Isnin, 28 Februari 2011

GAMIS mendesak Syed Ali minta maaf kepada Mahasiswa

MERDEKA REVIEW

Syed Ali Alhabshee dilihat cuba mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah melalui Utusan Onlinebertarikh 26 Februari 2011 apabila beliau cuba mengaitkan mahasiswa sebagai alat politik pembangkang. Saya tegaskan bahawa kenyataan yang dikeluarkan oleh Ketua UMNO bahagian Cheras itu berniat jahat dengan cuba memanipulasi isu kebangkitan mahasiswa demi kepentingan politik beliau.

Maka mahasiswa menuntut beliau memohon maaf segera secara terbuka dalam tempoh 24 jam atau mahasiswa akan mendesak beliau melalui saluran undang-undang. Tuntutan ini saya usulkan berdasarkan rasional berikut.

1. Tindakan Syed Ali boleh menimbulkan persepsi yang salah dalam kalangan masyarakat umum terhadap kebangkitan mahasiswa akhir-akhir ini.
a. Syed Ali seharusnya tidak mengeluarkan kenyataan pesimis berhubung isu kebangkitan mahasiswa yang telah berlaku. Ini kerana Syed Ali sendiri merupakan individu luar lingkungan kampus yang tidak memahami situasi sebenar yang sedang berlaku di dalam universiti. Hanya kerana sentimen politik, beliau cuba meng-"kambing hitamkan" gerakan mahasiswa dengan dengan mengaitkan kebangkitan mahasiswa sebagai agenda politik pembangkang.

2. Dakwaan Syed Ali mengenai mahasiswa sebagai alat pembangkang adalah cubaan fitnah kepada gerakan mahasiswa.
a. Syed Ali perlu tahu bahawa kebangkitan mahasiswa yang berlaku baru-baru ini adalah disebabkan sistem demokrasi kampus yang bobrok. Ruang utama untuk mahasiswa menjalani pendidikan politik iaitu Pilihanraya Kampus dicemari dengan sikap kuku besi pentadbir sehinggakan mahasiswa terpaksa mencuba jalan-jalan yang lebih tegas setelah banyak rundingan menemui jalan buntu.

Di UPM misalnya, calon pilihan mahasiswa yang sudah menang dalam Pilihanraya Kampus dibatalkan kemenangan oleh pihak HEP tanpa alasan yang kukuh. Setelah didesak oleh mahasiswa, akhirnya keputusan boleh berubah dan kemenangan calon mahasiswa dikekalkan. Keadaan ini menunjukkan sikap pentadbir yang tidak professional. Oleh itu dakwaan yang dibuat oleh Syed Ali adalah tidak benar sama sekali.

3. Kenyataan Syed Ali bercanggah dengan kenyataan Timbalan Perdana Menteri.
a. Syed Ali sepatutnya tidak mengeluarkan pandangan yang bercanggah dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh Timbalan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengenai isu kecelaruan politik kampus. Timbalan Perdana Menteri dilihat sangat rasional berhubung isu ini apabila beliau meminta agar pihak universiti membuat pertimbangan yang adil bagi semua pihak. Namun kenyataan Syed Ali dilihat berat sebelah dengan cuba melabel gerakan mahasiswa sebagai pro pembangkang. Lebih biadab apabila beliau menggesa pihak kerajaan untuk menjalankan siasatan terhadap gerakan mahasiswa hanya kerana kekhuatiran beliau yang tidak berasas.

4. Syed Ali tidak berhak turut campur dalam soal Pentadbiran Universiti.
a. Syed Ali sepatutnya tidak layak mengeluarkan sebarang saranan berhubung isu politik kampus memandangkan beliau tidak memiliki autoriti untuk berbuat demikian. Hal ini kerana pandangan beliau amat bercanggah dengan pendirian Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Saifuddin Abdullah. Saifuddin selaku individu berautoriti telah mengeluarkan kenyataan yang boleh diterima oleh semua pihak dan keadaan yang bercelaru sudah semakin reda ekoran keprihatinan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi itu. Namun tindakan Syed Ali seolah-olah cuba melakukan provokasi bagi memanaskan semula keadaan.

Berdasarkan empat rasional di atas, Mahasiswa memberi masa 24 jam kepada Syed Ali Alhabshee untuk memohon maaf secara terbuka kepada semua mahasiswa atau mahasiswa akan menggunakan saluran perundangan untuk memaksa beliau berbuat demikian. Mahasiswa juga tidak akan teragak-agak untuk mencabar beliau berdebat secara terbuka sekiranya beliau dilihat cuba menafikan segala provokasi yang telah beliau lakukan.

*Kenyataan media oleh Ahmad Syukri Ab Razab selaku Pengerusi Majlis Politik Nasional Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia.

Tiada ulasan: