikutan kematian wakil rakyat DUN itu, Datuk Mohamad Hidhir Abu Hassan pada 20 Januari lepas.
Pilihan raya kecil itu melibatkan tempoh berkempen selama lapan hari bermula sebaik proses penamaan calon selesai semalam hingga tengah malam pada 5 Mac depan.
Pasar Tani Mega Merlimau dengan 49 peniaga yang dibuka pada 7 pagi hingga 12 tengah hari menjadi sasaran calon serta pemimpin parti untuk menemui peniaga dan para pengunjung di situ.
Cuti hujung minggu hari ini digunakan oleh orang ramai terutama di DUN Merlimau untuk membeli-belah di pasar tani itu bagi mendapatkan keperluan harian termasuk sayur-sayuran, buah-buahan, daging dan ikan yang segar dengan harga berpatutan.
Roslan, yang tiba kira-kira 10 pagi, dilihat bersalaman dan berbual-bual dengan peniaga serta para pengunjung.Roslan, Anggota Jawatankuasa Umno bahagian Jasin, diiringi Pengerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) Datuk Paduka Badruddin Amiruldin menemui semua peniaga di pasar tani itu.
Terdahulu, bekas Menteri Besar Perak Datuk Seri Nizar Jamaluddin hadir menemui semua peniaga dan pengunjung di pasar tani itu.
Pasar tani dan pasar malam (bermula jam 3 petang hingga 10 malam) di sekitar DUN Merlimau adalah antara lokasi penting yang perlu dilawati oleh calon untuk bertemu dengan seberapa ramai pengundi, pada sebelah siang.
Selain kempen rumah ke rumah, premis lain seperti kedai runcit, pasar, kedai makan dan restoran tidak dilepaskan oleh calon.
Pada sebelah malam pula, kempen lebih tertumpu pada ceramah secara berkelompok dan majlis makan malam.
Ketika ditemui di Pasar Tani Mega Merlimau, Roslan yang diiringi isteri Zalifah Omar, 38, berkata usaha beliau menemui seberapa ramai pengundi berjalan lancar dengan sambutan agak memberangsangkan.
“Bermula semalam, pagi ini sambung balik (kempen), pagi tadi saya menyertai program gotong-royong bersama penduduk di Taman Merlimau Baru dan Taman Muhibbah dan singgah di beberapa pos jentera pilihan raya BN sebelum sampai ke sini (pasar tani),” katanya yang berkaca mata, berseluar gelap dan berkemeja biru.
Ditanya masalah yang dikemukakan penduduk yang ditemui beliau, Roslan berkata kebanyakannya mengenai longkang, lampu jalan dan bonggol jalan.
“Insya-Allah saya kata, kita akan berusaha untuk memperbaiki, kerana proses penyelenggaraan dan pembaikan sedang dilaksanakan pihak berkaitan secara berterusan,” katanya.
Mengenai permintaan peniaga yang mahu diberi peluang perniagaan yang lebih banyak di DUN Merlimau, Roslan berkata: “Kita mempunyai banyak program keusahawanan dan kita minta masyarakat di DUN Merlimau merebut peluang ini kerana kita tahu banyak agensi kerajaan yang bersedia menawarkan peluang keusahawanan itu”.
Beliau berkata mereka perlu berani ke hadapan, memberitahu apa kehendak mereka dan kita akan padankan dengan peluang yang sudah tersedia.
Cuaca panas hari ini membuatkan calon bermandi peluh ketika mood kempen baru memasuki ‘gear satu’.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan